Monday, March 28, 2011

Kebebasan bererti tanggungjawab

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah…

Sesungguhnya kebebasan adalah nikmat Allah yang paling besar kepada manusia. Dengan adanya kebebasan seseorang itu dapat mengecapi kemuliaan hidup, menyerlahkan kedudukan dan menetapkan misinya di muka bumi ini. Allah berfirman maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi…” (Al-Baqarah:30)

Sesungguhnya Allah telah menciptakan manusia dengan ‘Tangan’Nya (Subhanah), memerintahkan para malaikat agar sujud kepadanya dan menggariskan peranan yang mesti dimainkannya di alam ini. Firman-Nya bermaksud: “…Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya…” (Hud:61)

Dia menyediakan, membekalkan segala sumber untuk dimanfaatkan oleh manusia sebagaimana dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (Al-Jathiah:13)

Dia memberikan manusia kebebasan untuk bergerak, bermusafir, berpindah randah dan berfikir. “Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu.” (An-Naml:69) “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Al-Mulk:15)

Dia juga memberikan kebebasan beragama dan beriktiqad seperti dijelaskan di dalam beberapa ayat yang bermaksud. “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…” (Al-Baqarah:256) “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya…” (Al-Kahf:29)

Dan dia telah bebaskan manusia dari perhambaan kepada nafsu syahwahnya, dari godaan syaitan dan memperingatkan supaya berwaspada dari hasutan serta tipudayanya. Dalam hal ini Allah berfirman maksudnya: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (ToHa:117)

Sesungguhnya kalimah tauhid yang merupakan pintu kemasukan manusia ke dalam Islam, pada hakikatnya merupakan satu deklarasi pembebasan manusia dari segala bentuk perhambaan kecuali perhambaan kepada Tuhan Yang Satu, Maha Kuasa lagi Maha Perkasa.

Ungkapan ( لا إله إلا الله ) dimulakan dengan penafian, iaitu:

1. Menafikan ketuhanan semua makhluk, semua pihak yang mendakwa mempunyai kuasa ke atas manusia, yang berhak untuk memerintah dan menundukkan mereka sebagaimana dakwaan Firaun “Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru; Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.” (An-Nazi’at: 23-24)

2. Menafikan monopoli dalam berfikir, iaitu dakwaan bahawa golongan tertentu sahaja yang mampu berfikir dan boleh memberikan idea sebagaimana anggapan para dictator yang digambarkan di dalam firman yang bermaksud: “Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” (Ghafir:29)

3. Menafikan kewajaran mengikut warisan budaya dan adat resam yang mengikat kebebasan manusia, mengurangkan sebahagian daripada hak-hak mereka atau merendahkan kehormatan mereka. Firman Allah yang mengecam golongan yang mengikat diri mereka dengan adat resam tanpa memikirkan baik atau buruknya, bermaksud “(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja.” (Az-Zukhruf:22)

Dan diakhiri dengan ithbat (penegasan).
Menegaskan hak ketuhanan adalah milik Allah Yang Esa semata-mata. Dia-lah Pencipta, Pemberi rezeki, Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, satu-satunya yang berhak menetapkan syariat dan hukum-hakam.

Para Nabi diutuskan untuk mengislah system yang pincang, menentang penyelewengan aqidah, undang-undang dan segala bentuk kezaliman yang dilakukan oleh segolongan manusia terhadap satu sama lain.

Nab Ibrahim menentang keangkuhan Namrud yang mendakwa “… Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan…” (Al-Baqarah:258)

Nabi Musa menentang Firaun yang dengan sombongnya berkata “…. Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istanaku)? Tidakkah kamu melihatnya?” (Az-Zukhruf:51)

Nabi Musa turut menentang konco-konco Firaun yang bersekongkol dengannya dalam melakukan kejahatan penindasan ke atas rakyat jelata. Mereka menghasut Firaun dengan berkata: “Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu? Firaun menjawab: Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka.” (Al-A’raf:127)

Nabi Musa juga menentang golongan bangsawan yang kaya raya seperti Qarun yang sombong dan bermegah-megah dengan kemewahannya. “Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku….” (Al-Qasas:78)

Tidak ketinggalan Nabi musa juga menentang golongan bawahan yang merempat yang tidak bangkit merubah nasib. Mereka terperap dalam kehinaan, tidak mengharap kepada perubahan. “…Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.” (Al-Mu’minun:24), “(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (derhaka).” (Az-Zukhruf:54)

Demikianlah dakwah para Nabi seluruhnya, dakwah untuk membebaskan manusia dari segala belenggu, membina kehidupan manusia di atas asas-asas kebenaran, keadilan dan kesaksamaan, meninggikan nilai kamanusiaan dan memelihara kehormatannya serta mengembalikan hak-hak yang telah dirampas daripada mereka. Firman Allah bermaksud: “…Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah:256)

Dakwah para Nabi memberikan kehidupan yang baru kepada spiritual dan fizikal, kepada seorang individu dan sebuah masyarakat, kepada lelaki dan perempuan, kepada kanak-kanak, orang muda dan tua. Demikianlah maksud firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna…” (Al-Anfal:24)

Tetapi harus diingat, kebebasan yang sempurna ini juga pada waktu yang sama bererti pertanggungjawapan yang sepenuhnya. Manusia yang merdeka bertangungjawab di atas segala urusannya, pergerakannya dan tingkah lakunya.

Masyarakat yang merdeka mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dan akan dipersoalakan tentangnya.

Sebahagian daripada perutusan Mursyid Am Ikhwan Muslimin
رسالة من: أ.د. محمد بديعالمرشد العام للإخوان المسلمين http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=81245&SecID=213

4 comments:

Unknown said...

alhamdulillah, lama juga mengikuti penulisan blog ini, sudah berubah rupa pula...

cuma kena ada perenggan antara isi penting... semuanya rapat, sukar mata untuk menangkap isi penting penulisan..

Maznah Daud said...

terima kasih atas teguran saudara Fauzan.
itulah kurang kemahiran sendiri, ana dah cuba edit 3 kali, namun masih macam tu juga, tak tahu silapnya di mana?

Maryam said...

Ustazah,
ini memerlukan kemahiran kenal kod HTML..

cadangan saya, boleh edit di Microsoft Word, kemudian copy.

pegi pada blogger, edit entry, click pada edit HTML, kosongkan ruang entry dan paste perkara yang telah di copy di Word.

semoga membantu.

Maznah Daud said...

alhamdulillah berjaya. terima kasih Cik eM