Ramai yang mengeluh risau tentang rezeki. Lebih-lebih lagi musim bencana covid-19 yang melanda seperti sekarang. Banyak aktiviti mencari rezeki telah terjejas dengan teruk.
Sebagai manusia kita memang disuruh berusaha mencari rezeki. Allah s.w.t. berfirman maksudnya:
“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Al-Mulk 67:15)
Namun yang lebih penting daripada itu, kita mesti memahami konsepnya terlebih dahulu.
Mari kita tadabbur ayat-ayat berikut:
“Dan mengapakah mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Dia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.
Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Dia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Dia mematikan kamu; kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).”
Antara yang dapat difahami daripada ayat-ayat di atas:
1. Hanya Allah jua yang menentukan lapang atau sempitnya rezeki setiap makhlukNya.
2. Hanya Allah jua yang mengetahui hikmah di sebalik apa yang Dia tentukan lapang atau sempitnya rezeki seseorang.
3. Setiap orang yang mendapat rezeki wajib melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menginfaqkan rezeki yang diperolehinya membantu golongan yang memerlukan. Al-Razi berkata, “Allah melapangkan dan menyempitkan rezeki. Justeru, tidak wajar bagi seseorang itu berhenti dari melakukan kebaikan (membantu orang lain). Rezeki yang Allah beri tidak akan kurang dengan infaq dan tidak akan bertambaah dengan imsak (menyimpan untuk diri sendiri)” - Mafatih al-Ghaib
4. Kejayaan seseorang dinilai bukan pada banyak rezeki yang diperolehi tetapi pada infaq yang diberi
5. Pemberian dengan tujuan mendapat ganjaran yang lebih besar dari manusia tidak ada nilai di sisi Allah
6. Hanya pemberian yang ikhlas mengharap keredhaan Allah semata-mata yang akan mendapat pahala yang berganda-ganda. Ibn Kathir menyebut sepotong hadis sahih bermaksud: “Tiada seorangpun yang mengeluarkan sedekah sebiji tamar dari hasil usaha yang halal melainkan ia diterima oleh Al-Rahman dengan “Tangan KananNya” lalu disuburkannya sebagaimana kamu menanam satu biji benih kemudian biji benih itu tumbuh membesar sehingga sebiji tamar yang dikeluarkan tadi menjadi sebesar bukit uhud.” - Tafsir Ibn Kathir
7. Setiap makhluk yang Allah ciptakan, Allah tentukan rezeki untuknya. Ibn Kathir berkata, “Allah Maha Pencipta dan Allah Maha Memberi rezeki. Manusia dilahirkan dari perut ibunya dalam keadaan telanjang bulat. Tiada ilmu, tiada pendengaran, penglihatan dan keupayaan. Kemudian Allah kurniakan semua itu kepadanya; pakaian, perhiasan, kelengkapan, harta kekayaan serta tenaga untuk berusaha”. - Tafsir Ibn Kathir
8. Siapapun kita, sedikit atau banyak rezeki yang diperuntukkan untuk kita, kita tetap akan mati dan dibangkitkan kembali untuk dihisab segala amalan di dunia ini termasuk rezeki yang kita perolehi; bagaimana kita memperolehinya dan bagaimana kita membelanjakannya.
15102020/27021442
No comments:
Post a Comment