Thursday, October 01, 2020

BERLAPANG DADA DAN BERJIWA BESAR

 

Dua sifat di atas amat diperlukan oleh kita semua. 

Itulah sifat paling menonjol yang dimiliki oleh para nabi utusan Allah.

Justeru, kita yang bercita-cita untuk menjadi penyambung risalah mereka perlu berusaha mendidik diri kita agar sentiasa berlapang dada dan berjiwa besar dalam menghadapi apa jua dugaan dan dugaan. Jangan cepat melenting, mengeluh, melepas geram lalu lari meninggalkan medan.

 

Perhatikan kisah Nabi Ibrahim a.s. yang Allah rakamkan untuk kita teladani:

 

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.

Ketika ia berkata kepada bapanya:

"Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?

" Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.

"Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.

"Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".

(Bapanya) menjawab: 

"Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa".

Nabi Ibrahim berkata: 

"Sejahtera ke atasmu, ayah. Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)".

(Maryam 19:41-48)

 

Perhatikan bahasa yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s., begitu sopan dan lembut, “wahai ayahku...” disulami dengan hujjah yang jelas dan mantap.

 

Namun apa reaksi ayahnya? Tiada panggilan yang baik dan mesra sebagaimana Nabi Yaakub memanggil Yusuf, dan Luqman memanggil anaknya “wahai anak kesayanganku”. 

Sebaliknya dia memanggil Ibrahim. Dia juga tidak menolak dakwah Ibrahim dengan hujjah. Tetapi dengan ugutan serta mengusirnya jauh-jauh. Pun begitu, Nabi Ibrahim tetap berlembut, tidak melenting dan tidak merajuk. Malah tetap mendoakan kesejahteraan ayahnya dan bertegas dengan aqidahnya.  

 

Marilah sama-sama kita mentarbiah diri, keluarga, masyarakat dan umat seluruhnya agar menjadi hamba Allah yang diredhaiNya.

No comments: