Rencah hidup seorang yang bergelar ustazah,
setiap hari akan dihubungi dan dikunjungi oleh pelbagai golongan insan yang
dikenali dan tidak dikenali untuk bertanya soalan berkaitan dengan pelbagai
masalah agama.
Saya berpegang kepada kata-kata ulamak
silam bahawa apabila orang datang bertanyakan soalan, itu merupakan rezeki bagi
kita. Betapa tidak? Jika kita dapat menjawab, bererti kita telah membantu
menyelesaikan masalahnya. Dengan itu kita mendapat pahala. Sebaliknya jika kita
tidak dapat menjawab ketika itu, kita akan berusaha mencari jawapan dengan
merujuk pakar atau menelaah kitab-kitab tinggalan ulamak terdahulu. Secara
tidak langsung ia memberi peluang kepada kita menambah ilmu. Bertambah satu ilmu,
tidak syak lagi merupakan rezeki yang tidak ternilai harganya.
Namun, tidak kurang juga kita menghadapi
detik-detik cemas dan sukar apabila tidak mampu memberikan jawapan yang
diharapkan kerana keterbatasan ilmu dan kesukaran mencari dalil yang berkaitan
dengan apa yang ditanyakan. Apatah lagi sekiranya yang bertanya memerlukan
jawapan yang pantas dan tuntas.
Antara pengalaman paling sukar yang pernah
saya hadapi, ketika seseorang bertanya tentang hak ibu angkat dari segi
kewajipan berbuat baik kepadanya adakah sama dengan ibu kandung yang
melahirkan? Dia telah dibela oleh ibu angkat sejak kecil dan tidak mengetahui
langsung tentang ibu kandungnya. Sekarang ibu angkatnya yang telah tua tinggal
bersama dengannya. Ibu angkat dia pula seorang yang sangat cerewat sehingga dia
rasa amat tertekan. Maka timbul persoalan di dalam hati sejauh mana dia harus
melayan karenah ibu angkatnya? Adakah sama statusnya dengan ibu kandung?
Sungguh, saya amat buntu dengan soalan itu.
Kalau saya jawab, tidak sama mungkin akan memberi kelegaan kepadanya yang mana
kalau dia tak ikut semua kehendak ibu angkatnya, tak lah dikira derhaka seperti
tak ikut cakap ibu sendiri? Tapi apa hujah saya? Apa dalilnya?
Kalau saya jawab, sama kedudukan ibu angkat
dengan ibu kandung, apa pula reaksinya? Dan lebih penting daripada itu, apa
dalilnya?
Sambil berfikir apakah jawapan yang paling
berhikmah, saya layan dia bercakap dan sekali-sekala menyampuk. Saya teringat
sepotong hadis, ketika itu tak ingat statusnya sahih atau tidak (selepas itu
baru saya semak, ia hadis hasan gharib riwayat at-Tirmizi), kira-kira maksudnya,
"bukan daripada kami orang yang tidak menyayangi yang kecil dan tidak
menghormati yang tua...".
Saya ceritakan hadis itu kepadanya, namun
tetap tidak menjawab persoalan pokok yang ditanya.
Saya sambung lagi, Allah suruh kita berdoa
(ketika ini saya teringat doa yang Allah perintahkan di dalam surah al-Israa'
ayat 24, “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas
kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai
Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah
mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”)
Terasa seolah-olah saya mendapat satu
cahaya daripada ayat itu.
Jelas di dalam ayat itu Allah suruh kita berdoa
supaya cucuri rahmat kepada mereka berdua. Alasannya ialah: "sebagaimana mereka telah mencurahkan
kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil". Perkataan
"rabbayani" iaitu memelihara dan mendidik, adakah berbeza antara ibu
(dan ayah) kandung dengan ibu (dan ayah) angkat? Maka di sini saya temui
jawapannya. Allah perintahkan kita berdoa untuk ibu ayah dengan menyebut jasa
mereka dalam membesar dan mendidik, maka sepatutnya ibu dan ayah angkat juga
mempunyai hak yang sama dengan ibu dan ayah kandung, lebih-lebih dalam keadaan
kita tidak tahu dan tidak kenal pun siapa ibu dan ayah kandung kita. Ibu angkat
itulah yang bersusah payah membesar dan mendidik kita sejak kecil. Syukur
alhamdulillah, apabila saya menceritakan tentang doa itu dia faham dan dapat
menerimanya. Dia akan terus berbakti kepada ibu angkatnya serta bersabar
menghadapi apa saja karenahnya.
Dan yang lebih penting daripada itu, saya
berharap dan berdoa agar jawapan itu tidak bercanggah dengan apa yang disyari'atkan
oleh Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment