Monday, August 15, 2016

Adakah anda serius mencari jalan ke syurga?


“Sesiapa yang merentasi satu jalan kerana mencari ilmu, Allah mudahkan untuknya satu jalan ke syurga.” Hadis riwayat Muslim dan lain-lain daripada Abu Hurairah r.a.

Ramai yang telah mendengar hadis di atas.
Namun berapa ramai yang rasa teruja untuk mengamalkannya?
Masih ramai yang bermudah-mudah mencari alasan untuk tidak hadir ke majlis ilmu, walhal majlis itu diadakan di masjid atau surau yang terletak beberapa langkah saja dari rumah kediamannya.
Kadang-kadang saya terdengar alasan tak datang ke majlis ilmu, kerana hendak ke pasar! Ma syaa Allah …
Itulah, apabila kita tidak memahami kepentingan sesuatu perkara, tidak mengetahui apa yang lebih utama, kita akan membuat keputusan, menentukan pilihan ikut selera kita sahaja.

Cuba renungi maksud hadis di atas, merentasi satu jalan kerana mencari ilmu, Allah mudahkan satu jalan ke syurga! Subhanallah! Siapa yang tidak mahukan syurga? Bukankah itu yang dipinta saban ketika? Rasulullah s.a.w. dah tunjuk jalan. Jalan yang mudah. Keluar seketika dari keselesaan rumah, berjalan beberapa langkah menuju ke tempat diadakan majlis ilmu. Maka jalan ke syurgapun dimudahkan.
Bukan itu sahaja. Menurut riwayat lain (Abu Daud, at-Tirmizi, Ibn Majah, ditashihkan oleh Ibn Hibban daripada Abu Dardaa’ r.a.) hadis itu ada sambungannya lagi, iaitu : “Dan sesungguhnya para malaikat mengembangkan sayapnya kepada penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukan oleh penuntut itu….” Dan seterusnya ….

Fikirkanlah! Sejauh mana kita serius dalam mencari syurga yang kita idamkan?

Imam Malik rahimahullah berkata, telah disampaikan kepadanya bahawa Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Wahai anakku, dampingilah orang-orang alim dan rapatkanlah dirimu dengan mereka kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati dengan curahan hujan dari langit.”

No comments: