Al-Mani’ah (penghalang)
dan Al-Munjiah (penyelamat) adalah nama jolokan bagi surah al-Mulk kerana surah
tersebut menghalang dan menyelamatkan tuannya, iaitu orang yang selalu membaca
atau menghafalnya daripada siksa kubur dan siksa api neraka.
Berikut adalah
beberapa hadis yang menunjukkan
kelebihan surah al-Mulk:
1. Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: “Surah Tabaraka adalah penghalang daripada azab
qubur.” Riwayat al-Hakim dan dia berkata isnadnya sahih. Dan dipersetujui oleh
az-Zahabi
2. Daripada Abu
Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya satu surah di
dalam al-Quran, ia mengandungi 30 ayat. Ia memberi syafaat kepada seseorang itu
sehingga diampunkan. Iaitu “Tabarakal-lazi biyadihil-mulk”. Riwayat Abu Daud
dan at-Tirmizi. Al-Albani mengatakannya hadis hasan
3. Daripada Ibn
Mas’ud r.a. “Malaikat (azab) mendatangi seseorang di dalam kuburnya. Dia menghampiri
bahagian kaki. Lalu kedua-dua kaki orang itu berkata kepada malaikat: “Kamu
tidak ada jalan untuk menyentuh orang ini melaluiku kerana dia berdiri
menggunakanku (ketika solat) dengan membaca surah al-Mulk”. Kemudian malaikat
mendekati dadanya. Lalu dadanya berkata kepada malaikat: “Kamu tidak ada jalan
untuk menyentuhnya melaluiku. Dia membaca denganku surah al-Mulk”. Kemudian malaikat
menghampiri kepalanya. Maka kepala berkata kepada malaikat: “Kamu tidak
mempunyai laluan untuk menyentuhnya melaluiku. Dia membaca surah al-Mulk
denganku”. Dia berkata: “Maka surah al-Mulk adalah al-Mani’ah yang menghalang
daripada azab kubur. Dan ia terdapat di dalam Taurat. Sesiapa yang membacanya
di waktu malam maka sesungguhnya dia telah membanyakkan (kebaikkan) dan
mengelokkan.” Riwayat al-Hakim dan dia berkata isnadnya sahih. Dan dipersetujui
oleh az-Zahabi
4. Di dalam
riwayat lain daripada Ibn Mas’ud juga katanya: “Sesiapa yang membaca “Tabarakal-lazi
biyadihil-mulk” setiap malam, Allah ‘Azza wa Jalla menghalangnya daripada azab
kubur. Dan kami pada zaman Rasulullah s.a.w. menamakannya al-Mani’ah…” Riwayat
an-Nasaei. Al-Albani mengkategorikannya hasan
5. Daripada Anas
r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Satu surah di dalam al-Quran, ia
membela pendampingnya sehinga dia dimasukkan ke dalam syurga. Surah itu ialah “Tabarakal-lazi
biyadihil-mulk”. Riwayat at-Tabrani
6. Ibn Abbas r.a.
berkata kepada seorang lelaki: “Mahukah aku hadiahkan kamu satu hadis yang kamu
akan bergembira dengannya?” Lelaki itu menjawab: “Tentu sekali aku mahu!”
Beliau berkata: “Bacalah “Tabarakal-lazi biyadihil-mulk” dan ajarkanlah ahli
keluargamu, semua anak-anakmu, kanak-kanak di rumahmu dan jiran-jiranmu. Sesungguhnya
ia adalah al-munjiah dan al-mujadilah yang akan menjadi pembela pada hari
qiamat di sisi Tuhannya bagi pihak orang yang membacanya. Dia akan meminta
supaya orang yang membacanya itu selamat daripada azab neraka dan dengannya
juga orang yang mendampinginya selamat daripada azab kubur. Rasulullah s.a.w.
bersabda maksudnya "Sungguh aku sangat bercita-cita ia (surah al-Mulk)
berada di dalam hati setiap insan daripada umatku". Riwayat Abd bin Hamid di dalam Musnadnya. Rujuk Tafsir
ibn Kathir.
No comments:
Post a Comment