Saturday, December 26, 2020

GAGAL MERAIH REZEKI?

 

Ketika membaca surah Al-Jumu’ah, tiba-tiba perhatian saya tertumpu pada ayat ke 10 yang bermaksud:

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

 

Kadang-kadang sebahagian kita mengeluh kerana kesempitan hidup; duit tak cukup, bisnes lingkup, pintu-pintu rezeki bagaikan tertutup.

Cuba kita perhatikan ayat di atas, apa yang Allah perintahkan?

 

Pertama, selesaikan solat terlebih dahulu. Meskipun ayat itu merujuk kepada solat Jumaat yang diserukan pada ayat sebelumnya (ayat 9), namun pada pendapt saya, tidak salah kalau kita kiaskan kepada semua solat yang lain juga. Jangan sekali-kali abaikan solat. Sempurnakan solat terlebih dahulu. Jangan tergesa-gesa mengejar peluang sehingga solat dikesampingkan.

 

Kedua, bertebaranlah di muka bumi. Pergilah ke mana sahaja menerusi alam nyata mahupun alam maya. Sesuai zaman sekarang, menjelajah ke alam maya lebih luas peluangnya.

 

Ketiga, cari apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah. Inilah yang mesti diyakini, dihadam dan dipegang sungguh-sungguh bahawa yang memberi rezeki hanyalah Allah, bukan usaha kita, bukan juga manusia atau makhluk-makhluk lain. Hanya Allah jua semat-mata.

 

Keempat, ingatlah akan Allah banyak-banyak. Di dalam semua keadaan, ketika merancang, melaksanakan apa yang dirancang, berhubung dengan pelanggan, menerima dan menghantar barang atau perkhidmatan, jangan lupa kepada Allah, sebut nama Allah sebanyak-banyaknya kerana itu janjiNya supaya kamu berjaya. Dan Maha Suci Allah dari memungkiri janji.

Zikir yang paling sinonim dengan pertambahan rezeki adalah istighfar sebagaimana yang dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud:

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

"Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Nuh 71:10,11,12

Justeru, beristighfarlah sebanyak-banyaknya. Mungkin terhalangnya rezeki kerana dosa-dosa kita yang masih membukit, atau kesalahan-kesalahan yang masih terselit di sudut hati yang terlalu sempit. 

 

*UMD*

27122020/12051442

No comments: