Friday, March 27, 2020

RANGSANGAN EKONOMI


Selepas TSMY mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion untuk menangani impakpandemik Covid-19 petang tadi, ramai yang menyambut baik dan memuji-mujinya. Dikatakan bahawa ia adalah bukti kerajaan yang prihatin akan masalah yang dihadapi rakyat pelbagai lapisan. 

Saya ingin mengulasnya dari sudut aqidah dan syariah.

Dari sudut syariah, apa yang ditawarkan itu sebenarnya adalah tanggungjawab dia sebagai pemerintah, tak kiralah sama ada dia dipilih oleh rakyat atau tidak (Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih, tetapi saya mahu anda semua tahu kerajaan ini ambil berat tentang anda.) Di dalam sepotong hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang amir yang mentadbir urusan orang Islam, kemudian dia tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak ikhlas memimpin mereka, melainkan dia tidak akanmasuk syurga bersama dengan mereka.” Riwayat Muslim
Di dalam riwayat lain, baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya urusan mengurus rakyat, dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan ke atasnya syurga.” Muttafaq ‘alaih.

Jadi, apa yang diumumkan itu, jika baik maka ia merupakan satu pelaksanaan tanggungjawab yang wajib ke atasnya. Ia bukan budi atau pemberian ihsan. Tapi pelaksanaan kewajipan.

Dari sudut aqidah, apa yang dijanjikan untuk diberikan itu bukan milik dia. Harta negara adalah milik rakyat. Dari sumber manapun wang yang diberikan, ia tidak diambil dari poket dia. Tapi dari khazanah negara yang merupakan hak semua rakyat. Dan harta itu pula adalah milik Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan untuk menguruskannya dengan jujur dan amanah. Al-Barraa’ meriwayatkan bahawa Umar bin Al-Khattab r.a. berkata: “Aku letakkan diriku di hadapan harta Allah (harta baitul mal) seperti penjaga harta anak yatim. Jika aku memerlukannya, aku ambil sedikit daripadanya. Jika aku ada kemudahan, aku pulangkannya kembali. Jika aku tidak berhajat, aku tahan diriku dari menggunakannya.” Kata Ibn Kathir, isnadnya sahih (Tafsir Ibn Kathir)
Oleh kerana harta pada hakikatnya milik Allah, maka manusia hanya boleh berjanji tetapi belum pasti janji itu mampu ditepati. Siapa tahu ketika tiba masa yang dijanjikan semua harta yang ada ditarik oleh Pemiliknya yang hakiki serta merta? Atau berbagai-bagai kemungkinan yang manusia tidak duga sebagaimana kita tidak pernah duga bahawa covid-19 ini akan melanda hampir seluruh dunia pada tahun ini? Maka, usah terlalu mengharap kepada janji manusia meskipun tidak salah untuk mengucapkan terima kasih dan memuji kebaikannya.

Jadi, siapakah yang mampu menunaikan segala janji-janjinya?
Tidak lain kecuali Allah. Dialah pemilik segala-galanya. Diri kita dan segala yang ada di langit, di bumi dan di antara kedua-duanya.

Di antara janji-janjiNya ialah:
Pertama: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukansegala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq 65:2-3)
Kedua: “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh 71:10,11,12

Dua perkara yang Allah janjikan rezeki untuk kita, iaitu taqwa dan istighfar. Janji Allah pasti benar kerana tiada siapa yang mampu menghalang Allah dari menunaikan janjiNya.

Maka marilah kita perbanyakkan istighfar dan tingkatkan taqwa dengan sebenar-benarnya. Dan tunggu dengan penuh keimanan akan janjiNya yang maha benar.

