Jadi murabbi?
Ramai yang rasa dirinya tak layak, tak mampu, tak larat dan
macam-macam tak lagi. Namun, adakah kita mempunyai pilihan untuk tidak jadi
murabbi?
Suka atau tidak suka, tarbiah adalah satu proses yang mesti
dilalui oleh kita sebagai manusia. Kejayaan kita adalah bergantung kepada
proses tarbiah yang kita lalui kerana kita dilahirkan dengan fitrah, dibekalkan
dengan akal dan nafsu, ditanamkan dua kecenderungan sama ada ke arah fujur atau
taqwa. Hanya dengan tazkiah dan tarbiah kita dapat mencapai kemenangan (aflaha).
Tanpa tazkiah dan tarbiah kita pasti akan kecundang (khaba).
Dengan tarbiah kita terbimbing ke arah taqwa yang membawa
kepada falah (kemenangan).
Tanpa tarbiah kita akan terjerumus ke lembah fujur yang
membawa kepada khaibah (kerugian) (Rujuk surah asy-Syams: 7-10)
Mungkin ada yang menyoal, ini berkaitan dengan tarbiah diri
sendiri atau tarbiah dzatiah. Apa kaitannya dengan menjadi murabbi, iaitu
mentarbiah orang lain? Allah!!! Bayangkanlah kalau sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w. berfikiran sebegini, iaitu setelah mereka ditarbiah oleh Rasulullah
s.a.w. maka mereka tidak lagi berfikir untuk mentarbiah generasi seterusnya. Dapatkah
kita menikmati keindahan dan kerahmatan Islam hingga ke hari ini? Berapa tahun
saja usia Nabi s.a.w. dan berapa ramaikah insan-insan bertuah yang sempat
menerima tarbiah baginda secara direct?
Andainya sahabat r.a. tidak meneruskan dakwah dan tarbiah Rasulullah
s.a.w., alangkah malangnya nasib kita, bukan? Maka, fikirkanlah! Jika kita mahu
melepaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiah ini, atau kita rasa tak mengapa
kalau kita tidak melibatkan diri dengan dakwah dan tarbiah ini. Fikirkanlah,
siapakah yang akan mewariskan agama suci yang penuh rahmah ini kepada anak cucu
kita? Sanggupkah kita melahirkan mereka kemudian membiarkan mereka
terpinga-pinga dan teraba-raba dalam kegelapan yang menyesatkan?
Maka, jadilah murabbi…!
Alhamdulillah, dengan izin Allah saya masih belum jemu atau
bosan bergelumang di medan ini. Saya insafi masih banyak kelemahan dan kekurangan
yang perlu saya perbaiki. Kadang-kadang Allah perlihatkan secebis sinar bahagia
dapat menuai hasil daripada benih yang kita tanam sekian lama. Dan ia cukup
untuk menjadi penawar dan penguat semangat agar terus tsabat.
Baru-baru ini di dalam satu program anjuran IKRAM saya
bertemu dengan seorang ukhti yang tinggal di kawasan yang agak jauh dari Shah
Alam. Lantaran itu kami jarang bertemu. Dia seorang yang aktif dan memikul beberapa
tanggungjawab yang penting di kawasannya. Di waktu rehat kami berbual-bual santai
tentang aktiviti masing-masing. Tiba-tiba dia membuka cerita, “sebenarnya ana
ni cucu usrah kaknah, tau! Orang yang mula-mula tajmik ana dulu anak usrah kak
nah”
“Oh, ye? Siapa?” Saya cuba mengingati wajah-wajah yang
pernah saya bawa di awal pembabitan di dalam kancah ini.
“Fulanah binti Fulan”. Saya sedikit terkejut tetapi tidak
menzahirkan rasa terkejut itu. Saya kenal nama yang disebutnya itu. Seingat saya
dia tidak pernahpun ‘berusrah’ dengan saya. Ketika saya mula bertapak di Shah
Alam, nama yang disebut itu telah berpindah ke negeri lain. Tetapi dia berkawan
rapat dengan ahli usrah yang saya bawa dan adalah sekali dua dia menziarahi
saya bersama kawan rapatnya. Itulah berkatnya, kesan ilmu yang baik. Walaupun dia
tidak memetik secara langsung daripada kita, tempiasnya Allah tetap sampaikan juga
kepada kita.
Alangkah beruntungnya jadi murabbi. Justeru, janganlah jemu.
Janganlah mengelak. Janganlah berhenti.
No comments:
Post a Comment