Thursday, December 31, 2020

AKHIRNYA ENGKAU PERGI JUA

 

2020

Akhirnya engkau pergi jua

Dengan lelehan air mata duka

Maafkan aku tidak mampu mengelap air matamu

Kerana hatiku juga turut terluka

Sejarahmu diguris dan dicalar-calar

Dengan langkah durjana 

Manusia-manusia yang tidak beretika

 

Empat dasawarsa yang lalu

Namamu disebut-sebut

Kehadiranmu dinanti-nanti

Menggalas satu wawasan

Berisi kesejahteraan, kejayaan serta kemakmuran

 

Hari ini engkau dipapah pergi

Menanggung luka nan kian parah

Memikul beban sejarah penuh gundah

Dek segerombolan manusia

Berpakat berbuat jahat

Merampas kuasa yang terbina di atas mandat rakyat

Melalui pintu belakang dan tebuk atap

Atas dakwaan sebagai penyelamat

Hakikatnya rakyat terus merempat

Pangkat dan harta mereka yang rembat

Demokrasi bagaikan tiada tempat

Kebenaran, keadilan, setia kawan diinjak lumat

 

Pakaian dari hujung kepala sehingga ke tapak kaki

Dicelup dengan warna keagamaan dan kealiman

Tutur bicara yang disulam ayat Quran dan sabda junjungan

Semangat jihad yang kental tika menapak mencari kedudukan

Sekonyong-konyong sirna di balik awan nan hitam

Slogan-slogan nan indah entah di mana tertanam

 

Di luar sana

Zionis kian merajalela

Normalisasi dijaja dan dijulang oleh petualang

Saudi, UAE dan yang seangkatan

Kepekaan ummah makin terbenam

Derita Palestin tiada terbela

Masjid Al-Aqsa menangis hiba

Menanti kehadiran Salahuddin dan Umar kali ke dua

 

Wabak oh wabak

Covid-19 namamu tercetak 

Di serata dunia engkau merebak

Kerana engkau 

Norma kehidupan dirombak

Yang sakit, yang mati terus menjanak

 

2020

Akhirnya engkau pergi jua

Maafkan kerana aku tidak berupaya

Membekalkanmu dengan cenderamata yang berharga

Menikmati prinsip hidup berasaskan demokrasi

Yang mendukung keadilan, kesaksamaan dan persaudaraan

Pentadbiran yang telus dan berintegriti

Kemakmuran hidup di semua sektor

Kestabilan politik, sosial dan ekonomi

Kesihatan awam dan keharmornian persekitaran

Pendidikan anak-anak dan keluarga yang syumul dan holistik

Semuanya terpendam di dalam impian

Engkau pergi tidak mampu aku bekalkan

 

Selamat jalan... 

 

*UMD*

01012021/17051442

Saturday, December 26, 2020

GAGAL MERAIH REZEKI?

 

Ketika membaca surah Al-Jumu’ah, tiba-tiba perhatian saya tertumpu pada ayat ke 10 yang bermaksud:

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

 

Kadang-kadang sebahagian kita mengeluh kerana kesempitan hidup; duit tak cukup, bisnes lingkup, pintu-pintu rezeki bagaikan tertutup.

Cuba kita perhatikan ayat di atas, apa yang Allah perintahkan?

 

Pertama, selesaikan solat terlebih dahulu. Meskipun ayat itu merujuk kepada solat Jumaat yang diserukan pada ayat sebelumnya (ayat 9), namun pada pendapt saya, tidak salah kalau kita kiaskan kepada semua solat yang lain juga. Jangan sekali-kali abaikan solat. Sempurnakan solat terlebih dahulu. Jangan tergesa-gesa mengejar peluang sehingga solat dikesampingkan.

 

Kedua, bertebaranlah di muka bumi. Pergilah ke mana sahaja menerusi alam nyata mahupun alam maya. Sesuai zaman sekarang, menjelajah ke alam maya lebih luas peluangnya.

 

Ketiga, cari apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah. Inilah yang mesti diyakini, dihadam dan dipegang sungguh-sungguh bahawa yang memberi rezeki hanyalah Allah, bukan usaha kita, bukan juga manusia atau makhluk-makhluk lain. Hanya Allah jua semat-mata.

 

Keempat, ingatlah akan Allah banyak-banyak. Di dalam semua keadaan, ketika merancang, melaksanakan apa yang dirancang, berhubung dengan pelanggan, menerima dan menghantar barang atau perkhidmatan, jangan lupa kepada Allah, sebut nama Allah sebanyak-banyaknya kerana itu janjiNya supaya kamu berjaya. Dan Maha Suci Allah dari memungkiri janji.

Zikir yang paling sinonim dengan pertambahan rezeki adalah istighfar sebagaimana yang dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud:

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

"Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Nuh 71:10,11,12

Justeru, beristighfarlah sebanyak-banyaknya. Mungkin terhalangnya rezeki kerana dosa-dosa kita yang masih membukit, atau kesalahan-kesalahan yang masih terselit di sudut hati yang terlalu sempit. 

 

*UMD*

27122020/12051442

Sunday, December 13, 2020

KAMU ADALAH SEBAIK-BAIK UMAT

 

Wahai Ikhwan, 

Sesungguhnya kami benar-benar percaya dengan yakin bahawa di mana saja terdapat orang Islam, di situ terdapat bersama mereka kebaikan walau seteruk manapun keadaan semasa, seburuk manapun kerosakan umat manusia, sehebat manapun kebatilan dan sekuat manapun para pendokongnya.

 

Maka hendaklah kamu wahai Ikhwan, sentiasa berpegang teguh dengan ajaran agamamu serta sunnah nabimu s.a.w.

 

Hendaklah kamu serlahkan cahayanya pada dirimu, pada keperibadianmu.

Jangan keluarkan apa-apa daripada dirimu kecuali kebaikan.

Jangan kamu tuang dan simpan di dalam dadamu kecuali sekeping hati yang melimpah dengan kasih sayang, kemesraan, simpati dan empati.

Unjukkanlah kepada manusia anak tangga menuju ke arah ketinggian dan kesempurnaan, bukan dengan perkataan semata-mata, sebaliknya dengan amalan yang diredhai Allah dan rasulNya, amalan yang selari dengan agamamu yang lurus dan sejarahmu yang unggul.

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (A-li'Imraan 3:110)

 

- Imam Hasan Al-Banna, Nadzarat fi Al-Quran.

Friday, December 11, 2020

TIPS KHUSYUK SOLAT

 

Ramai ikhwan yang mengadu kepadaku bahawa hati mereka bercelaru dan tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Allah SWT ketika solat. Aku berkata kepada mereka bahawa penawar yang dapat menyembuhkannya atau setidak-tidak mengurangkan kecelaruan itu ialah memerhatikan hikmah di sebalik setiap amalan atau pergerakan di dalam solat. Tetapi janganlah mengoreknya terlalu mendalam.

Maka, ketika engkau berdiri mengadap qiblat, berusahalah bersungguh-sungguh sebelum mengangkat takbir untuk menghalakan sinaran dari hatimu terus bersambung menyentuh Kaabah yang mulia. Bayangkan Allah SWT sedang melihat dan memerhati dirimu.

Dan ketika engkau mengangkat takbir, bayangkan wahai saudarku bahawa engkau sedang melemparkan dunia ini ke belakangmu sejauh-jauhnya. Tumpukan perhatian sepenuh-penuhnya kepada solatmu.

Jika engkau dapat mengawal dan mengandalikan hatimu pada detik ini, nescaya engkau akan berjaya mengekangnya. Ia tidak akan lari lagi sehingga akhir solatmu.

 

Imam Hasan Al-Banna, drpd kitab Nadzarat fi Al-Quran.

Saturday, December 05, 2020

KEADILAN - BUKAN SEKADAR UCAPAN

 

Al-Jarrah bin Sinan Al-Asadi serta beberapa orang dari kalangan kaumnya mengadu kepada Amirul-Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a. tentang Gabenor mereka, Saad bin Abi Waqqas r.a. Mereka mempersoalkan tentang agamanya, solatnya serta keadilannya.

 

Umar r.a. yang amat mengenali Saad r.a. meragui tohmahan itu. Namun demi keadilan beliau menghantar Muhammad bin Maslamah untuk menyiasat. Muhammad dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab menyiasat semua kakitangan kerajaan yang dilantik oleh Umar r.a. 

Umar r.a. sangat-sangat mempercayainya dan menghantarnya untuk menjalankan siasatan dalam semua aduan. 

