Tuesday, February 21, 2017

NASIHAT UMAR BIN AL-KHATTAB R.A. KEPADA GABENORNYA


Pada suatu hari, Umar r.a. berdiri mengucapkan selamat jalan kepada salah seorang gabenornya yang baru dilantik sebelum keberangkatannya ke tempat dia ditugasakan.
Umar r.a. bertanya gabenor yang baru dilantik itu: “Apakah yang akan engkau lakukan sekiranya orang ramai mengheret ke hadapanmu seorang pencuri atau perampas harta orang?”
Gabenor menjawab dengan pantas dan tegas: “Aku akan potong tangannya!”
Lalu Umar r.a. berkata: “Kalau begitu, sekiranya ada di kalangan mereka datang kepadaku dalam keadaan lapar atau menganggur, maka Umar akan potong tanganmu!”
Kemudian Umar menambah: “Sesungguhnya Allah menjadikan kita pemerintah yang mengurus tadbir hamba-hambaNya supaya kita hilangkan kelaparan mereka, menutup aurat mereka dan menyediakan pekerjaan untuk mereka...”

Kata-kata yang lebih bernilai dari segugus mutiara. Yang menjelaskan kepada kita tanggungjawab pemimpin yang sebenarnya. Ia perlu dihayati oleh semua yang dilantik atau bakal dilantik menjadi pemimpin, juga perlu difahami oleh semua yang bakal memilih dan melantik pemimpin.

Kalau ada di kalangan rakyat yang kelaparan kerana tidak ada makanan atau makanan terlalu mahal untuk dibeli, siapakah yang wajar dipotong tangannya?
Kalau ada di kalangan rakyat yang mencuri atau merampas harta orang kerana sukar mendapat pekerjaan yang halal, tangan siapakah yang wajar dipotong?
Kalau ada rakyat yang berzina kerana unsur-unsur yang menggoda tidak dikawal sedangkan untuk berkahwin sangat sukar disebabkan kosnya yang tinggi, siapakah yang patut disebat?

p/s : diharap tidak ada yang salah faham bahawa mencuri itu halal jika tidak ada pekerjaan, atau berzina itu halal jika susah hendak kawin. Ini sekadar menjelaskan betapa besar tanggungjawab pemimpin dalam memenuhi keperluan rakyat agar mereka terelak dari melakukan maksiat.


-          Daripada kitab “Zad al-Murabbin”

1 comment:

Zafnidar Yasin said...

Assalamu'alaikum...mncuri dan berzina tetap dihukum bersalah dan berdosa tp dlm masa yg sama, pemimpin kerajaan yg tidak mnjaga kebajikan rakyatnya ,yg mnzalimi dan menindas, yg rasuah dan tidak amanah lebih berat salahnya krn menyalahguna kuasa. Selagi pemerintah zalim memegang kuasa,dlm masa sama diperkasakn undang2 syariah,apa jaminan perlaksanaan hukuman akan terkena pd semua. Jgn yg bilis2 sj kena, yg jerung terlepas lega krn kuasa ada di tangannya.