Wednesday, November 07, 2018

BAITUL-HAMDI


Daripada Abu Musa al-Asy’ariy r.a. Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Apabila mati anak kepada seorang hamba Allah, Dia berfirman kepada malaikatNya (malikil-maut): “Kamu telah mencabut nyawa anak kepada hambaKu?”
Malaikat menjawab: “Ya!”
Allah berfirman lagi: “Kamu mencabut nyawa buah hatinya?”
Malaikat menjawab: “Ya!”
Allah bertanya: “Maka apakah yang diucapkan oleh hambaKu itu?”
Malaikat menjawab: “Dia memujiMu dengan mengucap “alhamdulillah” dan istirja’ dengan berkata “inna lillahi wainna ilaihi raji’un”
Lalu Allah Ta’ala berfirman: “Binalah untuk hambaKu sebuah rumah di syurga, dan namakanlah rumah itu “Baitul-Hamdi!”.
Riwayat at-Tirmizi dan dia berkata Hadis Hasan

Pengajaran:

Hadis di atas menyerlahkan betapa Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Luasnya Rahmah Allah ke atas kita, hambaNya yang lemah.
Dia memberi dan mengambil semua ni’matNya kepada kita hanya semata-mata untuk kebaikan kita, asalkan kita menerimanya dengan penuh insaf, syukur, sabar dan redha. Sedar bahawa diri kita memang lemah. Tiada daya dan upaya untuk mengatur hidup dan mati diri sendiri, apa lagi orang lain.


Beruntunglah mereka yang telah dibina “Baitul-Hamdi” untuk didiami di sana apabila tiba masa kelak.

No comments: