Hajjaj adalah satu nama yang sering dikaitkan dengan kezaliman, peperangan dan pertumpahan darah. Namun, tidak ramai yang tahu di sebalik gambaran yang serba hitam itu ada juga sisi terangnya.
Hajjaj tidak teragak-agak untuk tunduk kepada perintah Syari’at apabila diperingatkan tentangnya.
Ibn Abdi Rabbih, seorang sasterawan pemikir yang berasal dari Andalusia menulis tentang Hajjaj di dalam kitabnya yang masyhur “Al-‘Aqd Al-Farid”:
Seorang lelaki bernama Sulaik bin Sulakah datang mengadu kepada Hajjaj tentang kezaliman yang dilakukan oleh pegawai-pegawai Hajjaj ke atas dirinya. Antara aduannya ialah bahawa salah seorang daripada anggota keluarganya melakukan satu jenayah, maka balasannya dikenakan ke atas dirinya, namanya tersenarai sebagai penjenayah, rumahnya diruntuhkan, elaun sara hidupnya dihentikan!
Aduan Sulaik dijawab oleh Hajjaj dengan membaca syair yang bermaksud:
“Penjenayah ialah yg melakukan jenayah ke atasmu,
Kadangkala orang yang sihat boleh dijangkiti kurap
Ramai yang dihukum atas dosa puaknya
Sedangkan pelaku jenayah lepas bebas!”
Ia memberi gambaran bahawa apa yang dilakukan oleh pegawai-pegawainya itu sesuatu yang normal dan tidak ada salahnya.
Sulaik menegur Hajjaj dengan berkata:
“Semoga Allah memperbaiki urusan tuan. Sesungguhnya saya mendengar Allah SWT berfirman lain daripada apa yang diungkapkan oleh penyair yang tuan bacakan syairnya itu.”
Hajjaj bertanya:
“Apakah yang Allah SWT telah berfirman?”
Sulaik menjawab:
“Allah SWT berfirman ketika menceritakan kisah Nabi Yusuf dan saudara-saudara: “Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi ". Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim". (Yusuf 12:78-79)
Mendengar jawapan itu, Hajjaj terus mengeluarkan arahan supaya memanggil pegawainya Yazid bin Abi Muslim datang mengadapnya.
Beliau mengarahkan Yazid:
“Bebaskan nama lelaki ini dari senarai penjenayah, teruskan bayaran elaun sara hidupnya, binakanlah kembali rumahnya, dan perintahkan seseorang melaungkan di khalayak ramai bahawa: Maha benarlah Allah. Dan dustalah penyair!”
- Dipetik daripada kitab “Tarikhuna al-Muftara ‘Alaih” Dr Yusuf AlQaradawi.
No comments:
Post a Comment