Saturday, October 17, 2020

ANTARA PELIWAT DAN PENUDUH LIWAT

 

Sedihnya isu liwat sering digunakan oleh pihak tertentu yang pada zahirnya kelihatan seolah-olah bertujuan untuk mengaib dan menjatuhkan musuhnya terutama dalam arena politik.

 

Dan tidak menjadi rahsia lagi bahawa orang yang sering menjadi mangsa tuduhan yang keji ini ialah DSAI.

 

Terkini timbul lagi tuduhan yang sungguh menjijikkan itu, liwat 3.0

 

Di dalam surah an-Nur ayat 4, Allah SWT membicarakan tentang tuduhan zina serta hukumanya.

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;” (An-Nuur 24:4)

Di dalam ayat di atas, Allah SWT mengancam tiga (3) hukuman yang berat ke atas orang yang membuat tuduhan tanpa membuktikannya dengan mengemukakan empat (4) orang saksi.

 

Hukuman-hukuman itu ialah:

Pertama - sebat 80 kali

Kedua - hilang kelayakan sebagai saksi dalam semua kes selama-lamanya.

Ketiga - dia dikategorikan sebagai orang fasiq

 

Menurut al-Qurtubi, ayat ini meskipun zahirnya menerangkan hukuman ke atas orang yang menuduh wanita berzina tetapi dari segi makna ia merangkumi hukuman ke atas orang yang menuduh lelaki dengan tuduhan yang sama. Hal ini disepakati oleh seluruh umat Islam. Ertinya menuduh wanita atau lelaki berzina adalah perbuatan yang amat keji, amat besar dosanya dan amat berat hukumannya di dunia dan akhirat. Beliau juga mengisyaratkan bahawa tuduhan liwat adalah sama dengan tuduhan zina kerana ia melibatkan tercalarnya maruah orang yang dituduh. (Tafsir Al-Qurtubi, wafat tahun 671H)

 

Di dalam ayat yang berikutnya Allah SWT berfirman maksudnya:

 

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nuur 24:5

 

Di dalam ayat di atas, Allah menyebut Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu. Apakah maksudnya selepas bertaubat penuduh akan terlepas dari dosa serta semua hukuman yang dinyatakan dalam ayat ke 4 tadi?

 

Ulamak berselisih pendapat tentang perkara tersebut. Ibn Kathir berkata, tiada khilaf tentang hukuman sebat. Ia tetap dikenakan sama ada penuduh bertaubat atau tidak.

Yang khilaf adalah hukuman kedua dan ketiga.

Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat apabila penuduh telah bertaubat dia terlepas dari hukuman kedua dan ketiga. Ini bererti persaksiannya diterima (layak menjadi saksi) dan tidak lagi dihukum fasiq.

Imam Abu Hanifah berpendapat penuduh hanya terlepas dari hukuman ketiga, iaitu tidak lagi dihukum fasiq. Namun persaksiannya tetap ditolak selama-lamanya. Dia tidak layak menjadi saksi sampai bila-bila.

Al-Sya’bi dan Al-Dhahhak berpendapat tidak diterima persaksiannya sekalipun dia telah bertaubat kecuali dia membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia sebenar telah berbohong dan mereka-reka cerita dusta ketika dia menuduh si fulan itu berzina atau meliwat. (Tafsir Ibn Kathir, wafat tahun 774H)

 

Begitulah besarnya dosa, beratnya hukuman ke atas orang yang melemparkan tuduhan yang menyebabkan tercalarnya maruah seseorang.

 

Bandingkan hukuman yang dikenakan ke atas pezina di dalam ayat 2 surah yang sama. Hukuman yang dikenakan ke atasnya adalah sebat 100 kali dilakukan di hadapan khalayak. Allah tidak menyatakan lebih daripada itu. Sedangkan penuduh zina, tidak cukup dengan sebat. Kelayakan sebagai saksi hilang iaitu kedudukan yang hina di sisi masyarakat. Kemudian di sisi Allah pula dia termasuk dalam golongan orang yang fasiq.

 

Maka, apakah tanggungjawab kita dalam menghadapi ujian ini?

Pertama - jangan percaya jika penuduh tidak mengemukakan empat (4) orang saksi.

Kedua - jangan sebar kalau kita sendiri tidak mempunyai empat (4) orang saksi.

Ketiga - merayu dan mohon pertolongan Menteri Agama, mufti-mufti, tuan-tuan guru, ulamak, asatizah beri peringatan kepada semua golongan masyarakat terutama para pemimpin baik kerajaan mahu pun pembangkang agar menjauhkan diri dari perbuatan yang keji dan terkutuk ini. 

 

Ya Allah, hambaMu yang hina telah menyampaikan. 

Maka aku mohon Engkau menjadi saksi atas penyampaianku ini. 

No comments: