Thursday, February 09, 2017

PATUTKAH KITA MELABELKAN ORANG LAIN?


Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.” (An-Najm 53:32)

Mentadabbur ayat di atas, saya terfikir sebahagian ilmuan yang lantang dan tidak teragak-agak me’label’kan orang lain dengan pelbagai jenama: liberal, wahabi, dan macam-macam lagi. Apabila kita menjenamakan orang lain dengan jenama yang ‘buruk’ pada pandangan kita, secara tidak langsungnya ia bererti kita memuji diri kita sendiri. Memuji diri sendiri dilarang Allah dan Rasul sebagaimana dinyatakan di dalam ayat di atas dan juga hadis-hadis. Malah Nabi s.a.w. bukan saja melarang kita memuji diri sendiri, memuji orang lain di hadapannya juga tidak digalakkan kecuali dengan cara yang cukup berhimah. Abi Bakrah r.a. menceritakan bahawa seorang lelaki memuji lelaki lain di hadapan Rasulullah s.a.w., lantas baginda menegur dengan sabdanya: “Celaka engkau! Engkau telah memotong tengkuk sahabatmu!” Baginda mengulanginya beberapa kali kemudian menambah: “Jika salah seorang kamu tidak dapat mengelak dari memuji sahabatnya, hendaklah dia berkata: “Aku mengira si fulan itu begitu. Dan Allahlah yang menghitungnya. Aku tidak mendahului Allah dalam memuji seseorang. Aku kira dia itu begitu dan begitu” - kalau menurut pengetahuannya sahabatnya begitu.” Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah.

Melabelkan, mengutuk atau memanggil orang lain dengan panggilan yang buruk walau dengan apa tujuan sekalipun tidak akan mengangkat darjat kita di mata masyarakat. Sebaliknya masyarakat akan lebih bersimpati kepada pihak yang dikutuk dan kurang respect kepada yang mengutuk itu.


Rujukan : Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, jilid 3. 

No comments: