Thursday, January 07, 2010

Siapa yang keliru?

Saya menerima email dari seorang teman mengatakan bahawa semalam, semasa melalui DUKE dekat Gombak terdapat satu kain rentang yang bertulis: "Allah is the God of Muslims and not the God of the Christians" - Penduduk Taman Selasih.

Subhanallah! Maha Suci Allah! Adakah betul Allah itu adalah Tuhan bagi orang Islam?

Sejak sekian lama kita diajar membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat di dalam solat. Ayat kedua surah tersebut berbunyi:

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.”

Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan, bukan sahaja untuk sekelian manusia baik yang Islam atau bukan Islam, malah Allah jugalah Tuhan yang mencipta, memiliki dan mentadbir alam seluruhnya.

Dalam bersemangat mempertahankan kesucian kalimah Allah, jangan sampai kita terkeliru. Silap-silap aqidah kita yang terseleweng, na’udzubillah!
Sebagai muslim, tanggungjawab kita adalah membetulkan kepercayaan karut yang mereka anuti. Lantaran itu kita harus berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan. Tersilap langkah boleh menyebabkan mereka semakin menjauhkan diri daripada Islam. Yang rugi kita juga.

Di dalam al-Quran, Allah menceritakan perihal orang-orang musyrik yang menyembah berhala tetapi tetap mengakui Allah sebagai Pencipta dan Pemberi rezeki.
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?” (Al-‘Ankabut 29:61)
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).” (Al-‘Ankabut 29:63)

Orang-orang Yahudi mendakwa ‘Uzayr anak Allah dan orang-orang Nasrani pula mendakwa al-Masih anak Allah.
“Dan orang-orang Yahudi berkata: Uzair ialah anak Allah dan orang-orang Nasrani berkata: Al-Masih ialah anak Allah. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?” (Al-Taubah 9:30)

Dengan kesyirikan mereka yang nyata itu Allah tidak pula membantah dan melarang mereka mengakui Dia sebagai Tuhan. Sebaliknya Allah mengajak mereka kembali ke jalan yang benar. Mengaku Allah sebagai Tuhan, sembahlah Dia, ikutlah perintahNya, taatilah ajaranNya.

Jadi, yang salah bukan mengaku Allah sebagai Tuhan. Tetapi mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain atau syirik.

Syirik inilah yang mesti ditentang dan diperangi habis-habisan.

Syirik banyak bentuknya. Ada yang nyata (jaliy), ada yang tidak nyata (khafiy). Di kalangan orang Islam sekarang banyak fahaman dan amalan yang berupa syirik sama ada nyata atau tidak nyata. Sejauh mana kepekaan kita mengenainya?

1 comment:

Syafiq Yahya said...

salam'alaik..
hidayah juga tidak bersatuju dgn kain rentang itu..
tetapi pd dayah kita perlu tegah penggunaan ini kerana kristian kini menganggap Allah itu tuhan bapa.
pada kita yg tahu ini mungkin kita dapat bezakan nye...
tetapi yg ditakutkannya bila mana missionary kristian ini munggunakan konsep ini utk menggoncang akidah saudara2 kita yg kurang berilmu di kampung2 dan yg merempit2 tu...

kita mahu mencegah ini la..
Allahu'alam..

harap dapat membetulkan jika ada salahnye...