Sunday, November 29, 2020

3 SYARAT KEJAYAAN

 

Ramai yang bercakap tentang kejayaan. 

Pelbagai tips dan panduan yang diberikan.

Namun, siapakah yang dapat memberikan jaminan bahawa kejayaan yang didambakan dapat kita capai?

 

Yakinlah bahawa tiada siapa yang dapat menjamin kejayaan untuk kita kecuali Allah Maha Pencipta yang menciptakan kita dari tiada dan menyediakan segala keperluan hidup kita. Dan Dia telah memberikan panduan kejayaan kepada kita melalui lidah RasulNya s.a.w.

 

Daripada Abdullah bin ‘Amru r.a. Baginda s.a.w. bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya telah berjaya orang yang: 

menyerahkan dirinya kepada Allah,

diberikan rezeki dengan kadar yang mencukupi,

dan dianugerahi sifat qanaah dengan apa yang kurniakan Allah kepadanya.” 

Riwayat Muslim.

 

Tiga perkara yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis di atas:

 

Pertama - menyerah diri kepada Allah, tunduk dan patuh kepada suruhan serta laranganNya dengan segala senang hati tanpa bantahan, tanpa penyelewengan sama ada dengan menambah atau mengurangkan sedikitpun daripada apa yang diperintahkanNya. Menerima ketentuanNya dengan redha sama ada ketentuan aspek kauni mahu pun syar’ei.

 

Kedua - dikurniakan rezeki yang mencukupi, tidak terlalu banyak sehingga menyebabkan kita leka, sombong dan bongkak dengan kemewahan yang melimpah, tidak juga terlalu sedikit sehingga terdorong kepada sifat meminta-minta dan mengharap pada pemberian orang lain. Hal ini secara tidak langsung, Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar mendidik diri supaya berusaha sedaya mampu untuk mencukupkan keperluan hidup dan elakkan diri dari meminta-minta dengan manusia.

 

Ketiga - dikurniakan sifat qana’ah. Iaitu rasa redha dan cukup dengan apa yang Allah anugerahkan, tidak tamak, tidak gelojoh serta jauh dari sifat bakhil. Qana’ah bukan bererti berhenti dari berusaha untuk meningkatkan serta menambah apa yang sedia ada. Beramal dan berusaha mesti diteruskan selagi hayat masih ada kemudian berserah kepada Allah SWT yang menentukan hasilnya dengan penuh yakin dan lapang dada.

 

Kesimpulannya, tiga syarat yang disebut di dalam hadis di atas terangkum di dalam tiga perkataan : ISLAM, IFFAH, QANA’AH

Tuesday, November 24, 2020

MATI KAFIR?

 

Haji Qasim tergesa-gesa keluar dari masjid dengan wajah yang mencuka diekori oleh pengikut setianya, Murad.

Mereka singgah di restoran berhampiran untuk bersarapan. 

 

“Kenapa kita tidak ikut solat jenazah bersama jemaah, Qasim?” Soal Murad sambil menghirup teh tarik.

Haji Qasim memandang tepat ke wajah Murad.

“Kalau engkau nak solat, pergilah...!” Bentak Haji Qasim dengan suara yang tinggi.

Murad terperanjat. Dia meletakkan cawan teh tarik yang sedang dipegangnya ke atas meja sambil memandang dengan wajah yang blur ke arah Haji Qasim.

“Kenapa diam? Pergilah!”

“Aku tanya engkau. Kenapa tiba-tiba marah pulak?”

 

“Engkau tahu tak, mayat siapa yang disembahyangkan tu?” sergah Haji Qasim dengan nada yang tinggi.

“Tahu!” jawab Murad sepatah.

“Engkau tahu tak dia tu mati bunuh diri?”

Murad terpinga-pinga.

 

“Orang mati bunuh diri, hukumnya murtad. Jatuh kafir. Tak boleh disembahyangkan!” sambung Haji Qasim dengan suara yang tegas.

Murad terlopong. Dia seperti cuba menghadam apa yang dia dengar dari mulut Haji Qasim. Dia memang tidak ada ilmu tentang hukum-hakam. Pengetahuannya tentang agama amat cetek. Maklumat tentang agama kebanyakannya dikutip daripada Haji Qasim. Walaupun Haji Qasim bukan ustaz atau guru agama tetapi Haji Qasim ramai kawan yang terdiri dari ustaz-ustaz dan alim ulamak. Sebab itu dia tidak ragu kalau Haji Qasim berbicara tentang agama. Dia ikut saja tanpa banyak soal. 

Pagi ini pun ketika jemaah bersedia untuk solat jenazah, dia ikut keluar bersama Haji Qasim.

Namun bila terdengar istilah murtad dan kafir, Murad jadi takut. Dia teringat satu laporan akhbar yang berasaskan kepada pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 266 kes bunuh diri semasa PKP dari bulan Mac hingga Oktober. 

Sekiranya bilangan itu terdiri dari umat Islam, apakah mereka semua dikira murtad? Adakah mereka semua mati sebagai orang kafir yang kekal di dalam neraka?

 

"Siapa yang murtad dan kafir ni?" Soal Haji Saleh sambil menarik sebuah kerusi dan duduk berhadapan dengan Haji Qasim. 

Haji Saleh baru selesai menunaikan solat jenazah di masjid. Haji Qasim tersentak. Dia tidak segera menjawab.

"Kamu masih di sini? Aku ingatkan kamu ada urusan penting cepat-cepat keluar dari masjid sehingga tak sempat tunggu solat jenazah?" Hamdan pula menyampuk.

Murad memandang Haji Qasim. menunggu apakah jawapannya terhadap soalan Haji Saleh tadi.

 

"Aku tak akan sembahyangkan orang yang mati bunuh diri, Hamdan!" Tegas Haji Qasim.

"Oooh, itulah yang aku dengar engkau sebut murtad dan kafir tadi? Adakah engkau anggap dia telah murtad dan mati dalam kekafiran, Qasim?" Soal Haji Saleh.

"Bukan aku yang cakap. Tapi Nabi s.a.w.!"

"Nabi?"

"Ya!" tegas HajQasim dengan yakin.

"Aku pernah dengar guru aku sebut sabda Nabi s.a.w. "Sesiapa yang bunuh dirinya dengan besi, maka besi itu terus berada di tangannya. Dia akan menusuk perutnya dengan besi itu di dalam neraka jahannam kekal abadi selama-lamanya."*

 

"Kamipun pernah dengar juga hadis tu, Qasim. Sebelum solat tadi kami bertanya imam untuk mendapatkan penejelasan..." 

"Penjelasan apa lagi? Bukankah hadis itu telah cukup jelas? Kalau kekal dalam neraka jahannam tu, apa ertinya kalau bukan kafir?" tingkah Haji Qasim sebelum Haji Saleh menghabiskan bicaranya.

“Astaghfirulllahal ‘Adzim. Mengucap Qasim. Jangan terburu-buru menjatuhkan hukuman. Kita tidak tahu latar belakangnya. Kita tidak tahu sebab yang mendorongnya membunuh diri?” Celah Hamdan cuba membetulkan cara berfikir Haji Qasim yang ambil mudah menghukum tanpa menyisat terlebih dahulu.

“Betul kata Hamdan tu. Iman menceritakan bahawa seorang lelaki telah mati membunuh diri dengan memotong urat nadi di tangannya di Madinah. Seorang sahabat bernama Tufail bin Amru bermimpi bertemu dengan lelaki itu. Dia melihat lelaki itu dalam keadaan rupa yang elok tetapi kedua-dua tangannya terbungkus. 

Tufail bertanya: “Apa yang dilakukan oleh Tuhanmu kepadamu?”

Lelaki itu menjawab: “Dia telah mengampuniku dengan sebab aku berhijrah mengikuti Nabi s.a.w.”

Tufail bertanya lagi: “Kenapa aku nampak kedua tanganmu terbungkus?”

Lelaki itu menjawab: “Aku diberitahu bahawa apa yang aku telah rosakkan, tidak akan dibaiki lagi untukku!”

Tufail menceritakan mimpinya itu kepada Nabi s.a.w.

Baginda bersabda: “Ya Allah, ampunkanlah juga untuk kedua-dua tangannya!”**

“Jadi, tak jatuh kafirlah orang yang mati bunuh diri? Macam mana pula dengan hadis yang Qasim sebut tadi?” Soal Murad. Dia masih keliaru.

“Menurut imam tadi, Imam an-Nawawi berkata, cerita Tufail menjadi asas kepada pegangan Ahli Sunnah bahawa orang yang bunuh diri atau melakukan dosa-dosa besar yang lain tidak jadi kafir dan tidak boleh diputuskan dia akan masuk neraka. Sebaliknya ia bergantung kepada kehendak Allah SWT. 

Hadis yang menyatakan orang yang bunuh diri akan kekal di dalam neraka mungkin bagi mereka yang menganggap perbuatan itu halal, atau mungkin untuk memberi ancaman agar muslim tidak mengambil mudah tentangnya.”

 

“Dan orang yang kita sembahyangkan tadi, kita tidak tahu keadaannya, maka kita terima dia berdasarkan apa yang kita kenali dia sebagai muslim. Selain itu kita serah kepada Allah SWT.” tambah Hamdan.

 

 

*Riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

**Riwayat Malik, Ahmad dan Muslim

Monday, November 23, 2020

266 kes bunuh diri semasa PKP, faktor tertinggi disebabkan beban hutang

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan, kes bunuh diri disebabkan bebanan hutang antara yang tertinggi dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober lalu.

Lapor Kosmo!, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa di seluruh negara, pihak polis mencatatkan sebanyak 266 kes bunuh diri dengan 25 peratus daripadanya disebabkan beban hutang yang tinggi.

Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Ramli Haji Din berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan juga, secara purata lebih 30 orang bunuh diri sebulan atau seorang setiap hari dalam tempoh tujuh bulan PKP.

“Sebanyak 24 peratus kejadian bunuh diri disebabkan masalah keluarga, diikuti kes rumah tangga sebanyak 23 peratus, dan 15 peratus lagi atas faktor cinta.

“Punca bunuh diri yang lain termasuk bebanan kerja, halusinasi, mental, media massa serta dadah pula direkodkan sebanyak 13 peratus,” katanya seperti dipetik Kosmo!.

Mengikut pecahan negeri, Johor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 47 kes dan diikuti Selangor (39) serta Kuala Lumpur (28) dan bakinya di negeri lain.

Kata Ramli, lelaki paling ramai dicatatkan dalam tindakan bunuh diri iaitu sebanyak 78 peratus, manakala wanita pula 22 peratus.

Sumber : 

https://malaysiadateline.com/266-kes-bunuh-diri-semasa-pkp-faktor-tertinggi-disebabkan-beban-hutang/


Sunday, November 15, 2020

ENGKAU ABANGKU

 

“Mak, boleh Mimi tanya?” Soal Mimi teragak-agak.

Sudah beberapa hari dia mengumpulkan kekuatan untuk melontarkan soalan yang berligar-ligar di dalam fikirannya.

Dia hairan kenapa ibunya berubah secara tiba-tiba?

Murung. Diam.

Bila ditegur, dia hanya menjawab dengan isyarat sama ada mengangguk, menggeleng atau isyarat dengan tangan.

Apa yang tak kena?

Adakah dia telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya?

 

Selepas bersara beberapa bulan yang lalu, ibunya sangat ceria dan aktif dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan bersama persatuan penduduk setempat. Hanya beberapa hari kebelakangan ini dia tiba-tiba berubah.

