Daripada Abu Dzar r.a. Beliau menceritakan bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah s.a.w.:
“Ya Rasulullah s.a.w., kenapakah anda tidak melantik saya mengetuai sesuatu tanggungjawab?
Rasulullah s.a.w. menepuk bahu Abu Dzar kemudian bersabda (mafhumnya) : wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah. Sesungguhnya tanggungjawab kepimpinan itu satu amanah. Dan pada hari qiamat nanti ia menjadi sebab kepada kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil tanggungjawab itu dengan cara yang betul dan menunaikan tanggungjawb yang dipikulkan ke atasnya dengan sempurna.” Riwayat Muslim dan Ahmad.
Abu Dzar r.a. adalah antara sahabat yang terawal memeluk islam, iaitu sebelum baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah. Beliau telah ikut serta dalam beberapa peperangan bersama Rasulullah s.a.w. Beliau juga terkenal sebagai seorang sahabat yang warak, tidak gentar dalam memberi teguran dan nasihat.
Jadi kelemahan beliau yang disebut oleh baginda s.a.w. pastinya bukan kelemahan dari segi ilmu dan iman, bukan juga dari sudut jasmani dan ketangkasan dalam peperangan.
Ini memberikan kita satu pengajaran bahawa kekuatan dan ketangkasan jasmani, keteguhan iman dan akhlak, keluasan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh seseorang belum pasti dapat menjamin ia mempunyai kekuatan dari sudut kepimpinan. Belum tentu ia mampu memikul tugas dan tanggungjawab sebagai ketua yang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
Hadis ini juga mengajar bahawa sesungguhnya mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin dengan cara yang tidak betul, dan tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya akan menjadi bebanan yang berat lagi menyiksakan di akhirat kelak.
Justeru, insaflah duhai insan yang masih leka dengan kuasa yang ada, apa lagi kuasa yang diraih dengan jalan tipu daya...
No comments:
Post a Comment