Friday, February 24, 2017

PERIHAL NAHI MUNGKAR



Beberapa hari lalu ada kuliah hadis di sebuah surau. Baca kitab Riadhus-Solihin bab Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar.
Hadis yang ke 5 daripada bab tersebut, daripada Ummul Mu’minin Ummu Salamah Hind binti Abi Umayyah Huzaifah r.’anha daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya akan terlantik sebagai pemerintah ke atas kamu nanti ketua-ketua, lalu mereka berbuat yang makruf juga yang mungkar. Sesiapa  yang membenci maka bersihlah dia. Sesiapa yang ingkar, maka selamatlah dia. Tetapi orang yang redha dan mengikut. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, adakah kami harus memerangi mereka?” Baginda menjawab: “Tidak selagi mana mereka mendirikan solat dalam kalangan kamu.” Riwayat Muslim.

Huraian:
1.       “Sesiapa yang membenci” bermaksud membenci kemungkarannya di dalam hati kerana tidak mampu mengubah dengan tangan atau lisan. “Maka bersihlah dia” iaitu bersih daripada dosa kerana dia telah mengingkari dengan hati yang diwajibkan ke atasnya.
2.       “Sesiapa yang ingkar”, iaitu ingkar dengan tangan atau lisan, “selamatlah dia” bermaksud selamat daripada siksa dan terpalit dengan kemungkaran yang dilakukan oleh ketuanya.
3.       “Tetapi orang yang redha dan mengikut” bermaksud redha dan mengikut kemungkaran ketuanya, tidak bersih dan tidak selamat. Sebaliknya dia juga terpalit dengan kemungkaran serta maksiat yang dilakukan oleh ketuanya.
4.       Sahabat bertanya sama ada pemimpin yang melakukan kemungkaran itu boleh diperangi atau tidak? Baginda s.a.w. menjawab, tidak selagi mereka mendirikan solat. Di sini timbul persoalan, apakah maksud tidak boleh diperangi itu? Adakah undi tidak percaya itu bermaksud memerangi pemerintah, justeru ia tidak boleh dilakukan? Negara kita sekarang mengamalkan sistem demokrasi berparleman. Undi tidak percaya adalah dibenarkan dalam sistem demokrasi. Pada pendapat saya, ia satu cara untuk menegur dan mencegah kemungkaran pihak berkuasa. Ia sama sekali tidak sama dengan memerangi. Ahli dewan mempunyai kuasa untuk menegur atau mencegah dengan undi tidak percaya. Rakyat biasa mempunyai kuasa untuk mencegah dengan cara tidak mengundi mereka di waktu pilihanraya. Kalau masih memberi undi atau berdiam diri atau berkecuali daripada undi tidak percaya padahal pemerintah telah nyata kemungkarannya, dibimbangi termasuk dalam golongan yang Nabi s.a.w. sebut: “Tetapi orang yang redha dan mengikut”. Maka mereka tidak bersih dari dosa dan tidak selamat dari siksa.
5.       Pengajaran yang penting daripada hadis ialah rakyat mesti berilmu. Mesti tahu apa yang makruf apa yang mungkar. Tahu mana yang betul mana yang salah. Tahu apa yang pemimpin wajib buat dan apa yang pemimpin tak boleh buat. Dan tahu juga apa hak dan tanggungjawab mereka terhadap pemimpin. Jika tidak, mereka tidak akan dapat memainkan peranan amar ma’ruf dan nahi mungkar dengan berkesan. Maka berterusanlah pemimpin buat apa yang mereka suka dan rakyat tidak berkata apa-apa kerana kejahilan sendiri.

Allahu A’lam.

No comments: