Tuesday, March 15, 2011

Kenali hatimu!



Hati atau dalam bahasa Arab disebut قلب , jamaknya قلوب merupakan anggota paling penting bagi tubuh badan manusia.
Dari sudut fizikal, قلب adalah jantung. Dari sudut rohani, perkataan itu diterjemahkan sebagai hati. Meneliti firman Allah Ta’ala di dalam al-Quran, dapat difahami penggunaan istilah قلب kebanyakannya merujuk kepada pengertian yang berkaitan dengan rohani. Terdapat banyak jenis-jenis qalb yang disebut di dalam al-Quran.
Perhatikan jenis yang manakah qalb anda?

1. القلبُ السَّلِيْمْ – iaitu hati yang benar-benar bersih, ikhlas kepada Allah, suci daripada kufur, nifaq dan sifat-sifat yang jelik dan tercela. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Asy-Syu’ara’: 87-89)
2. القلبُ المُنِيْبْ – hati yang sentiasa bertaubat, kembali kepada Allah dan selalu bersedia untuk taat kepada titah perintah-Nya. Firman Allah barmaksud: “(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat.” (Qaf:33)
3. القلبُ المُخْبِتْ – hati yang tunduk, tenang dan lapang dengan ketaatannya. Firman Allah barmaksud: “Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (Al-Hajj:54)
4. القلبُ الوجِلْ – hati yang takut kepada Allah, bimbang kalau-kalau amalnya tidak diterima dan dia tidak akan selamat daripada siksaan Tuhannya. Firman Allah barmaksud: “Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka.” (Al-Mu’minun:60)
5. القلبُ التَّقِّيْ – hati yang bertaqwa serta membesarkan syi’ar-syi’ar Allah. Firman Allah barmaksud:
“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Al-Hajj:32)
6. القلبُ المَهْدِي – hati yang berserah diri kepada Allah dan redha meneriman ketentuan-Nya. Firman Allah barmaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (At-Taghabun:11)
7. القلبُ المُطْمَئِنْ – hati yang tenang dengan mentauhidkan Allah dan mengingati-Nya: Firman Allah barmaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d:28)
8. القلبُ الحَيَّ – hati yang faham dan mengambil iktibar daripada apa yang didengar daripada ayat-ayat Allah. Firman Allah barmaksud: “Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya) atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.” (Qaf:37)
9. القلبُ المَرِيْضْ – hati yang diserang penyakit syak (ragu) atau nifaq, lalu nafsunya terdorong untuk melakukan kejahatan yang dilarang Allah. Firman Allah barmaksud: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Al-Ahzab:32)
10. القلبُ الأَعْمَى – hati yang tidak melihat dan tidak memahami kebenaran serta tidak mengambil iktibar dengannya. Firman Allah barmaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Al-Hajj:46)
11. القلبُ اللَّاهِي – hati yang lalai daripada al-Quran, sibuk dengan perkara-perkara yang tidak berguna dan tidak berfaedah. Firman Allah barmaksud: “Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya…” (Al-Anbia’:3)
12. القلبُ الآثِمْ – hati yang menyembunyikan kebenaran dan enggan berpihak kepada yang benar. Firman Allah barmaksud: “… dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya… “ (Al-Baqarah:283)
13. القلبُ المُتَكَبِّرْ – hati yang sombong, enggan mentauhidkan Allah dan mentaati-Nya, degil dengan kezalimannya yang bertimbun-timbun. Firman Allah barmaksud: “(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!” (Ghafir:35)
14. القلبُ الغَلِيْظْ – hati yang direntap daripadanya perasaan cinta dan kasihan belas lalu ia menjadi keras. Firman Allah barmaksud: “… Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu…” (Aali ‘Imran:159)
15. القلبُ المَخْتُومْ – hati yang dipateri, lalu ia tidak mendengar dan tidak memahami erti hidayah. Firman Allah barmaksud: “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (Al-Jathiah:23)
16. القلبُ القَاسِيْ – hati yang keras membatu, lalu tidak berkesan baginya ancaman siksa dan azab neraka. Firman Allah barmaksud: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran)…” (Al-Maidah:13)
17. القلبُ الغَافِلْ – hati yang lalai dari mengingati Allah dan mengutamakan nafsunya daripada mengikuti perintah Allah. Firman Allah barmaksud: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” (Al-Kahf:28)
18. الْقَلْبُ الأَغْلَفْ – hati yang dibungkus sehingga tidak dapat ditembusi oleh kata-kata nasihat dan peringatan. Firman Allah barmaksud: “Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.” (Al-Baqarah:88)
19. القلبُ الزَّائِغْ – hati yang menyeleweng dari kebenaran dan cenderung kepada kesesatan. Firman Allah barmaksud: “Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya…” (Aali ‘Imran:7)
20. القلبُ المُرِيْبْ – hati yang ragu dan bingung. Firman Allah barmaksud: “Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu (untuk tidak pergi berjihad) hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.” (At-Taubah:45)
Peringatan:
Untuk lebih memahami jenis-jenis hati yang disebutkan, diharap para sahabat yang membaca artikel ini merujuk kitab suci al-Quran, bukan sekadar membaca terjemahan sahaja. Sebaliknya baca ayatnya sekali.
Moga kita tergolong di kalangan mereka yang memiliki القلبُ السَّلِيْمْ

1 comment:

~ العالم وداعا ~ said...

Mohon share ya....