 

“Mak, tolonglah! Kenapa mak macam ni? Kalau Mimi salah, Mimi minta maaf” Rayu Mimi dengan sebak.

“Kalau Mak sakit, Mimi boleh bawa Mak ke klinik.”

Ibunya memandang tepat ke wajah Mimi. Dia mengusap-usap tangan Mimi yang diletakkan di atas pahanya.

 

“Mak banyak dosa, Mimi...” akhirnya Hajjah Balqis mula bersuara dengan diiringi deraian air mata.

“Mak, semua kita banyak dosa. Tetapi keampunan Allah lebih luas daripada dosa hambaNya yang bertaubat.”

Mimi memeluk erat tubuh ibu kesayangannya. Membiarkan ibunya memuntahkan segala yang terbuku di dalam hatinya melalui tangisan semahu-mahunya.

 

“Mimi janji tak akan membenci Mak, selepas Mak ceritakan apa yang menjadi rahsia Mak selama ini?”

“Allahu Akbar! Mak, siapalah Mimi untuk menghukum Mak? Sedangkan Allah sendiri mengampuni Mak! Bukankah Mak telah bertaubat dengan taubat nasuha?”

Jawapan Mimi yang berhikmah itu seperti siraman embun pagi yang membasahi jiwa yang benar-benar dilanda nestapa.

“Mak ceritalah apa masalah yang mengganggu fikiran Mak. In syaa Allah Mimi dan Abang Fudin akan berusaha menunaikan apa saja hajat Mak. Percayalah!”

 

Hajjah Balqis menceritakan kepada Mimi, ketika berusia belasan tahun dulu dia bergaul dengan budak-budak nakal. Terjebak dengan segala macam maksiat sehingga mengandung anak luar nikah....

 

“Sebelum ini Mak ingat, selepas bertaubat nasuha Mak sudah terlepas dari dosa itu. Tapi ...” suara Hajjah Balqis terhenti seketika. Dia melepaskan satu keluhan yang berat.

“Kenapa Mak? Yang Mimi faham, bila sudah bertaubat dosa kita dihapuskan...”

 

“Masa bertadarus di surau minggu lepas, kami membaca surah an-Nisaa’ beserta dengan terjemahannya. Apabila sampai kepada ayat ke 11 yang bermaksud, Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan....”, Mak bertanya ustazah yang membimbing kami bertadarus itu, maksud anak dalam ayat itu anak yang lahir dari perkahwinan yang sah sahaja ke? Kalau seorang perempuan melahirkan anak luar nikah, adakah anak itu berhak menerima pusaka juga?”

 

“Apa ustazah jawab, Mak?” Soal Mimi seperti tidak sabar untuk mengetahui jawapannya.

 

“Ustazah kata, anak luar nikah tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya. Atau mudahnya tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya. Oleh itu dia tidak boleh mewarisi apa-apa harta dari lelaki itu. Namun perempuan yang melahirkannya tetap ibunya yang sah. Maka dia berhak mewarisi harta ibunya dan ibunya berhak mewarisi hartanya.”

 

Mimi terkedu.

 

“Mak risau, kalaulah anak Mak tu masih hidup, bagaimana hendak sampaikan harta pusaka peniggalan Mak kepadanya? Walaupun sedikit, tetap wajib disampaikan kerana itu haknya!” 

Diam seketika.

“Tapi yang lebih Mak risaukan...” Hajjah terhenti. Dia menatap wajah Mimi. Lama sekali seolah-olah mahu membaca isi hati Mimi

“Apa, Mak?”

“Mimi tak boleh terima sebab bahagian yang Mimi akan dapat lebih sedikit berbanding dengannya!”

“Mak ni, apa pula fikir macam tu? Mimi tau, rezeki kita di Tangan Allah. Apa guna banyak kalau ia tidak halal untuk kita?”

“Allahu Akbar! Syukurnya. Lega hati Mak bila dengar Mimi cakap macam tu.”

“Mak usah risaukan Mimi. Sekarang lebih baik kita fikirkan bagaimana nak cari anak Mak tu!”

“Hemm... itu yang Mak pening memikirkannya.”

“Mak ingat tak di mana Mak lahirkan dia dan apa yang berlaku selepas itu?”

 

“Selepas mendapat tahu Mak mengandung, arwah nenek kau hantar Mak ke rumah perlindungan dan pemulihan remaja yang nakal macam Mak ni. Di situlah Mak mendapat kesedaran kembali ke jalan yang benar. Semua anak yang dilahirkan di situ akan diserahkan kepada keluarga angkat. Dan kami tidak dimaklumkan siapa dan di mana keluarga angkat yang mengambil anak-anak kami?”

 

“Mak masih simpan kah alamat rumah perlindungan tu?”

“Ada.”

“Kalau begitu, senanglah, Mak.”

“Senang?”

“Mimi dengan Abang Fudin boleh pergi ke rumah perlindungan itu dan bertanya tentang keluarga angkat yang ambil anak Mak.”

“Sudah lebih 40 tahun. Adakah mereka masih menyimpannya? Entah-entah rumah itu pun sudah tidak ada lagi?” 

“Kita usaha, Mak!”

 

“Tapi...”

“Kenapa, Mak?”

“Mimi jangan pergi selagi Mak masih hidup!”

“Kenapa? Mungkin ini satu peluang untuk Mak bertemu dengan anak Mak?”

“Mak tak mahu jumpa, Mimi. Mak tak tahu apa pandangannya terhadap Mak? Mungkin dia benci dan menyimpan dendam terhadap Mak? Nanti Mak akan lebih tertekan dan menderita sepanjang hayat. Biarlah Mak tidak jumpa dan tidak tahu. Sekarang Mak sudah rasa tenang kerana Mimi akan laksanakan amanah menyampaikan harta pusaka Mak kepadanya. Moga-moga dia masih hidup.”

 

Setahun kemudian.

 

Mimi dan suaminya baru keluar dari rumah perlindungan dan pemulihan remaja  dengan penuh rasa syukur. Pihak pengurusan masih menyimpan semua rekod para pelatih yang pernah tinggal di situ serta rekod keluarga angkat yang mengambil anak-anak dari situ. Mereka menyedari pentingnya menjaga keturunan dan hubungan darah antara anak dengan ibu yang melahirkan. Justeru, jika ada ibu-ibu yang ikhlas datang mencari mereka akan memberikan kerjasama dengan syarat mereka tidak boleh lagi menuntut anak dari keluarga angkat masing-masing.

 

Misi seterusnya ialah mencari keluarga angkat anak Mak.....

 

“Assalamu’aikum...” Saifuddin memberi salam. 

Selepas tiga kali, barulah muncul seorang lelaki dalam lingkungan usia 45 tahun.

“Wa’alaikumus-salam. Cari siapa?”

“Ini rumah Encik Zafran?”

“Ya, saya. Encik berdua ni, siapa?” Tanya Zafran kehairanan.

“Kami ada hajat nak jumpa Encik Zafran...”

“Hajat? Hajat apa?” Zafran berasa ragu-ragu untuk menerima tetamu yang tidak dikenali itu. Macam-macam boleh berlaku pada zaman yang serba-serbi sukar dijangka sekarang ini.

 

Mimi dan Saifuddin berpandangan menunggu pelawaan tuan rumah.

“Kalau Encik Zafran rasa keberatan untuk mempelawa kami masuk, kita bincang di luar pun tak mengapa.” Saifuddin memberi cadangan.

Melihat kesungguhan tetamu yang datang untuk menyampaikan hajat, Zafranpun mempelawa mereka berdua masuk. 

1001 satu persoalan menerjah mindanya.

 

“Kami dari rumah Haji Darus tadi,”

Haji Darus, ayah angkat saya tu?” 

“Ya!”

“Kenapa dengan dia?”

