Saturday, August 27, 2016

MAKNA IKHLAS


IKHLAS adalah syarat amalan kita diterima di sisi Allah.
Tanpa IKHLAS, amalan yang tinggi menjulang atau yang banyak berlambak-lambak tidak ada nilai walau sebesar zarah. Ia laksana fatamorgana yang menggamit insan yang kehausan di padang pasir.

Banyak nas-nas, sama ada ayat al-Quran atau hadis-hadis Nabi s.a.w. yang berkaitan dengan perintah serta kepentingan IKHLAS.
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengIKHLASkan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Al-Bayyinah:5)
“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa paras kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu dan amalan kamu.” Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

Apakah makna IKHLAS? Bagaimana hendak menilai amalan kita sama ada IKHLAS atau tidak?

Mari kita tadabbur ayat berikut:
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” (An-Nahl:66)

“susu yang bersih” atau dalam bahasa al-Quran “labanan kholison”. Itulah makna IKHLAS. Susu yang keluar daripada perut haiwan yang di dalamnya mengandungi “hampas makanan (kita sebut tahi) dan darah”. Allah keluarkan susu kepada kita putih bersih tidak bercampur walau setitik atau lebih kecil daripada setitik dengan hampas makanan atau darah. Bayangkan kalau susu itu bercampur dengan darah, apa lagi dengan hampas makanan yang busuk itu walaupun setengah titik, sanggupkah kita meminumnya? Pastilah jawapannya TIDAK!

Demikianlah IKHLAS yang Allah tuntut daripada kita. Bersihkan niat semata-mata keranaNya. Sebagaimana DIA bersihkan susu untuk diberikan kepada kita menikmatinya dengan sedap, lazat, penuh khasiat. DIA berikan kepada kita yang bersih, patutkah kita persembahkan kepadaNya amalan yang bercampur aduk dengan pelbagai sampah sarap seperti ria’, mengharap pujian, sanjungan, penghargaan, dan keuntungan di dunia?

Kalau kita tidak sanggup minum susu yang bercampur dengan tahi dan darah, adakah Allah lebih hina daripada kita (wal’iyadzu billah) mahu menerima amalan yang tidak IKHLAS, yang bercampur dengan benda-benda asing yang lain?
Di dalam sepotong hadis qudsi, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Aku paling kaya daripada sekutu-sekutu (paling kaya bermaksud tidak berhajat). Sesiapa yang beramal dengan satu amalan, dia bahagikan amalannya itu untukKu dan untuk yang lain daripadaKu, aku tinggalkan amalannya itu untuknya dan untuk sekutunya itu.” Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.


No comments: