Istighfar atau lafaz ( أستغفرالله ) amat diperlukan oleh setiap mukmin. Betapa tidak? Setiap hari, setiap waktu tidak ada seorang pun daripada kalangan kita yang terlepas daripada melakukan dosa, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja, sedar atau tanpa sedar. Dosa adalah racun yang paling berbahaya, yang menyebabkan hati menjadi buta atau rosak binasa. Apabila hati buta atau rosak binasa, ia merupakan kebinasaan dan kematian yang hakiki bagi anak Adam. Firman Allah taala bermaksud:
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”
(Al-Hajj:46)
Firman-Nya lagi maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.”
(Al-Anfal24)
Menurut Ibn Kathir, maksud ‘perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup’ di sini ialah Islam selepas hati mereka mati disebabkan kekufuran sebelumnya. Al-Quranlah yang menyelamatkan mereka dan menjadikan mereka hidup kekal.
Untuk lebih memahami berbahayanya dosa kepada anak Adam, teliti maksud hadis berikut:
“Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan satu dosa, terpalitlah satu titik hitam di hatinya. Sekiranya dia bertaubat, hatinya bersih semula. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan bertambah setiap kali dia menambah dosanya. Itulah maksud firman Allah, “Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
(Al-Muatoffifin:14)
Justeru, cara terbaik untuk selamat daripada kebinasaan adalah dengan bertaubat dan beristghfar. Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah menggambarkan Allah sangat suka hamba-Nya bertaubat lebih daripada kegembiraan seorang pengembara yang menemui semula kenderaannya yang hilang di tengah-tengah padang pasir yang luas saujana. (Maksud hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menunjukkan contoh yang amat praktikal apabila baginda sendiri yang tidak melakukan dosa beristighfar tidak kurang daripada 70 kali sehali. (Riwayat al-Bukhari).
Selain daripada dapat menghapuskan dosa, istighfar juga mengundang pelbagai kelebihan serta kebaikan yang sangat diperlukan oleh kita semua. Antaranya:
1. Menenang hati dan jiwa serta menjadikan hidup lebih bahagia. Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) pahala kelebihannya itu...” (Hud:3)
2. Mendapat zuriat serta rezeki yang melimpah ruah. Allah berfirman maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh: 10, 11, 12)
3. Memperoleh kekuatan dan kesihatan tubuh badan serta terpelihara daripada penyakit kronik sebagaimana terdapat di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!” (Hud: 52)
4. Mengelak bencana serta kemurkaan Allah Yang Esa. Allah berfirman maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal: 33)
Bertitik tolak daripada ayat-ayat dan hadis-hadis di atas, para ulama salaf as-soleh menjadikan istighfar sebagai budaya hidup seharian mereka terutama ketika berhadapan dengan kesukaran dan cabaran dalam kehidupan. Umpamanya Imam Ibn Taimiyyah pernah berkata, “Kadang-kadang aku buntu memikirkan sesuatu masalah dan tidak menemui jalan penyelesaiannya. Lalu aku beristighfar 1000 kali sehingga dadaku menjadi lapang dan masalah yang aku hadapi terungkai. Hal itu terjadi tidak mengira tempat, kadang-kadang ketika aku berada di pasar, di masjid atau di sekolah. Semua itu tidak menghalang aku daripada berzikir dan beristighfar sehingga tercapai apa yang aku hajati.”
Al-Hasan al-Basriy pula berkata, “Banyakkanlah beristighfar di rumah-rumah kamu, di tempat-tempat hidangan kamu, di jalan-jalan kamu, di pasar-pasar kamu dan di tempat-tempat duduk kamu. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah keampunan akan turun ke pangkuan kamu.”