Sempena bulan kelahiran Nabi kita, Muhammad s.a.w. dan dalam kemeriahan kita mengadakan pelbagai acara sambutan, mari kita tingkatkan penghayatan Sunnahnya dan terapkan ajaran Baginda ke dalam diri anak-anak supaya mereka membesar dengan siraman cinta kepada Baginda s.a.w.
1. Ketika anda menyikat rambutnya, bisikkan bahawa kita menyikat rambut kerana Nabi s.a.w. berpesan, “Sesiapa yang mempunyai rambut, hendaklah dia memuliakan rambutnya (dengan membersih, menyikat dan merapikannya)” HR Abu Daud
2. Ketika anda meletakkan wangian di badannya, katakan padanya bahawa anda berbuat demikian kerana mengikuti Sunnah Nabi s.a.w. Baginda pernah memberitahu, “Perkara yang aku cinta/suka di dalam dunia ini ialah minyak wangi dan wanita. Dan aku mendapat ketenangan hati di dalam solat.” HR An-Nasaei
3. Ketika anda menghantarnya ke sekolah, ingatkan dia sabda Baginda s.a.w. “Sesiapa yang berjalan di suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah mudahkan untuknya satu jalan ke syurga.” HR At-Tirmizi
4. Ketika anda senyum melihatnya, beritahu bahawa itu dalah sedekah kerana Nabi s.a.w. bersabda, “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah sedekah.” HR At-Tirmizi
5. Ketika anda menuangkan makanan atau minuman ke dalam pinggan atau cawannya, katakan bahawa anda melakukan perkara yang disuruh oleh Baginda s.a.w. “Engkau menuangkan air dari bekasmu ke dalam bekas saudaramu adalah sedekah.” HR Al-Baihaqi
6. Ketika anda memuji kebaikannya, katakan bahawa Nabi s.a.w. suka percakapan yang baik-baik, “Dan kalimah / perkataan yang baik itu sedekah.” HR Al-Bukhari
7. Ketika anda bersama dengannya di dalam sesuatu majlis, ajarlah supaya dia menghurmati orang dewasa dan beritahu bahawa ia merupakan akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghurmati orang dewasa.” HR Abu Daud
Dan banyak lagi hadis-hadis yang berkaitan dengan kehidupan seharian yang boleh diterapkan secara langsung atau tidak langsung. Yang penting sentiasa cuba kaitkan amalan kita dengan ajaran Baginda s.a.w.
Untuk itu, banyakkan mempelajari hadis-hadis.
#fastabiqulkhairat
2 comments:
assalamualaikum ustzh.
boleh sy dapatkan email ustzh, atau cara utk hbungi ustzh utk tujuan kajian sarjana.
sy ada tingglkan massage di fb ustzh. terima kasih
dah jawab
Post a Comment