Maka berkatalah Tuan Presiden yang disanjungi sebagaimana yang diriwayatkan oleh sinarharian.com.my pada 11 Mac 2020:
“Kepada seluruh ahli-ahli Pas khasnya dan saudara-saudari yang dikasihi, terlebih dahulu marilah kita bersyukur kepada ALLAH Taala yang telah mengurniakan kepada kita peluang mengambil alih kerajaan yang ditinggalkan melalui pintu hadapan bukan pintu belakang kerana kerajaan (yang) telah dijatuhkan mestilah diambil alih dengan sebab-sebab yang berlaku dalam kerajaan itu sendiri.
Apabila berlakunya kerja memecahkan diri sendiri oleh Pakatan Harapan, bukan kami yang buat (iaitu) terdapat usaha menggulingkan Perdana Menteri, menekan dengan cara yang dilihat oleh umum (seperti) desakan dan sebagainya.
Ini adalah untuk mengambil alih pemerintahan melalui atap, bukan oleh pintu belakang. Tebuk atap.
Maka Pas mengambil langkah untuk mengambil alih kerajaan untuk menyelamatkan kerajaan (dan) negara dengan proses demokrasi (dengan) mengambil Sunnah Nabi SAW iaitulah menyatukan umat Islam dan menyatukan masyarakat majmuk.”
Membaca perutusan ini, menjadikan ambo tak lena tidur. Hati tak tenang, fikiran berkecamuk tak keruan.
Andai semua apa yang dikatakan itu benar, ambo ingin bertanya beberapa soalan. Mohon sahabat-sahabat yang arif lagi alim jawab dengan jujur supaya hati ambo tenang:
Pertama – siapakah yang bertanggungjawab memecahkan Pakatan Harapan? Bukankah TSMY yang menarik keluar partinya BERSATU serta MP-MPnya dari PH dan DSAA yang membawa keluar beberapa orang MP dari PKR? Dengan itu, runtuhlah PH! Benar atau Tidak?
Kedua – sedia maklum bahawa BERSATU telah bersepakat dengan PKR, AMANAH dan DAP untuk sama-sama menjatuhkan UMNO/BN pada PRU14. Dan dengan izin Allah Pakatan itu berjaya. Maka apakah hukumnya TSMY dan DSAA memungkiri perjanjian dan meruntuhkan pakatan yang mereka telah persetujui bersama? Halal atau haram? Sesuai dengan ajaran Islam atau sebaliknya? Jika perbuatan itu halal dan sesuai dengan ajaran Islam, mohon kemukakan dalilnya sama ada daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak, Qias atau lain-lain sumber yang muktabar.
Sebaliknya jika perbuatan itu haram, apakah hukum berkerjasama dan bersepakat membentuk kabinet dengan mereka yang mungkir janji dan memecahkan pakatan sendiri? Tidakkah dengan berkerjasama dengan mereka itu bererti menyokong perkara yang haram? Bukankah seseorang muslim itu wajib menegur dan mencegah perbuatan yang haram, bukan mendukung dan mengalu-alukan?
Ketiga – seperkara lagi yang ambo rasa, yang membuatkan TSMY dan DSAA begitu nekad mengisytiharkan diri keluar pakatan ialah keyakinan mereka akan mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu di luar pakatan, iaitu daripada UMNO dan PAS. Jadi, PAS tidak datang secara tiba-tiba selepas mereka berdua keluar, dan pakatan berkecai. Sebaliknya telah ada bersama sebelum TSMY membuat perisytiharan keluar pakatan. Betul atau salah?
Itulah yang ambo ingin tahu sangat-sangat. Rasa ralat sangat bila sahabat-sahabat dari parti Islam dengan penuh rasa bahagia dan bangganya membentuk kerajaan dengan mereka yang telah mungkir janji itu. Sebab itu timbul persoalan, muliakah perbuatan mungkir janji di sisi ajaran Islam?
Allahu A’lamu dis-sowab.
No comments:
Post a Comment