Kebanyakan warga dunia, khususnya Negara kita yang tercinta Malaysia tentu sudah mengetahui tentang video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin parti pembangkang dengan seorang wanita dipercayai pelacur dari China.
Beberapa persoalan timbul mengenai video tersebut:
1. Ada vedio pastinya ada pihak yang merakam. Siapa dan untuk apa dia rakam? Orang yang merakam kemungkinan besar berada di tempat kejadian. Seorang makhluk yang bernama Shazryl Eskay Abdullah mengakui bahawa dia pun ada dalam rakaman video tersebut (pada awal klip video) – (Utusan Malaysia, Khamis 24.03.11 bersamaan 19 R.Akhir 1432, muka hadapan). Kenapa dia berada di situ? Adakah dia datang untuk mencegah maksiat itu? Atau untuk merakam? Atau membekalkan pelacur kepada pelanggan? Atau secara kebetulan? Atau untuk mengintip rahsia orang?
2. Kalau secara kebetulan dia terserempak dengan orang yang sedang berzina, maka dia wajib mencegah sebagaimana diperintahkan oleh Nabi s.a.w. dalam sepotong Hadis yang sangat masyhur bermaksud: “Siapa di antara kamu yang melihat satu kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangan. Kalau tidak berkuasa dengan tangan, cegahlah dengan perkataan. Dan kalau tidak berkuasa dengan perkataan, cegahlah dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman.” Sahih Muslim. Adakah dia telah mencegah dan menasihati kedua-dua pelaku itu?
3. Kalau dia datang untuk mengintip dan mencari rahsia orang, maka dia telah melanggar satu larangan Allah di dalam al-Quran (namanya menunjukkan dia seorang muslim. Dan muslim wajib patuh kepada al-Quran). Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-hujurat:12). Dan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu menjejaki keaiban manusia, kamu telah benar-benar memusnahkan mereka atau hampir-hampir memusnahkan mereak!” Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’iy.
4. Kalau dia mengetahui tentang perbuatan zina yang amat keji itu dan mempunyai saksi yang cukup syarat seramai empat (4) orang, maka mereka hendaklah membawa kes itu ke mahkamah, bukan menghebohkan di media. Kalau tidak ada saksi yang cukup syarat, maka dia wajib menutup mulut (setelah menasihati pelaku) dan tidak menceritakannya kepada sesiapapun. Menghebahkan jenayah zina tanpa saksi yang cukup syarat, maka orang yang menghebahkan itu telah melakukan satu jenayah yang dinamakan qazaf. Hukuman qazaf dinyatakan di dalam al-Quran bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.” (An-Nur:4). Muslim sepatutnya menutup keaiban saudaranya, bukan mendedahkan. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menutup keaiban seorang mukmin, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seorang bayi yang telah ditanam hidup-hidup dari dalam kuburnya!” Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan an-Nasa’iy. Dan orang yang suka keburukan itu tersebar, apa lagi sengaja menyebarkan kemungkaran dalam kalangan masyarakat, diancam oleh Allah dengan siksa yang amat dahsyat. Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (An-Nur:19)
5. Pihak yang mendedahkan video yang jijik itu mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kesahihan rakaman video itu. Menurut hukum Islam, pihak yang dituduh melakukan zina itulah yang harus mengeheret penuduh-penuduh itu ke mahkamah, dan makhkamah wajib meminta mereka mengemukakan saksi-saksi yang cukup syarat dan bukti-bukti yang boleh diterima bagi membuktikan dakwaan mereka. Inilah yang menepati saranan Nabi s.a.w. dan diamalkan oleh sahabat radhiallahu’anhum dan diperakui di dalam kitab-kitab fiqh, iaitu keterangan adalah bebanan ke atas orang yang mendakwa dan sumpah ke atas orang yang didakwa.
6. Semua pihak yang tidak terlibat dan tidak ada kena mengena dengan peristiwa mungkar itu hendaklah berhenti daripada memperkatakannya, terutamanya pihak media. Medialah sebenarnya perantara atau menyebar kemungkaran itu. Kalau bukan media yang menyiarkan, tentunya kita semua tidak mengetahuinya.
Pesanan: yang membaca tulisan ini, tolong sebarkan sehingga sampai kepada pihak yang terlibat agar mereka insaf dan muhasabah diri, takut kepada Allah ‘Azza wa Jalla Yang Maha Perkasa.
No comments:
Post a Comment