*UMD*
27032020/02081441

Tuesday, March 17, 2020

BERITA GEMBIRA BUAT ANAK-ANAK YANG DISAYANGI

Anak-anakku yang disayangi, 
ingatlah bahawa semakin tua ibu di sisimu semakin cerah peluang untukmu meraih syurga dan redhaNya. Maka rebutlah peluang yang tidak semua insan memperolehinya kerana ramai yang tidak sempat bersama dengan ibu bapa mereka sehingga ke usia tua.
جاء رجل اسمه جاهمة، فسأل رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقال: يا رسولَ اللَّهِ، أردتُ أن أغزوَ وقد جئتُ أستشيرُكَ؟ فقالَ: هل لَكَ مِن أمّ؟ قالَ: نعَم، قالَ: فالزَمها فإنَّ الجنَّةَ تحتَ رِجلَيها
Seorang lelaki bernama Jahimah telah datang dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Ya Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku datang untuk meminta pandangan tuan?”
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah engkau mempunyai ibu?”
Jahimah menjawab: “Ya”
Baginda bersabda: “Maka dampingilah dia kerana sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.” Riwayat An-Nasaei. 
Di dalam hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda
رَغِمَ أنْفُهُ، ثُمَّ رَغِمَ أنْفُهُ، ثُمَّ رَغِمَ أنْفُهُ قيلَ: مَنْ يا رَسولَ اللهِ، قالَ: مَن أدْرَكَ والِدَيْهِ عِنْدَ الكِبَرِ، أحَدَهُما، أوْ كِلَيْهِما، ثُمَّ لَمْ يَدْخُلِ الجَنَّةَ
“Sungguh rugilah! Kemudian sungguh rugilah! Kemudian sungguh rugilah!”
Baginda ditanya: “Siapakah yang rugi itu ya Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Orang yang sempat bersama dengan kedua ibu bapanya ketika mereka telah tua; salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya, kemudian dia tidak masuk syurga!” Riwayat Muslim
Pesanan dari Yang Maha Pencipta yang mesti diingati sepanjang masa:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” Al-Isra’:23-24
Diharapkan peringatan ini dapat menyuntik hati dan mengelakkan diri anak-anakku yang disayangi dari termasuk ke dalam kalangan orang yang rugi.
*UMD*
14032020/19071441

MENCONTOHI KESABARAN DAN DOA NABI AYYUB A.S.


وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّاحِمِينَ  
 فَٱسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُمْ مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَابِدِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).

Ayyub adalah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Beliau dikurniakan harta yang cukup banyak serta ahli keluarga yang soleh dan ramai. Kemudian beliau diuji dengan kemusnahan seluruh hartanya satu demi satu diikuti pula dengan kematian semua anak-anaknya; tujuh lelaki dan tiga perempuan dalam satu hari. Selepas itu diuji pula dengan penyakit yang menimpa tubuh badannya. Menurut satu riwayat, ujian itu dialaminya selama 18 tahun.

Ujian yang berat itu diterimanya dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi. Beliau tidak putus-putus memuji, membesarkan Allah sambil berdoa dengan hati yang tulus suci agar diangkat segala kesusahan yang menimpa diri, keluarga dan hartanya.

Antara doanya ialah apa yang dirakamkan di dalam ayat ke83 surah al-Anbiaa’ yangbermaksud "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani"

Akhirnya berkat kesabaran dan keunggulan imannya, Allah qabulkan doanya. Penyakitnya sembuh, isterinya melahirkan anak-anak sama ramai dengan yang telah meninggal, hartanya bertambah lebih banyak daripada apa yang telah dimusnahkan sebelumnya.

Marilah kita contohi kesabaran Nabi Ayyub ‘alaihis-salam dan mengamalkan doanya, moga-moga Allah kurniakan kita kesabaran serta qabulkan doa kita sebagaimana Dia qabulkan doa Nabi Ayyub ‘alaihis-salam.

*UMD*
17032020/22071441

Wednesday, March 11, 2020

KEMUSYKILAN


Maka berkatalah Tuan Presiden yang disanjungi sebagaimana yang diriwayatkan oleh sinarharian.com.my pada 11 Mac 2020:

“Kepada seluruh ahli-ahli Pas khasnya dan saudara-saudari yang dikasihi, terlebih dahulu marilah kita bersyukur kepada ALLAH Taala yang telah mengurniakan kepada kita peluang mengambil alih kerajaan yang ditinggalkan melalui pintu hadapan bukan pintu belakang kerana kerajaan (yang) telah dijatuhkan mestilah diambil alih dengan sebab-sebab yang berlaku dalam kerajaan itu sendiri.

Apabila berlakunya kerja memecahkan diri sendiri oleh Pakatan Harapan, bukan kami yang buat (iaitu) terdapat usaha menggulingkan Perdana Menteri, menekan dengan cara yang dilihat oleh umum (seperti) desakan dan sebagainya.
Ini adalah untuk mengambil alih pemerintahan melalui atap, bukan oleh pintu belakang. Tebuk atap.
Maka Pas mengambil langkah untuk mengambil alih kerajaan untuk menyelamatkan kerajaan (dan) negara dengan proses demokrasi (dengan) mengambil Sunnah Nabi SAW iaitulah menyatukan umat Islam dan menyatukan masyarakat majmuk.”

Membaca perutusan ini, menjadikan ambo tak lena tidur. Hati tak tenang, fikiran berkecamuk tak keruan.
Andai semua apa yang dikatakan itu benar, ambo ingin bertanya beberapa soalan. Mohon sahabat-sahabat yang arif lagi alim jawab dengan jujur supaya hati ambo tenang:

Pertama – siapakah yang bertanggungjawab memecahkan Pakatan Harapan? Bukankah TSMY yang menarik keluar partinya BERSATU serta MP-MPnya dari PH dan DSAA yang membawa keluar beberapa orang MP dari PKR? Dengan itu, runtuhlah PH! Benar atau Tidak?

Kedua – sedia maklum bahawa BERSATU telah bersepakat dengan PKR, AMANAH dan DAP untuk sama-sama menjatuhkan UMNO/BN pada PRU14. Dan dengan izin Allah Pakatan itu berjaya. Maka apakah hukumnya TSMY dan DSAA memungkiri perjanjian dan meruntuhkan pakatan yang mereka telah persetujui bersama? Halal atau haram? Sesuai dengan ajaran Islam atau sebaliknya? Jika perbuatan itu halal dan sesuai dengan ajaran Islam, mohon kemukakan dalilnya sama ada daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak, Qias atau lain-lain sumber yang muktabar.
Sebaliknya jika perbuatan itu haram, apakah hukum berkerjasama dan bersepakat membentuk kabinet dengan mereka yang mungkir janji dan memecahkan pakatan sendiri? Tidakkah dengan berkerjasama dengan mereka itu bererti menyokong perkara yang haram? Bukankah  seseorang muslim itu wajib menegur dan mencegah perbuatan yang haram, bukan mendukung dan mengalu-alukan?

Ketiga – seperkara lagi yang ambo rasa, yang membuatkan TSMY dan DSAA begitu nekad mengisytiharkan diri keluar pakatan ialah keyakinan mereka akan mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu di luar pakatan, iaitu daripada UMNO dan PAS. Jadi, PAS tidak datang secara tiba-tiba selepas mereka berdua keluar, dan pakatan berkecai. Sebaliknya telah ada bersama sebelum TSMY membuat perisytiharan keluar pakatan. Betul atau salah?

Itulah yang ambo ingin tahu sangat-sangat. Rasa ralat sangat bila sahabat-sahabat dari parti Islam dengan penuh rasa bahagia dan bangganya membentuk kerajaan dengan mereka yang telah mungkir  janji itu. Sebab itu timbul persoalan, muliakah perbuatan mungkir janji di sisi ajaran Islam?

Allahu A’lamu dis-sowab.

Thursday, March 05, 2020

TADABBUR – ANTARA NI’MAT DAN SYUKUR


Perhatikan dua ayat yang berikut; awalnya sama, akhirnya berbeza:
Pertama: وإن تَعُدُّوا نعمة الله لا تُحصُوها إنّ الإنسانَ لظلومٌ كَفّار 
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya manusia sangat zalim lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Ibrahim 14:34) |

Kedua:وإن تَعُدُّوا نعمة الله لا تُحصُوها إنّ الله لغفورٌ رحيم 
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nahl 16:18) 
Akhir ayat pertama mendedahkan tentang cara manusia berinteraksi dengan Tuhan mereka. Mereka sangat zalim, iaitu tidak menggunakan ni’mat dengan sebaik-baiknya serta tidak bersyukur dengan sebenar-benar syukur, malah seringkali mengingkati pula ni’mat yang diterima itu daripada Allah yang Maha Memberi.
Akhir ayat yang kedua menyebut tentang cara Allah berinteraksi dengan hambaNya. Dia Maha pengampun walaupun hambaNya tidak bersyukur, Maha Penyayang walaupun hambaNya tidak menghargai ni’mat yang diberi, Dia tetap jua melimpahkannya tanpa henti.

Allahu Akbar. Jadikanlah kami termasuk dalam kalangan hambaMu yang bersyukur.

*UMD*
06022020/11071441

Wednesday, March 04, 2020

TADABBUR SIRAH – MENJUNJUNG SUNNAH


Nama Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a. tidak banyak disebut kecuali dalam kes pertelingkahannya dengan Ali bin Abu Talib r.a. dan pengasas Dinasti Bani Umayyah. Ini menyebabkan sebahagian kita lupa bahawa beliau adalah antara insan bertuah yang dipilih oleh Allah untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. dan tetap berpegang pada Sunnah baginda s.a.w.

Daripada Abu Qubail daripada Mu’awiah bin Abu Sufyan r.a. Beliau menceritakan:
Pada suatu hari Jumaat, Mu’awiah menaiki mimbar untuk menyampaikan ucapannya. Beliau berkata: “Wahai manusia, sesungguhnya harta ini (harta baitulmal) milik kami. Al-Fai’ (harta yang diperolehi daripada orang kafir tanpa perang atau hasil negara) milik kami. Maka sesiapa yang kami kehendaki untuk memberikan harta itu kepadanya, kami akan berikan dan sesiapa yang kami enggan memberikannya, kami tidak akan memberikannya!”
Semua yang mendengar diam. Tidak ada seorangpun yang membantah ucapannya itu.
Pada hari jumaat berikutnya beliau berkata seperti itu juga. Masih tidak ada seorangpun yang membantahnya.
Hari Jumaat yang ketiga beliau mengulangi lagi apa yang diucapkan pada minggu sebelumnya.
Maka bangkitlah seorang lelaki yang berada di dalam masjid itu lantas berkata: “Tidak sekali-kali! Sesungguhnya harta itu milik kami. Dan fai’ adalah hak kami. Oleh itu, sesiapa yang menghalang kami dari mendapat hak kami, kami akan menghadapkannya kepada Allah dengan pedang-pedang kami!”
Maka Mu’wiah turun dari mimbar dan mengarahkan lelaki itu dibawa menemuinya. Orang ramai berkata, “habislah lelaki itu!”
Tidak lama kemudian, orang ramai masuk ke tempat Mu’awiah. Mereka mendapati lelaki itu duduk bersama Mu’awiah di atas sofa.
Mu’awiah berkata kepada mereka:
“Sesungguhnya lelaki ini telah menghidupkan aku, semoga Allah menghidupkannya! Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Akan ada selepasku para pemerintah yang berkata sesuatu (yang salah) tetapi tidak ada seorangpun yang membantahnya. Mereka saling mencampakkan diri ke dalam neraka seperti sekawan beruk!”
Dan aku telah menyampaikan khutbahku pada hari Jumaat pertama. Tidak ada seorangpun yang membantahnya. Maka aku bimbang aku termasuk dalam golongan yang Nabi sebut itu. Kemudian aku ulang pada minggu kedua. Pun tidak ada seorang yang membantahnya. Aku berkata kepada diriku, kalau begini pastinya aku termasuk di dalam golongan itu!
Kemudian aku ulang lagi pada minggu ketiga. Lantas lelaki ini bangkit dan menbantah ucapanku. Maka dialah yang menghidupkan aku. Semoga Allah menghidupkannya!” Riwayat AlTabrani.

Dipetik daripada kitab “Tarikhuna AlMuftara ‘Alaih” Dr Yusuf AlQaradawi

Adakah perkara yang diramalkan oleh Rasulullah s.a.w. itu sedang berlaku pada zaman kita sekarang? Ya Allah, lindungilah kami dari tercampak ke dalam neraka!

#negara_rahmah

TADABBUR – SEMUA ORANG MAHU JADI BAIK


Allah SWT menceritakan perihal abang-abang Nabi Yusuf ‘alaihis-salam melalui firmanNya yang bermaksud: 
“(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna". (Yusuf 12:9

Zahir ayat ini menunjukkan ketika mereka merancang untuk membunuh adik sendiri yang mereka cemburui atau membuangnya jauh-jauh dari pandangan mata, mereka mengetahui bahawa perbuatan itu salah dan berdosa. Namun mereka tidak berupaya melawan nafsu dengki dan marah terhadap adik kecil yang mereka lihat lebih disayangi oleh ayah mereka.
Mereka tetap akan meneruskan perancangan jahat itu walaupun sedar perbuatan itu salah. Pada masa yang sama keinginan untuk menjadi baik tetap ada di dalam diri mereka. Ini jelas daripada kata-kata mereka, “dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna"

Di dalam ucapan sulung PM8 yang disiarkan secara langsungpada hari Isnin lepas, beliau berikrar untuk melantik Jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih dan bebas korupsi. Katanya lagi:
“Kerajaanpimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik,” 

Sebenarnya itulah yang beliau mahukan ketika beliau bertindak meninggalkan UMNO dahulu kerana bagi beliau UMNO sudah hilang integritinya. Beliau menubuhkan BERSATU dan bergabung dengan PH untuk menumbangkan BN/UMNO.


Persoalannya, kenapa sekarang beliau bertindak memecahkan pakatan, keluar dari PH dan bergabung semula dengan UMNO dengan membawa mesej serta harapan yang sama, iaitu “meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik”? 

Adakah pada pandangan beliau memecahkan satu persepakatan dan memungkiri perjanjian itu sesuatu yang baik dan terpuji?

Adakah UMNO sekarang sudah berubah dan memiliki sepenuhnya ciri-ciri yang beliau cari?

Adakah menteri-menteri PH tidak ada integriti, rasuah, pecah amanah seperti yang ada pada pemimpin UMNO ketika beliau meninggalkan UMNO dahulu?

Jika benar terdapat ciri-ciri demikian pada para pemimpin PH, maka kita sangat berterima kasih sekiranya beliau mempunyai bukti-bukti yang kukuh yang boleh dikemukakan untuk diheret mereka ke muka pengadilan. Sungguh. Rakyat menanti terlaksananya apa yang dikatakan “integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik” itu. 

Atau tindakan beliau itu sama seperti tindakan abag-abang Nabi Yusuf? Buat apa saja asalkan matlamat jadi PM8 tercapai, lepas itu fikir macam mana nak jadi baik? Tanya je….

Allahu A’lam. Hanya kepada Allah kami berserah.

#negara_rahmah 

Sunday, March 01, 2020

TADABBUR SIRAH – INDAHNYA SYARI’AT


Hajjaj adalah satu nama yang sering dikaitkan dengan kezaliman, peperangan dan pertumpahan darah. Namun, tidak ramai yang tahu di sebalik gambaran yang serba hitam itu ada juga sisi terangnya.

Hajjaj tidak teragak-agak untuk tunduk kepada perintah Syari’at apabila diperingatkan tentangnya.

Ibn Abdi Rabbih, seorang sasterawan pemikir yang berasal dari Andalusia menulis tentang Hajjaj di dalam kitabnya yang masyhur “Al-‘Aqd Al-Farid”:

Seorang lelaki bernama Sulaik bin Sulakah datang mengadu kepada Hajjaj tentang kezaliman yang dilakukan oleh pegawai-pegawai Hajjaj ke atas dirinya. Antara aduannya ialah bahawa salah seorang daripada anggota keluarganya melakukan satu jenayah, maka balasannya dikenakan ke atas dirinya, namanya tersenarai sebagai penjenayah, rumahnya diruntuhkan, elaun sara hidupnya dihentikan!

Aduan Sulaik dijawab oleh Hajjaj dengan membaca syair yang bermaksud:
“Penjenayah ialah yg melakukan jenayah ke atasmu,
Kadangkala orang yang sihat boleh dijangkiti kurap
Ramai yang dihukum atas dosa puaknya
Sedangkan pelaku jenayah lepas bebas!”

Ia memberi gambaran bahawa apa yang dilakukan oleh pegawai-pegawainya itu sesuatu yang normal dan tidak ada salahnya.

Sulaik menegur Hajjaj dengan berkata:
“Semoga Allah memperbaiki urusan tuan. Sesungguhnya saya mendengar Allah SWT berfirman lain daripada apa yang diungkapkan oleh penyair yang tuan bacakan syairnya itu.”

Hajjaj bertanya:
“Apakah yang Allah SWT telah berfirman?”

Sulaik menjawab: 
“Allah SWT berfirman ketika menceritakan kisah Nabi Yusuf dan saudara-saudara: “Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi ". Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim". (Yusuf 12:78-79)

Mendengar jawapan itu, Hajjaj terus mengeluarkan arahan supaya memanggil pegawainya Yazid bin Abi Muslim datang mengadapnya. 
Beliau mengarahkan Yazid:
“Bebaskan nama lelaki ini dari senarai penjenayah, teruskan bayaran elaun sara hidupnya, binakanlah kembali rumahnya, dan perintahkan seseorang melaungkan di khalayak ramai bahawa: Maha benarlah Allah. Dan dustalah penyair!”


-      Dipetik daripada kitab “Tarikhuna al-Muftara ‘Alaih” Dr Yusuf AlQaradawi.