Friday, March 27, 2020

RANGSANGAN EKONOMI


Selepas TSMY mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion untuk menangani impakpandemik Covid-19 petang tadi, ramai yang menyambut baik dan memuji-mujinya. Dikatakan bahawa ia adalah bukti kerajaan yang prihatin akan masalah yang dihadapi rakyat pelbagai lapisan. 

Saya ingin mengulasnya dari sudut aqidah dan syariah.

Dari sudut syariah, apa yang ditawarkan itu sebenarnya adalah tanggungjawab dia sebagai pemerintah, tak kiralah sama ada dia dipilih oleh rakyat atau tidak (Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih, tetapi saya mahu anda semua tahu kerajaan ini ambil berat tentang anda.) Di dalam sepotong hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang amir yang mentadbir urusan orang Islam, kemudian dia tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak ikhlas memimpin mereka, melainkan dia tidak akanmasuk syurga bersama dengan mereka.” Riwayat Muslim
Di dalam riwayat lain, baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya urusan mengurus rakyat, dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan ke atasnya syurga.” Muttafaq ‘alaih.

Jadi, apa yang diumumkan itu, jika baik maka ia merupakan satu pelaksanaan tanggungjawab yang wajib ke atasnya. Ia bukan budi atau pemberian ihsan. Tapi pelaksanaan kewajipan.

Dari sudut aqidah, apa yang dijanjikan untuk diberikan itu bukan milik dia. Harta negara adalah milik rakyat. Dari sumber manapun wang yang diberikan, ia tidak diambil dari poket dia. Tapi dari khazanah negara yang merupakan hak semua rakyat. Dan harta itu pula adalah milik Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan untuk menguruskannya dengan jujur dan amanah. Al-Barraa’ meriwayatkan bahawa Umar bin Al-Khattab r.a. berkata: “Aku letakkan diriku di hadapan harta Allah (harta baitul mal) seperti penjaga harta anak yatim. Jika aku memerlukannya, aku ambil sedikit daripadanya. Jika aku ada kemudahan, aku pulangkannya kembali. Jika aku tidak berhajat, aku tahan diriku dari menggunakannya.” Kata Ibn Kathir, isnadnya sahih (Tafsir Ibn Kathir)
Oleh kerana harta pada hakikatnya milik Allah, maka manusia hanya boleh berjanji tetapi belum pasti janji itu mampu ditepati. Siapa tahu ketika tiba masa yang dijanjikan semua harta yang ada ditarik oleh Pemiliknya yang hakiki serta merta? Atau berbagai-bagai kemungkinan yang manusia tidak duga sebagaimana kita tidak pernah duga bahawa covid-19 ini akan melanda hampir seluruh dunia pada tahun ini? Maka, usah terlalu mengharap kepada janji manusia meskipun tidak salah untuk mengucapkan terima kasih dan memuji kebaikannya.

Jadi, siapakah yang mampu menunaikan segala janji-janjinya?
Tidak lain kecuali Allah. Dialah pemilik segala-galanya. Diri kita dan segala yang ada di langit, di bumi dan di antara kedua-duanya.

Di antara janji-janjiNya ialah:
Pertama: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukansegala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq 65:2-3)
Kedua: “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh 71:10,11,12

Dua perkara yang Allah janjikan rezeki untuk kita, iaitu taqwa dan istighfar. Janji Allah pasti benar kerana tiada siapa yang mampu menghalang Allah dari menunaikan janjiNya.

Maka marilah kita perbanyakkan istighfar dan tingkatkan taqwa dengan sebenar-benarnya. Dan tunggu dengan penuh keimanan akan janjiNya yang maha benar.

*UMD*
27032020/02081441

No comments: