Saturday, December 05, 2020

KEADILAN - BUKAN SEKADAR UCAPAN

 

Al-Jarrah bin Sinan Al-Asadi serta beberapa orang dari kalangan kaumnya mengadu kepada Amirul-Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a. tentang Gabenor mereka, Saad bin Abi Waqqas r.a. Mereka mempersoalkan tentang agamanya, solatnya serta keadilannya.

 

Umar r.a. yang amat mengenali Saad r.a. meragui tohmahan itu. Namun demi keadilan beliau menghantar Muhammad bin Maslamah untuk menyiasat. Muhammad dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab menyiasat semua kakitangan kerajaan yang dilantik oleh Umar r.a. 

Umar r.a. sangat-sangat mempercayainya dan menghantarnya untuk menjalankan siasatan dalam semua aduan. 

 

Muhammad tidak menjalankan siasatan secara rahsia. Sebaliknya beliau membawa Saad r.a. menjelajah dari satu masjid ke satu masjid. Beliau bertanya para jamaah tentang Saad. Mereka semuanya menjawab bahawa mereka tidak mengetahui tentang Saad kecuali baik dan mereka tidak ingin beliau ditukar ganti.

 

Sehinggalah tiba ke tempat Al-Jarrah. Namun dia tidak berani untuk menyebut tuduhan yang telah diadukan kepada Umar, serta tidak sanggup untuk mengatakan sesuatu yang tidak baik tentang Saad. Al-Jarrah dan semua jamaah hanya diam membisu.

 

Akhirnya Muhammad tiba di masjid Bani Abasa. 

Muhammad berkata: “Aku merayu kepadamu dengan Nama Allah, sesiapa dari kalangan kamu yang mengetahui perkara benar tentang Saad, hendaklah dia berkata dengan jujur!”

Maka bangunlah seorang lelaki bernama Usama bin Qatadah. Dia berkata: “Ya Allah, oleh kerana kamu telah merayu kepada kami, maka sesungguhnya Saad tidak membahagikan (harta) dengan saksama, dia tidak berlaku adil terhadap rakyat jelata dan tidak berperang dalam angkatan tentera!”

 

Mendengar tuduhan yang berat itu Saad berdoa: “Ya Allah, sekiranya apa yang dikatakannya itu dusta, butakanlah matanya, panjangkanlah umurnya, kekalkanlah kefaqirannya, dan janganlah matikan dia kecuali dalam keadaan terfitnah!”

 

Maka selepas itu, Usamah bin Qatadah menjadi buta. Dia pantang mendengar tentang wanita, dia akan pergi mencarinya. Apabila orang bertemu dengannya, dia berkata: “Telah tertimpa ke atasku doa Saad, seorang lelaki yang diberkati.”

 

Abdul Malik bin Umair berkata: “Aku bertemu dengannya selepas kedua keningnya telah jatuh menutupi kedua matanya, sedang dia masih berpelesiran dan bergurau senda dengan wanita-wanita.” 

 

(Daripada kitab Zadul-Murabbin, Ibrahim Badar Shihab AlKhalidi, 2002)

 

Kisah ini jelas menunjukkan keadilan dan ketelusan Khalifah Umar r.a.

Beliau tidak berdiam diri apabila menerima aduan rakyat tentang penyelewengan seseorang penjawat awam yang dilantiknya. Meskipun tuduhan itu dibuat ke atas seseorang yang amat diyakini akan kejujurannya, dia tetap mendengar dan menyiasatnya yang mana akhirnya terbukti tuduhan itu hanya fitnah semata-mata.

Di sini juga terselit pengajaran penting, iaitu mustajabnya doa orang yang dizalimi. 

No comments: