And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Monday, March 28, 2011
Kebebasan bererti tanggungjawab
Sesungguhnya kebebasan adalah nikmat Allah yang paling besar kepada manusia. Dengan adanya kebebasan seseorang itu dapat mengecapi kemuliaan hidup, menyerlahkan kedudukan dan menetapkan misinya di muka bumi ini. Allah berfirman maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi…” (Al-Baqarah:30)
Sesungguhnya Allah telah menciptakan manusia dengan ‘Tangan’Nya (Subhanah), memerintahkan para malaikat agar sujud kepadanya dan menggariskan peranan yang mesti dimainkannya di alam ini. Firman-Nya bermaksud: “…Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya…” (Hud:61)
Dia menyediakan, membekalkan segala sumber untuk dimanfaatkan oleh manusia sebagaimana dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (Al-Jathiah:13)
Dia memberikan manusia kebebasan untuk bergerak, bermusafir, berpindah randah dan berfikir. “Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu.” (An-Naml:69) “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Al-Mulk:15)
Dia juga memberikan kebebasan beragama dan beriktiqad seperti dijelaskan di dalam beberapa ayat yang bermaksud. “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…” (Al-Baqarah:256) “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya…” (Al-Kahf:29)
Dan dia telah bebaskan manusia dari perhambaan kepada nafsu syahwahnya, dari godaan syaitan dan memperingatkan supaya berwaspada dari hasutan serta tipudayanya. Dalam hal ini Allah berfirman maksudnya: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (ToHa:117)
Sesungguhnya kalimah tauhid yang merupakan pintu kemasukan manusia ke dalam Islam, pada hakikatnya merupakan satu deklarasi pembebasan manusia dari segala bentuk perhambaan kecuali perhambaan kepada Tuhan Yang Satu, Maha Kuasa lagi Maha Perkasa.
Ungkapan ( لا إله إلا الله ) dimulakan dengan penafian, iaitu:
1. Menafikan ketuhanan semua makhluk, semua pihak yang mendakwa mempunyai kuasa ke atas manusia, yang berhak untuk memerintah dan menundukkan mereka sebagaimana dakwaan Firaun “Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru; Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.” (An-Nazi’at: 23-24)
2. Menafikan monopoli dalam berfikir, iaitu dakwaan bahawa golongan tertentu sahaja yang mampu berfikir dan boleh memberikan idea sebagaimana anggapan para dictator yang digambarkan di dalam firman yang bermaksud: “Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” (Ghafir:29)
3. Menafikan kewajaran mengikut warisan budaya dan adat resam yang mengikat kebebasan manusia, mengurangkan sebahagian daripada hak-hak mereka atau merendahkan kehormatan mereka. Firman Allah yang mengecam golongan yang mengikat diri mereka dengan adat resam tanpa memikirkan baik atau buruknya, bermaksud “(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja.” (Az-Zukhruf:22)
Dan diakhiri dengan ithbat (penegasan).
Menegaskan hak ketuhanan adalah milik Allah Yang Esa semata-mata. Dia-lah Pencipta, Pemberi rezeki, Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, satu-satunya yang berhak menetapkan syariat dan hukum-hakam.
Para Nabi diutuskan untuk mengislah system yang pincang, menentang penyelewengan aqidah, undang-undang dan segala bentuk kezaliman yang dilakukan oleh segolongan manusia terhadap satu sama lain.
Nab Ibrahim menentang keangkuhan Namrud yang mendakwa “… Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan…” (Al-Baqarah:258)
Nabi Musa menentang Firaun yang dengan sombongnya berkata “…. Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istanaku)? Tidakkah kamu melihatnya?” (Az-Zukhruf:51)
Nabi Musa turut menentang konco-konco Firaun yang bersekongkol dengannya dalam melakukan kejahatan penindasan ke atas rakyat jelata. Mereka menghasut Firaun dengan berkata: “Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu? Firaun menjawab: Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka.” (Al-A’raf:127)
Nabi Musa juga menentang golongan bangsawan yang kaya raya seperti Qarun yang sombong dan bermegah-megah dengan kemewahannya. “Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku….” (Al-Qasas:78)
Tidak ketinggalan Nabi musa juga menentang golongan bawahan yang merempat yang tidak bangkit merubah nasib. Mereka terperap dalam kehinaan, tidak mengharap kepada perubahan. “…Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.” (Al-Mu’minun:24), “(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (derhaka).” (Az-Zukhruf:54)
Demikianlah dakwah para Nabi seluruhnya, dakwah untuk membebaskan manusia dari segala belenggu, membina kehidupan manusia di atas asas-asas kebenaran, keadilan dan kesaksamaan, meninggikan nilai kamanusiaan dan memelihara kehormatannya serta mengembalikan hak-hak yang telah dirampas daripada mereka. Firman Allah bermaksud: “…Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah:256)
Dakwah para Nabi memberikan kehidupan yang baru kepada spiritual dan fizikal, kepada seorang individu dan sebuah masyarakat, kepada lelaki dan perempuan, kepada kanak-kanak, orang muda dan tua. Demikianlah maksud firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna…” (Al-Anfal:24)
Tetapi harus diingat, kebebasan yang sempurna ini juga pada waktu yang sama bererti pertanggungjawapan yang sepenuhnya. Manusia yang merdeka bertangungjawab di atas segala urusannya, pergerakannya dan tingkah lakunya.
Masyarakat yang merdeka mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dan akan dipersoalakan tentangnya.
Sebahagian daripada perutusan Mursyid Am Ikhwan Muslimin
رسالة من: أ.د. محمد بديعالمرشد العام للإخوان المسلمين http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=81245&SecID=213
Saturday, March 26, 2011
Tauhid bukan sekadar nama
Allah adalah satu kalimah yang dikenali sebagia lafdz al-Jalah ( لفظ الجلالة ), iaitu nama yang khusus bagi-Nya, Tuhan Pencipta dan Pemilik alam semesta. Lafadz tersebut tidak boleh dan tidak pernah digunakan untuk selain Dia.
Kaum musyrikin di Mekah, apabila mereka menyebut Allah, yang mereka maksudkan adalah Tuhan Yang Maha Agong itulah. Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang menghidupkan, mematikan dan memberikan mereka rezeki. Mereka tidak pernah memanggil Allah kepada tuhan-tuhan lain. Tuhan-tuhan lain yang mereka sembah dipanggil dengan berbagai-bagai nama seperti al-Lata, al-‘Uzza dan macam-macam lagi. Mereka percaya kepada Allah walaupun mereka tidak menyembah-Nya. Sebaliknya mereka menyembah berhala-hala bertujuan kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “…dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya,…” (Az-Zumar:3)
Allah Ta’ala menyeru umat manusia seluruhnya agar mengikhlaskan hati, menghadapkan wajah dengan menyembah-Nya semata-mata. Allah bukan sahaja menyeru agar percaya kepada kewujudan serta kekuasaan-Nya, tetapi menyeru supaya mentauhidkan-Nya, percaya bahawa tiada tuhan lain yang layak dan berhak disembah, dipuja dan dipuji, ditaati dan ditakuti kecuali Dia. Firman Allah bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Al-Bayyinah:5). Dan firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut….” (An-Nahl:36)
Justeru, beriman kepada Allah bererti mentauhidkan-Nya.
Mentauhidkan-Nya bererti yakin dan percaya bahawa:
SILA BACA SELANJUTNYA DI:
Thursday, March 24, 2011
Video seks – angkara siapa?
Beberapa persoalan timbul mengenai video tersebut:
1. Ada vedio pastinya ada pihak yang merakam. Siapa dan untuk apa dia rakam? Orang yang merakam kemungkinan besar berada di tempat kejadian. Seorang makhluk yang bernama Shazryl Eskay Abdullah mengakui bahawa dia pun ada dalam rakaman video tersebut (pada awal klip video) – (Utusan Malaysia, Khamis 24.03.11 bersamaan 19 R.Akhir 1432, muka hadapan). Kenapa dia berada di situ? Adakah dia datang untuk mencegah maksiat itu? Atau untuk merakam? Atau membekalkan pelacur kepada pelanggan? Atau secara kebetulan? Atau untuk mengintip rahsia orang?
2. Kalau secara kebetulan dia terserempak dengan orang yang sedang berzina, maka dia wajib mencegah sebagaimana diperintahkan oleh Nabi s.a.w. dalam sepotong Hadis yang sangat masyhur bermaksud: “Siapa di antara kamu yang melihat satu kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangan. Kalau tidak berkuasa dengan tangan, cegahlah dengan perkataan. Dan kalau tidak berkuasa dengan perkataan, cegahlah dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman.” Sahih Muslim. Adakah dia telah mencegah dan menasihati kedua-dua pelaku itu?
3. Kalau dia datang untuk mengintip dan mencari rahsia orang, maka dia telah melanggar satu larangan Allah di dalam al-Quran (namanya menunjukkan dia seorang muslim. Dan muslim wajib patuh kepada al-Quran). Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-hujurat:12). Dan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu menjejaki keaiban manusia, kamu telah benar-benar memusnahkan mereka atau hampir-hampir memusnahkan mereak!” Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’iy.
4. Kalau dia mengetahui tentang perbuatan zina yang amat keji itu dan mempunyai saksi yang cukup syarat seramai empat (4) orang, maka mereka hendaklah membawa kes itu ke mahkamah, bukan menghebohkan di media. Kalau tidak ada saksi yang cukup syarat, maka dia wajib menutup mulut (setelah menasihati pelaku) dan tidak menceritakannya kepada sesiapapun. Menghebahkan jenayah zina tanpa saksi yang cukup syarat, maka orang yang menghebahkan itu telah melakukan satu jenayah yang dinamakan qazaf. Hukuman qazaf dinyatakan di dalam al-Quran bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.” (An-Nur:4). Muslim sepatutnya menutup keaiban saudaranya, bukan mendedahkan. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menutup keaiban seorang mukmin, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seorang bayi yang telah ditanam hidup-hidup dari dalam kuburnya!” Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan an-Nasa’iy. Dan orang yang suka keburukan itu tersebar, apa lagi sengaja menyebarkan kemungkaran dalam kalangan masyarakat, diancam oleh Allah dengan siksa yang amat dahsyat. Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (An-Nur:19)
5. Pihak yang mendedahkan video yang jijik itu mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kesahihan rakaman video itu. Menurut hukum Islam, pihak yang dituduh melakukan zina itulah yang harus mengeheret penuduh-penuduh itu ke mahkamah, dan makhkamah wajib meminta mereka mengemukakan saksi-saksi yang cukup syarat dan bukti-bukti yang boleh diterima bagi membuktikan dakwaan mereka. Inilah yang menepati saranan Nabi s.a.w. dan diamalkan oleh sahabat radhiallahu’anhum dan diperakui di dalam kitab-kitab fiqh, iaitu keterangan adalah bebanan ke atas orang yang mendakwa dan sumpah ke atas orang yang didakwa.
6. Semua pihak yang tidak terlibat dan tidak ada kena mengena dengan peristiwa mungkar itu hendaklah berhenti daripada memperkatakannya, terutamanya pihak media. Medialah sebenarnya perantara atau menyebar kemungkaran itu. Kalau bukan media yang menyiarkan, tentunya kita semua tidak mengetahuinya.
Pesanan: yang membaca tulisan ini, tolong sebarkan sehingga sampai kepada pihak yang terlibat agar mereka insaf dan muhasabah diri, takut kepada Allah ‘Azza wa Jalla Yang Maha Perkasa.
Tuesday, March 22, 2011
*Umar al-Mukhtar
TI – adakah kamu berjuang menentang kerajaan Italy?
UM – ya!
TI – adakah kamu menggalakkan orang lain memeranginya?
UM – ya!
TI – adakah kamu faham apa akibat tindakan kamu?
UM – ya!
TI – adakah kamu mengaku bahawa apa yang kamu katakan ini benar?
UM – ya!
TI – sejak berapa tahun kamu menentang kerajaan Italy?
UM – sejak lebih daripada 10 tahun
TI – adakah kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan?
UM – tidak!
TI – adakah kamu tahu bahawa kamu akan dihukum bunuh?
UM – ya!
UM – bahkan inilah cara terbaik untuk mengakhiri hidupku!
"Sesungguhnya jari telunjuk ini, yang bersyahadah setiap kali solat bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah, tidak mungkin sama sekali akan menulis satu perkataan yang batil!”
Maka terbanglah rohnya menggapai cita-cita yang murni, syahid di jalan Allah…
*Umar al-Mukhtar dilahirkan pada 20 Ogos 1861. Mendapat gelaran Shaikh asy-Syuhada’ atau Asad as-Sahra’ (Singa Padang Pasir). Berjihad menentang Italy sejak kemasukannya ke bumi Libya sehinggalah beliau syahid di tali gantung pada 16 September 1931. Beliau telah mengharungi lebih daripada 1000 pertempuran selama lebih 20 tahun berjuang menentang Italy.
Sunday, March 20, 2011
Gurauan kekasih
Sekiranya Zahir datang ke Madinah, beliau akan menghadiahkan Rasulullah s.a.w. barang-barang yang dibawa dari kampungnya. Apabila dia hendak pulang, Rasulullah s.a.w. akan membekalkan barang-barang keperluannya pula sambil baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya Zahir orang kampong kita dan kita orang kotanya.”
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pergi ke tempatnya. Ketika itu dia sedang menjalankan urusan perniagaannya. Dengan perlahan-lahan Rasulullah s.a.w. datang dari belakang dan memeluknya kuat-kuta. Dia tidak menyedari bahawa yang memeluknya itu adalah Rasulullah s.a.w. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Rasulullah s.a.w. membiarkan saja Zahir meronta-meronta sehinggalah Zahir menoleh ke belakang dan didapati yang memeluknya itu adalah kekasihnya, Rasulullah s.a.w. Maka dengan bahagianya dia membiarkan belakangnya tersandar di dada Baginda.
Rasulullah s.a.w. masih tidak melepaskan pelukannya. Sebaliknya dengan keadaan tangannya yang mulia yang tetap memeluknya Zahir itu baginda berkata: “Siapa nak beli hamba ini? Siapa nak beli?”
Zahir yang memahami gurauan Rasulullah s.a.w. itu berkata: “Ya Rasulullah! Saya ini tak laku untuk dijual, saya barang yang tidak berharga!”. Lantas Nabi s.a.w. berkata kepada Zahir: “Tetapi kamu di sisi Allah berharga. Kamu mahal di sisi-Nya!” Musnad Ahmad
Masya-Allah! Demikianlah tingginya pekerti Nabi s.a.w. dan betapa kasihnya baginda kepada sahabatnya tanpa mengira kedudukan, rupa dan harta. Baginda menegaskan dengan perbuatan, bukan sekadar kata-kata bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.
Tuesday, March 15, 2011
Kenali hatimu!
Dari sudut fizikal, قلب adalah jantung. Dari sudut rohani, perkataan itu diterjemahkan sebagai hati. Meneliti firman Allah Ta’ala di dalam al-Quran, dapat difahami penggunaan istilah قلب kebanyakannya merujuk kepada pengertian yang berkaitan dengan rohani. Terdapat banyak jenis-jenis qalb yang disebut di dalam al-Quran.
Perhatikan jenis yang manakah qalb anda?
1. القلبُ السَّلِيْمْ – iaitu hati yang benar-benar bersih, ikhlas kepada Allah, suci daripada kufur, nifaq dan sifat-sifat yang jelik dan tercela. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Asy-Syu’ara’: 87-89)
2. القلبُ المُنِيْبْ – hati yang sentiasa bertaubat, kembali kepada Allah dan selalu bersedia untuk taat kepada titah perintah-Nya. Firman Allah barmaksud: “(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat.” (Qaf:33)
3. القلبُ المُخْبِتْ – hati yang tunduk, tenang dan lapang dengan ketaatannya. Firman Allah barmaksud: “Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (Al-Hajj:54)
4. القلبُ الوجِلْ – hati yang takut kepada Allah, bimbang kalau-kalau amalnya tidak diterima dan dia tidak akan selamat daripada siksaan Tuhannya. Firman Allah barmaksud: “Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka.” (Al-Mu’minun:60)
5. القلبُ التَّقِّيْ – hati yang bertaqwa serta membesarkan syi’ar-syi’ar Allah. Firman Allah barmaksud:
“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Al-Hajj:32)
6. القلبُ المَهْدِي – hati yang berserah diri kepada Allah dan redha meneriman ketentuan-Nya. Firman Allah barmaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (At-Taghabun:11)
7. القلبُ المُطْمَئِنْ – hati yang tenang dengan mentauhidkan Allah dan mengingati-Nya: Firman Allah barmaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d:28)
8. القلبُ الحَيَّ – hati yang faham dan mengambil iktibar daripada apa yang didengar daripada ayat-ayat Allah. Firman Allah barmaksud: “Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya) atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.” (Qaf:37)
9. القلبُ المَرِيْضْ – hati yang diserang penyakit syak (ragu) atau nifaq, lalu nafsunya terdorong untuk melakukan kejahatan yang dilarang Allah. Firman Allah barmaksud: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Al-Ahzab:32)
10. القلبُ الأَعْمَى – hati yang tidak melihat dan tidak memahami kebenaran serta tidak mengambil iktibar dengannya. Firman Allah barmaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Al-Hajj:46)
11. القلبُ اللَّاهِي – hati yang lalai daripada al-Quran, sibuk dengan perkara-perkara yang tidak berguna dan tidak berfaedah. Firman Allah barmaksud: “Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya…” (Al-Anbia’:3)
12. القلبُ الآثِمْ – hati yang menyembunyikan kebenaran dan enggan berpihak kepada yang benar. Firman Allah barmaksud: “… dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya… “ (Al-Baqarah:283)
13. القلبُ المُتَكَبِّرْ – hati yang sombong, enggan mentauhidkan Allah dan mentaati-Nya, degil dengan kezalimannya yang bertimbun-timbun. Firman Allah barmaksud: “(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!” (Ghafir:35)
14. القلبُ الغَلِيْظْ – hati yang direntap daripadanya perasaan cinta dan kasihan belas lalu ia menjadi keras. Firman Allah barmaksud: “… Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu…” (Aali ‘Imran:159)
15. القلبُ المَخْتُومْ – hati yang dipateri, lalu ia tidak mendengar dan tidak memahami erti hidayah. Firman Allah barmaksud: “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (Al-Jathiah:23)
16. القلبُ القَاسِيْ – hati yang keras membatu, lalu tidak berkesan baginya ancaman siksa dan azab neraka. Firman Allah barmaksud: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran)…” (Al-Maidah:13)
17. القلبُ الغَافِلْ – hati yang lalai dari mengingati Allah dan mengutamakan nafsunya daripada mengikuti perintah Allah. Firman Allah barmaksud: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” (Al-Kahf:28)
18. الْقَلْبُ الأَغْلَفْ – hati yang dibungkus sehingga tidak dapat ditembusi oleh kata-kata nasihat dan peringatan. Firman Allah barmaksud: “Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.” (Al-Baqarah:88)
19. القلبُ الزَّائِغْ – hati yang menyeleweng dari kebenaran dan cenderung kepada kesesatan. Firman Allah barmaksud: “Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya…” (Aali ‘Imran:7)
20. القلبُ المُرِيْبْ – hati yang ragu dan bingung. Firman Allah barmaksud: “Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu (untuk tidak pergi berjihad) hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.” (At-Taubah:45)
Untuk lebih memahami jenis-jenis hati yang disebutkan, diharap para sahabat yang membaca artikel ini merujuk kitab suci al-Quran, bukan sekadar membaca terjemahan sahaja. Sebaliknya baca ayatnya sekali.
Moga kita tergolong di kalangan mereka yang memiliki القلبُ السَّلِيْمْ
Sunday, March 13, 2011
Motivasi Istighfar
Tuesday, March 08, 2011
Kesombongan Yahudi
Mereka menjawab: “Wahai Muhammad, janganlah kamu terpedaya pada diri sendiri dengan sebab kejayaanmu membunuh beberapa orang daripada Quraisy. Mereka itu kaum yang lemah dan tidak berguna serta tidak cekap dalam berperang. Tetapi kalau kamu berperang dengan kami, demi Allah kamu akan tahu bahawa kamilah orangnya, dan kamu tidak akan bertemu dengan orang-orang seperti kami!”
Menyahut jawapan yang sungguh bongkak dan memualkan itu, Allah Ta’ala menurunkan wahyu-Nya kepada kekasih-Nya, Muhammad s.a.w. bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam Neraka Jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan. Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah) dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya)." (Aali ‘Imran: 12-13)
KENYATAAN MEDIA WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
Tema: ‘Equal access to education, training and science and technology: Pathway to decent work for women’ (Peluang yang sama rata untuk mendapatkan pendidikan, latihan, sains dan teknologi: Jalan untuk meraih kerjaya yang baik kepada wanita).