 

Muhammad tidak menjalankan siasatan secara rahsia. Sebaliknya beliau membawa Saad r.a. menjelajah dari satu masjid ke satu masjid. Beliau bertanya para jamaah tentang Saad. Mereka semuanya menjawab bahawa mereka tidak mengetahui tentang Saad kecuali baik dan mereka tidak ingin beliau ditukar ganti.

 

Sehinggalah tiba ke tempat Al-Jarrah. Namun dia tidak berani untuk menyebut tuduhan yang telah diadukan kepada Umar, serta tidak sanggup untuk mengatakan sesuatu yang tidak baik tentang Saad. Al-Jarrah dan semua jamaah hanya diam membisu.

 

Akhirnya Muhammad tiba di masjid Bani Abasa. 

Muhammad berkata: “Aku merayu kepadamu dengan Nama Allah, sesiapa dari kalangan kamu yang mengetahui perkara benar tentang Saad, hendaklah dia berkata dengan jujur!”

Maka bangunlah seorang lelaki bernama Usama bin Qatadah. Dia berkata: “Ya Allah, oleh kerana kamu telah merayu kepada kami, maka sesungguhnya Saad tidak membahagikan (harta) dengan saksama, dia tidak berlaku adil terhadap rakyat jelata dan tidak berperang dalam angkatan tentera!”

 

Mendengar tuduhan yang berat itu Saad berdoa: “Ya Allah, sekiranya apa yang dikatakannya itu dusta, butakanlah matanya, panjangkanlah umurnya, kekalkanlah kefaqirannya, dan janganlah matikan dia kecuali dalam keadaan terfitnah!”

 

Maka selepas itu, Usamah bin Qatadah menjadi buta. Dia pantang mendengar tentang wanita, dia akan pergi mencarinya. Apabila orang bertemu dengannya, dia berkata: “Telah tertimpa ke atasku doa Saad, seorang lelaki yang diberkati.”

 

Abdul Malik bin Umair berkata: “Aku bertemu dengannya selepas kedua keningnya telah jatuh menutupi kedua matanya, sedang dia masih berpelesiran dan bergurau senda dengan wanita-wanita.” 

 

(Daripada kitab Zadul-Murabbin, Ibrahim Badar Shihab AlKhalidi, 2002)

 

Kisah ini jelas menunjukkan keadilan dan ketelusan Khalifah Umar r.a.

Beliau tidak berdiam diri apabila menerima aduan rakyat tentang penyelewengan seseorang penjawat awam yang dilantiknya. Meskipun tuduhan itu dibuat ke atas seseorang yang amat diyakini akan kejujurannya, dia tetap mendengar dan menyiasatnya yang mana akhirnya terbukti tuduhan itu hanya fitnah semata-mata.

Di sini juga terselit pengajaran penting, iaitu mustajabnya doa orang yang dizalimi. 

Thursday, December 03, 2020

Di Hujung Perjalanan

 

Semakin hari semakin jauh aku berjalan

Meninggalkan jejak bak bayang-bayang

Jejak-jejak yang semakin terpadam

Tanpa meninggalkan bekas 

Di atas dada bumi, atau

Di dalam lubuk hati

 

Aku terus berjalan dan berjalan 

Memandang ke hadapan

Mengejar cahaya yang tampak berbalam-balam

Berbekalkan cinta dan harapan

Pada lambaian kasih dan sayang

Pada janji yang dititipkan

Pada keampunan yang amat didambakan

 

Perjalananku semakin menghampiri

Destinasi yang telah dimeterai

Kakiku kian lemah untuk melangkah

Tanganku kian longlai untuk menggapai

Padahal... 

Kantung amalku masih kosong

Tabung pahalaku banyak yang lompong

 

Badanku menggigil

Hatiku bergetar

Air mataku berjurai-jurai

Bukan kerana sedih meninggalkan dunia

Yang memang bukan milikku

Atau sahabat dan saudara  

Yang memang tidak memerlukan aku

Kerana aku hanyalah sebutir melukut

Keberadaanku tidak dirasai

Ketiadaanku tiada siapa yang rugi

 

Aku menangisi masa yang telah luput

Jalan panjang yang telah berlalu

Tiada lagi kesempatan untuk berpatah

Menambah bekalan yang amat-amat kurang

Namun perjalanan pasti diteruskan

Walau hanya berbekal penyesalan...

 

 

*UMD*

03122020

17041442