Pada suatu masa dahulu terdapat seorang ‘abid tinggal di Basrah. Di saat dia menghampiri kematian, semua ahli keluarganya bersimpoh dan menangis di sisinya. Dia meminta mereka mendudukannya. Setelah dia duduk, dia mengadap mereka satu persatu.
Dia mengadap ayahnya sambil bertanya, kenapa ayah menangis?
Ayahnya menjawab: wahai anakku, aku menangis kerana aku teringat selepas ini aku berpisah denganmu dan aku akan keseorangan tanpamu.
Dia mengadap ibunya dan bertanya, kenapa ibu menangis?
Ibunya menjawab: aku menangis kerana pahitnya menanggung kehilanganmu, anakku.
Dia berpaling kepada isterinya dan bertanya, kenapa engkau menangis wahai isteriku?
Isterinya menjawab: aku menangis kerana aku akan kehilangan kebaikanmu dan aku terpaksa berhajat kepada orang lain.
Dia berpaling kepada anak-anaknya dan bertanya mereka, kenapa kamu menangis wahai anak-anakku?
Anak-anaknya menjawab: kami menangis kerana akan jadi anak yatim yang hina dan melarat selepas ketiadaan ayah.
Ketika itu dia merenung mereka seorang demi seorang. Dan diapun menangis.
Mereka bertanya, kenapa pula engkau menangis?
Dia menjawab: aku menangis kerana aku mendapati setiap orang daripada kamu menangis untuk dirinya, bukan untuk diriku.
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana mengenangkan panjangnya perjalananku nanti?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana sedikitnya bekalanku?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berbaring di atas pasir (di dalam kubur)?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berdepan dengan perhitungan yang sengit?
Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berdiri di hadapan Tuhan segala tuhan-tuhan?
Habis saja kata-kata itu, diapun tersungkur. Ahli keluarganya menggerak-gerakkan, tapi… sayang. Dia telah pergi!
No comments:
Post a Comment