8 Mac 2011
LATARBELAKANG
1.0 Saban tahun Hari Wanita Sedunia disambut pada tanggal 8 Mac di serata dunia bagi memberikan pengiktirafan kepada sumbangan besar yang dimainkan oleh kaum wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara. Sambutan ini juga adalah bagi memperingati perjuangan wanita dalam menuntut hak-hak mereka. Bagi wanita Islam perjuangan memartabatkan kedudukan wanita telah bermula sejak 1432 tahun dahulu dengan turunnya risalah Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw. Risalah yang dibawa oleh Rasulallah saw telah pun meletakkan kedudukan wanita pada tahap yang tinggi dan kaum lelaki menjadi pelindung kepada wanita. Kedudukan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT.
2.0 Tema sambutan pada tahun ini yang juga merupakan sambutan yang ke 100 tahun adalah ‘Equal access to education, training and science and technology: Pathway to decent work for women’ (Peluang yang sama rata untuk mendapatkan pendidikan, latihan, sains dan teknologi: Jalan meraih kerjaya yang baik kepada wanita).’ Jelas bahawa tema Hari Wanita Sedunia tahun ini terus memberi penekanan perjuangan hak dan kesamarataan wanita, kali ini dengan menuntut pemberian hak serta peluang yang sama rata dalam mendapat pendidikan, latihan dan sains dan teknologi bagi membolehkan wanita mencapai tahap kerjaya yang baik sebagai usaha memartabatkan kaum wanita.
3.0 Sempena sambutan ini, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia yang telah ditubuhkan dan dilancar dengan rasminya pada 19 Disember 2010 ingin turut serta dalam meraikan hari yang bersejarah ini. Sebagai sebuah sayap kepada Pertubuhan IKRAM Malaysia iaitu sebuah NGO’s Islam, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia berusaha memainkan peranan menggembleng tenaga wanita dalam memperjuangkan isu-isu wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta membela hak-hak mereka seperti yang digariskan oleh syara'. Wanita IKRAM komited untuk membangunkan potensi dan kepimpinan wanita yang akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan ummah seluruhnya. Wanita IKRAM yakin bahawa usaha-usaha dalam memperjuangkan isu-isu wanita tidak digerakkan secara bersendirian tetapi perlu digerakkan melalui jalinan hubungan dan membina gabungan bersama pertubuhan-pertubuhan wanita yang lain.
STATUS WANITA DI MALAYSIA
4.0 Penilaian secara sepintas lalu dalam situasi Malaysia, menunjukkan bahawa kedudukan wanita di Negara ini sudah jauh kehadapan dari segi penglibatan mereka di dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat serta negara. Ianya juga sekali gus menggambarkan polisi pendidikan Negara dalam memberi peluang yang samarata kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan, telah berjaya mendapat respon serta kesan yang positif dari kalangan kaum wanita bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan diri dan berdaya saing dalam kehidupan. Jika kesaksamaan menjadi kayu ukur kejayaan yang diperjuangkan, dapat dilihat bahawa wanita di Malaysia telah berupaya menceburi di dalam hampir kesemua bidang yang diceburi oleh kaum lelaki.
5.0 Namun demikian, pada masa yang sama gejala sosial seperti penderaan, penindasan, keganasan, penipuan dan ketidakadilan terhadap wanita serta kanak-kanak terus berlaku dengan meluasnya. Tidak kurang juga mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang turut terjebak di dalam gejala-gejala ini. Keadaan ini memberi gambaran bahawa kemajuan dan kejayaan material yang dicapai oleh kaum wanita masa kini yang tidak disertai dengan pembangunan spiritual tidak dapat menjamin dan tidak berupaya untuk melindungi diri mereka khususnya dan ahli masyarakat amnya dari segala bentuk ketidakadilan dan kekejaman. Walaupun wanita telah maju dari sudut pendidikan tetapi dalam banyak hal masih banyak indeks kesejahteraan wanita yang lemah . Sekali gus ini menunjukkan bahawa perjuangan wanita yang hanya menekankan kesaksamaan gender di dalam semua bidang semata-mata berdasarkan pencapaian material, bagi meningkatkan martabat wanita dan mencapai keadilan tidak mencukupi untuk menjadi penyelesaiaan menyeluruh kepada isu yang dihadapi oleh wanita masa kini. Apa yang jelas, adalah kehidupan ummah pada masa kini dilihat makin jauh menyimpang dari landasan hidup syariah yang telah disusun oleh Allah SWT.
SARANAN
6.0 Justeru itu, sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, Wanita IKRAM menyeru agar
Umat Islam di Negara ini kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dalam menjalani kehidupan agar kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik dapat dinikmati dalam erti kata sebenar.
Perjuangan pembelaan hak wanita pula hendaklah selaras dengan apa yang digariskan oleh syarak iaitu untuk memartabatkan kedudukan wanita yang benar-benar sejahtera merangkumi kehidupan dunia dan akhirat. Keadaan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT.
Pembangunan potensi Wanita mesti berasaskan kepada satu sistem nilai yang menyeluruh meliputi pengukuhkan jatidiri yang juga merangkumi aspek aqidah dan pegangan hidup, akhlak, jasadiah dan insaniah.
Semua pihak perlu terus memberikan sokongan kepada kaum wanita untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan agar wanita dapat sama-sama menyumbang dalam sektor pekerjaan. Namun pada masa yang sama tidak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi wanita dari sudut ekonomi dan kewangan.
Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia.2011
USTAZAH MAZNAH DAUD
KETUA WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (2010 – 2014)
Kenyataan ini disokong bersama oleh Pertubuhan Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Friday, March 04, 2011
Mekanik dan Pakar Bedah
Mekanik membuka injin kereta, mengeluarkan beberapa alat yang perlu diganti dan memperbaiki apa yang perlu dibaiki.
Sambil menjalankan kerjanya, mekanik mencondongkan badannya ke arah doctor yang sedang memerhatikannya seraya berkata, “tuan doctor, boleh saya tanya satu soalan?”
Dengan perasaan agak ragu-ragu, doctor menjawab, “silakan, tanyalah!”
Makanik berkata, “tuan melakukan pembedahan ke atas jantung manusia, manakala saya melakukan pembedahan ke atas jantung kereta, memperbaiki dan membetulkan yang rosak, samalah dengan apa yang tuan lakukan. Tapi kenapa tuan dapat upah banyakri sedangkan saya dapat upah jauh lebih sedikit daripada upah yang tuan dapat?”
Pakar bedah menghampiri makanik lalu dengan tenang membisikkan ke telinganya, “kalau kamu benar-benar hebat, cuba baiki kereta itu tanpa mematikan injinnya!”
.
Tuesday, March 01, 2011
Perginya seorang 'abid
Dia mengadap ayahnya sambil bertanya, kenapa ayah menangis?
Ayahnya menjawab: wahai anakku, aku menangis kerana aku teringat selepas ini aku berpisah denganmu dan aku akan keseorangan tanpamu.
Dia mengadap ibunya dan bertanya, kenapa ibu menangis?
Ibunya menjawab: aku menangis kerana pahitnya menanggung kehilanganmu, anakku.
Dia berpaling kepada isterinya dan bertanya, kenapa engkau menangis wahai isteriku?
Isterinya menjawab: aku menangis kerana aku akan kehilangan kebaikanmu dan aku terpaksa berhajat kepada orang lain.
Dia berpaling kepada anak-anaknya dan bertanya mereka, kenapa kamu menangis wahai anak-anakku?
Anak-anaknya menjawab: kami menangis kerana akan jadi anak yatim yang hina dan melarat selepas ketiadaan ayah.
Ketika itu dia merenung mereka seorang demi seorang. Dan diapun menangis.
Mereka bertanya, kenapa pula engkau menangis?
Dia menjawab: aku menangis kerana aku mendapati setiap orang daripada kamu menangis untuk dirinya, bukan untuk diriku.
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana mengenangkan panjangnya perjalananku nanti?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana sedikitnya bekalanku?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berbaring di atas pasir (di dalam kubur)?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berdepan dengan perhitungan yang sengit?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berdiri di hadapan Tuhan segala tuhan-tuhan?
Habis saja kata-kata itu, diapun tersungkur. Ahli keluarganya menggerak-gerakkan, tapi… sayang. Dia telah pergi!