“Tadi Encik Zafran kata, dia ayah angkat Encik Zafran, kan?”

Zafran benar-benar kebingungan. Siapa sebenarnya hamba Allah berdua ni? Apakah maksud di sebalik soalan itu?

 

“Ya. Walaupun statusnya ayah angkat tapi bagi saya, dialah ayah saya dunia akhirat dan Mama Hajjah Masyitah itulah ibu saya dunia akhirat.”

“Encik Zafran tak pernah tanya tentang ibu kandung Encik?”

 

“Bohong la kalau saya kata, saya tak pernah terfikir tentang ibu kandung. Tetapi demi menjaga perasaan mereka yang membesar dan mendidik saya dengan cukup baik, saya pendamkan saja. Namun dalam hati sentiasa berdoa semoga Allah pelihara ibu yang melahirkan saya dan mengampuni segala dosa-dosanya.” Kelihatan air jernih bergenang di kelopak matanya.

 

Mimi tidak boleh menahan sebak. Dia mengelap air mata yang mengalir deras membasahi pipi.

 

“Encik Zafran, kami datang sebagai memenuhi wasiat arwah Mak supaya menyampaikan harta peninggalannya kepada yang berhak menerimanya sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran.”

“Apa maksud saudara? Saya tidak faham?”

“Isteri saya ni, satu-satunya anak perempuan arwah Mak. Dia adik Encik Zafran seibu.”

Zafran terlopong. Matanya terhala ke arah Mimi yang tidak henti-henti mengesat air mata.

“Sebagai anak kepada arwah Mak, Encik Zafran mempunyai hak untuk menerima sebahagian harta peninggalannya.”

 

Zafran masih belum mengeluarkan kata-kata walau sepatah. Dia seperti sedang bermimpi.

 

“Betul, abang. Inilah dokumen-dokumen harta peninggalan Mak. Kami memerlukan kerjasama abang untuk proses pindah milik. Mimi tidak mahu mengambil harta yang bukan milik Mimi walaupun sedikit.” Mimi baru bersuara dalam sedu sedannya.

 

Zafran terkesima. Tiada sepatah kata terkeluar dari bibirnya. Dia membongkok sujud syukur kepada Yang Maha Esa. Bukan kerana akan menerima harta pusaka yang dia sendiri tidak tahu jumlahnya. Tetapi kerana Allah menghantarkan insan-insan berhati mulia ke dalam hidupnya meskipun dia lahir ke dunia ini tanpa dirancang dan dikehendaki oleh orang yang melahirkannya.

Tuesday, November 10, 2020

KELEBIHAN BERSELAWAT KE ATAS NABI S.A.W.

 

Selawat ke atas Nabi s.a.w. adalah satu ibadah yang sangat dituntut. Ia juga satu daripada rukun solat. Tidak sah solat tanpa berselawat.

Selawat adalah manifestasi kecintaan dan penghargaan kita ke atas jasa, perjuangan dan pengorbanan baginda yang tidak ternilai dalam menyampaikan agama suci ini kepada kita. 

 

Namun begitu, terdapat di kalangan masyarakat kita melihat amalan berselawat ini hanya dari aspek pahala dan keuntungan yang bakal diraih semata-mata sehingga sanggup menyebarkan hadis-hadis yang tidak sahih. Tanpa mereka sedar, pahala yang dicari dosa yang diperolehi. Syurga yang didamba neraka yang disediakan untuknya.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya berdusta ke atasku bukan seperti berdusta ke atas seseorang (selainku). sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka selayaknyalah tempat duduknya di neraka!” Riwayat Al-Bukhari. 

 

Berikut adalah beberapa hadis yang tular di media sosial melalui rakaman video dan sebagainya tentang kelebihan berselawat ke atas baginda s.a.w. sebahagiannya sahih dan sebahagiannya tidak sahih. Maka sebelum memfoward apa yang diterima pastikanlah terlebih dahulu kandungannya sama ada hadis itu sahih atau tidak. Peliharalah diri dari api neraka. Jangan dedahkan diri terjebak ke dalamnya tanpa sengaja.  

 

1. “Sesiapa yang berselawat ke atasku dalam satu hari 1000 kali, dia tidak mati kecuali dia melihat tempat duduknya di syurga” Riwayat Abu Al-Syaikh daripada Anas r.a.

Isnadnya dhaif. Al-Hafidz Abu Abdullah Al-Maqdisi berkata di dalam kitab selawat ke atas Nabi s.a.w.: aku tidak mengetahuinya melainkan daripada hadis Al-Hakam bin Atiyyah. Al-Dar Qutni berkata: dia (Al-Hakam) mengambil  daripada Thabit hadis-hadis yang tidak boleh diikuti. Imam Ahmad berkata: tidak mengapa, tetapi Abu Daud Al-Tayalisi meriwayatkan daripadanya (Al-Hakam) hadis-hadis yang mungkar.

Al-Albani mengkategorikannya sebagai dhaif. Dan berkata ia adalah mungkar. Di dalam silsilah dha’ifah, dia berkata hadis itu dhaif sangat.

 

2. “Sesiapa yang berselawat ke atasku dalam sehari 100 kali, Allah tunaikan untuknya 100 hajat; 70 untuk akhiratnya, 30 untuk dunianya” Riwayat  Ibn Al-Najjar daripada Jabir r.a.

Tidak ditemui sanadnya dan tidak ditemui apa-apa ulasan daripada ulamak tentang kedudukan hadis tersebut.

 

3. “Sesiapa yang berselawat ke atasku ketika pagi dan petang 10 kali, dia akan mendapat syafaatku...” Riwayat Al-Tabrani dengan dua sanad. Salah satunya jayyid dan perawi-perawinya thiqah.

 

4. “Sesiapa yang berselawat ke atasku 10 kali, dihapuskan darinya 10 kesalahan, diangkat untuknya 10 darjat.” Riwayat Ahmad dan lain-lain. Al-Albani mengkategorikannya sebagai sahih.

 

5. “Tiada seorangpun yang memberi salam kepadaku melainkan Allah kembalikan ruhku kepadaku sehingga aku dapat menjawab salamnya.” Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Menurut Al-Albani, hadis ini sahih.

 

6. “Sesungguhnya manusia paling utama bagiku pada hari qiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku.” Riwayat Al-Tirmizi dan Ibn Hibban di dalam kitab sahihnya.

 

7. “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu kali, Allah berselawat ke atasnya 10 kali.” Hadis sahih riwayat Muslim dariapda Abu Hurairah r.a.

 

Ya Allah, sampaikanlah selawat dan salam kami kepada junjungan kami yang tercinta Nabi Muhammad s.a.w.

 

Ulasan mengenai kedudukan hadis dipetik daripada islamqa.info

Saturday, November 07, 2020

KEMATIAN - ADAKAH DIA SEDANG MENUNGGUMU ATAU ENGKAU MENUNGGUNYA?

 

Diceritakan bahawa seorang menteri yang telah berkhimdat dengan cemerlang pada zaman pemerintahan Nabi Daud alaihis-salm. Apabila Nabi Daud wafat, dia menyambung khidmatnya di bawah Nabi Sulaiman putera Nabi Daud alaihimas-salam.

 

Pada suatu pagi ketika sang menteri berada di sisi Nabi Sulaiman di istananya, masuk seorang lelaki memberi salam dan berbicara dengan Nabi Sulaiman. Lelaki itu terpandang menteri yang sedang duduk di sisi Nabi Sulaiman. Dia merenung menteri itu dengan pandangan yang tajam menyebabkan menteri berasa takut dan tidak senang duduk.

 

Apabila lelaki itu keluar, menteri bertanya, siapakah lelaki itu? Dia merenungku dengan pandangan yang sungguh menakutkan! Nabi Sulaiman menjawab bahawa dia adalah Malakil-Maut yang datang dalam rupa seorang lelaki.

Menteri bertambah takut. Dia merayu agar Nabi Sulaiman mengarahkan angin menerbangkannya ke tempat paling jauh di benua India.

Nabi Sulaiman perintahkan angin. Lalu angin melaksanakan apa yang diperintahkan.

 

Keesokannya, Malakil-Maut datang lagi pada waktu yang sama. Nabi Sulaiman bertanya, “kenapakah semalam engkau memandang sahabatku dengan pandangan yang menakutkan?”

Malakil-Maut menjawab, “wahai Nabi Allah, aku datang semalam waktu dhuha, sedangkan Allah telah memerintahkanku supaya mencabut nyawanya di India selepas zohor. Maka aku sangat hairan, apabila mendapati dia berada di sisimu!”

“Lalu, apa yang engkau lakukan?” tanya Nabi Sulaiman.

Malakil-Maut menjawab, “aku pergi ke tempat yang aku diperintahkan. Dan aku mendapati dia berada di situ sedang menungguku. Lalu aku mencabut nyawanya!”

 

Kisah ini tiada sanad yang bersambung kepada Rasulullah SAW. Mungkin ia termasuk dalam kategori israeliyat. Sama ada benar atau tidak kisah tersebut, ia mengajar kita hakikat kematian yang pasti kita temui tepat pada masa dan tempat yang telah ditentukan.

 

Bersedialah....!!!  

 

*UMD*

08112020

MENEMPAH NAMA YANG HARUM

 

"Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;” (Asy-Syu'araa' 26:84)

 

Itu adalah antara doa yang dipanjatkan oleh Abu al-Anbiaa’ Nabi Ibrahim ‘alaihis-salam.

Ia menggambarkan hasrat kita semua, iaitu meninggalkan nama yang baik, selepas kita mati, nama yang harum, nama yang menginspirasikan. Bak kata pepatah: harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Dan harus diingat bahawa yang akan dikenang dan disebut-sebut adalah apa yang kita lakukan di penghujung kehidupan kita. Kita mati sebagai apa dan bagaimana?

 

Entah kenapa tiba-tiba saya teringatkan sahabat-sahabat yang telah bertahun-tahun lamanya bersyarah dengan lancar dan petah, disulami ayat-ayat al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW), berjuang siang dan malam tanpa mengenal penat dan lelah. Bersama Islam membina negara. Bersama Islam membangun ummah. Dan bermacam-macam slogan yang enak didengar, senang dihafal.

 

Tetapi amat mengejutkan apabila tiba-tiba haluan berputar. Bagaimana mereka boleh bersekongkol membantu dan berkerjasama dengan kelompok manusia yang mengkhianati dan memungkiri perjanjian yang telah ditanda tangani? Perjanjian untuk melawan kleptokrasi dan menentang rasuah. Perjanjian untuk membawa perubahan, membangun masyarakat dan negara berasaskan keadilan, kesaksamaan dan integriti.

Pada hal Allah secara terang-terang menyatakan: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.” (Al-Anfaal 8:58

Bagaimana mungkin orang yang siang malam bercakap penuh semangat mahu menegakkan Islam boleh menyokong dan mendukung pengkhianat?

Bukan sekadar itu, malah turut membantu meredah masuk melalui pintu belakang dan menebuk atap untuk merampas sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui PRU yang sah? 

Satu langkah yang jelas bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Tetapi para pejuang Islam menganggap ianya satu langkah yang halal dan terpuji?

 

Maka, kalau itulah pengakhiran satu perjuangan untuk menegakkan Islam apakah warna dan bau yang terlekat pada nama kita selepas kita mati nanti?

 

Allah Maha Besar! Engkau jua sebaik-baik Pemberi petunjuk dan sebaik-baik Pelindung.

 

Tunjukkanlah kami jalan yang benar dan peliharalah iman kami sehingga ke akhir hayat kami.