"Katakanlah
(Wahai Muhammad): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan
orang-orang yang tidak mengetahui?" (Az-Zumar:9)
Satu
persoalan yang dilontarkan oleh Allah di dalam kitab suci al-Quran. Persoalan
yang tidak memerlukan jawapan kerana jawapannya diketahui oleh semua orang yang
berakal waras dan sempurna.
Orang
yang berilmu, yang mengetahui tentang sesuatu selamanya tidak sama dengan orang
jahil, yang tidak mengetahui tentang sesuatu. Dalam urusan apa sekalipun, sama
ada urusan agama atau urusan dunia orang yang berilmu akan berada di hadapan,
memimpin dan membimbing orang yang tidak berilmu atau orang yang kurang
ilmunya.
Apabila
orang yang berilmu tidak memainkan peranan yang sewajarnya, akan berlakulah kerosakan
dan kepincangan yang merugikan umat dan bangsa. Justeru, orang yang beriimu
mesti menyedari kedudukan mereka serta kepentingan peranan yang dipikulkan di
atas bahu mereka.
Kedudukan
dan keistimewaan orang yang berilmu serta yang mencari ilmu dinyatakan di dalam
banyak ayat dan hadis serta ulasan-ulasan para ulamak. Di antaranya:
i.
Firman
Allah Ta’ala bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di
antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu)
- beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang
apa yang kamu lakukan.” (Al-Mujaadalah
58:11)
ii.
Daripada
Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Kelebihan orang
alim berbanding abid seperti kelebihan ku berbanding orang yang paling rendah
dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya, sekelian penghuni
langit dan bumi, sehingga semut di dalam lubangnya, dan ikan-ikan berselawat ke
atas orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.” Riwayat at-Tirmizi. Dia
berkata hadis ini adalah hasan sahih.
iii.
“Kelebihan
orang alim berbanding abid seperti kelebihan bulan purnama berbanding seluruh
bintang-bintang. Sesungguhnya ulamak adalah pewaris nabi-nabi. Dan sesungguhnya
nabi-nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Sebaliknya mereka mewariskan
ilmu. Maka sesiapa yang mengambil ilmu, sesungguhnya dia telah mengambil habuan
yang sepenuhnya.” Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain.
iv.
Daripada
Sofwan bin Assal r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya para
malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada pencari ilmu kerana redha dengan
apa yang dicari.” Riwayat Ahmad. Terdapat tiga pendapat dalam mentafsirkan
‘meletakkan sayap’. Ia bermaksud mengembangkan sayapnya, atau tawadhuk,
merendah diri kepada orang yang menuntut ilmu, atau turun berhenti di
majlis-majlis ilmu dan tidak terbang meninggalkannya.
v.
Mu’adz
bin Jabal r.a. berpesan: “Tuntutlah ilmu, sesungguhnya mempelajari ilmu kerana
Allah itu lambang takut kepadaNya, menuntutnya adalah ibadah, mengulang kajinya
adalah tasbih, menyelidiknya adalah jihad, mengajarnya kepada orang yang tidak
mengetahui adalah sedekah. Ilmu adalah teman ketika bersendirian dan sahabat
ketika kesunyian.
vi.
Ka’ab
r.a berkata bahawa Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa alaihissalam: “Wahai
Musa, belajarlah kebaikan dan ajarkannya kepada manusia. Sesungguhnya Aku
menerangkan kubur orang yang mengajar kebaikan dan mempelajarinya dengan cahaya
sehingga mereka tidak berasa seram dan sepi di tempat mereka.
Justeru,
untuk meraih darjat yang mulia di sisi Allah muslim mesti mempunyai agenda yang
khusus dalam menambah ilmu dan menyampaikannya. Lebih-lebih lagi menuntut itu adalah
adalah wajib ke atas setiap individu muslim. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan
bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap
muslim.” Riwayat Ahmad dan Ibn Majah.
Namun,
bukan setiap orang wajib belajar semua ilmu. Menurut pengarang kitab “Mukhtasar
Minhaj al-Qasidin” tiada kesepakatan tentang apakah ilmu yang wajib ke atas
semua muslim. Fuqahak berkata, ilmu fiqh kerana dengan ilmu itu dapat diketahui
halal dan haram. Mufassirun dan muhaddithun berkata, ilmu Kitab dan Sunnah kerana
keduanya adalah sumber segala ilmu. Ahli sufi berkata, ilmu tentang ikhlas dan
yang merosakkan hati. Mutakallimun atau ahli-ahli ilmu kalam berkata ilmu kalam
itulah yang wajib. Beliau menambah, terdapat banyak lagi pendapat-pendapat yang
pada pandangannya tidak memuaskan hatinya. Baginya, yang betul adalah ilmu bagaimana
seseorang hamba berinteraksi dengan Tuhannya di dalam tiga aspek: I’tiqad, apa
yang wajib diamalkan dan apa yang wajib ditinggalkan. Apa yang disebutkan itu
merupakan ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari oleh semua muslim.
Selain
daripada itu terdapat ilmu yang dikategorikan sebagai ilmu fardhu kipayah. Ia
merupakan ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan hidup di dunia.
Contohnya ilmu perubatan. Ia sangat penting demi menjaga kesihatan dan kekuatan
tubuh badan yang diperlukan untuk melaksanakan berbagai-bagai tanggungjawab
sesuai dengan tuntutan sebagai khalifah di bumi. Begitu juga ilmu-ilmu
perusahaan lain seperti pertanian, penternakan, perkilangan, penghakiman dan sebagainya.
Kesimpulannya,
setiap muslim wajib mempelajari dan menguasai ilmu fardhu ain dengan
selengkapnya, kemudian mempelajari sekurang-kurangnya satu bidang daripada
bidang-bidang ilmu fardhu kifayah supaya dia dapat menjadi penyumbang yang
bermakna kepada kesejahteraan hidup keluarga, masyarakat dan negera.
Petikan
daripada kitab “Mukhtasar Minhaj al-Qasidin” karangan Ibn Qudamah.