Monday, February 06, 2017

KELEBIHAN ILMU

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (Az-Zumar:9)

Satu persoalan yang dilontarkan oleh Allah di dalam kitab suci al-Quran. Persoalan yang tidak memerlukan jawapan kerana jawapannya diketahui oleh semua orang yang berakal waras dan sempurna.

Orang yang berilmu, yang mengetahui tentang sesuatu selamanya tidak sama dengan orang jahil, yang tidak mengetahui tentang sesuatu. Dalam urusan apa sekalipun, sama ada urusan agama atau urusan dunia orang yang berilmu akan berada di hadapan, memimpin dan membimbing orang yang tidak berilmu atau orang yang kurang ilmunya.

Apabila orang yang berilmu tidak memainkan peranan yang sewajarnya, akan berlakulah kerosakan dan kepincangan yang merugikan umat dan bangsa. Justeru, orang yang beriimu mesti menyedari kedudukan mereka serta kepentingan peranan yang dipikulkan di atas bahu mereka.

Kedudukan dan keistimewaan orang yang berilmu serta yang mencari ilmu dinyatakan di dalam banyak ayat dan hadis serta ulasan-ulasan para ulamak. Di antaranya:
i.               Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (Al-Mujaadalah 58:11)
ii.             Daripada Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Kelebihan orang alim berbanding abid seperti kelebihan ku berbanding orang yang paling rendah dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya, sekelian penghuni langit dan bumi, sehingga semut di dalam lubangnya, dan ikan-ikan berselawat ke atas orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.” Riwayat at-Tirmizi. Dia berkata hadis ini adalah hasan sahih.
iii.            “Kelebihan orang alim berbanding abid seperti kelebihan bulan purnama berbanding seluruh bintang-bintang. Sesungguhnya ulamak adalah pewaris nabi-nabi. Dan sesungguhnya nabi-nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mengambil ilmu, sesungguhnya dia telah mengambil habuan yang sepenuhnya.” Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain.
iv.           Daripada Sofwan bin Assal r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada pencari ilmu kerana redha dengan apa yang dicari.” Riwayat Ahmad. Terdapat tiga pendapat dalam mentafsirkan ‘meletakkan sayap’. Ia bermaksud mengembangkan sayapnya, atau tawadhuk, merendah diri kepada orang yang menuntut ilmu, atau turun berhenti di majlis-majlis ilmu dan tidak terbang meninggalkannya.
v.             Mu’adz bin Jabal r.a. berpesan: “Tuntutlah ilmu, sesungguhnya mempelajari ilmu kerana Allah itu lambang takut kepadaNya, menuntutnya adalah ibadah, mengulang kajinya adalah tasbih, menyelidiknya adalah jihad, mengajarnya kepada orang yang tidak mengetahui adalah sedekah. Ilmu adalah teman ketika bersendirian dan sahabat ketika kesunyian.
vi.           Ka’ab r.a berkata bahawa Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa alaihissalam: “Wahai Musa, belajarlah kebaikan dan ajarkannya kepada manusia. Sesungguhnya Aku menerangkan kubur orang yang mengajar kebaikan dan mempelajarinya dengan cahaya sehingga mereka tidak berasa seram dan sepi di tempat mereka.

Justeru, untuk meraih darjat yang mulia di sisi Allah muslim mesti mempunyai agenda yang khusus dalam menambah ilmu dan menyampaikannya. Lebih-lebih lagi menuntut itu adalah adalah wajib ke atas setiap individu muslim. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim.” Riwayat Ahmad dan Ibn Majah.

Namun, bukan setiap orang wajib belajar semua ilmu. Menurut pengarang kitab “Mukhtasar Minhaj al-Qasidin” tiada kesepakatan tentang apakah ilmu yang wajib ke atas semua muslim. Fuqahak berkata, ilmu fiqh kerana dengan ilmu itu dapat diketahui halal dan haram. Mufassirun dan muhaddithun berkata, ilmu Kitab dan Sunnah kerana keduanya adalah sumber segala ilmu. Ahli sufi berkata, ilmu tentang ikhlas dan yang merosakkan hati. Mutakallimun atau ahli-ahli ilmu kalam berkata ilmu kalam itulah yang wajib. Beliau menambah, terdapat banyak lagi pendapat-pendapat yang pada pandangannya tidak memuaskan hatinya. Baginya, yang betul adalah ilmu bagaimana seseorang hamba berinteraksi dengan Tuhannya di dalam tiga aspek: I’tiqad, apa yang wajib diamalkan dan apa yang wajib ditinggalkan. Apa yang disebutkan itu merupakan ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari oleh semua muslim.

Selain daripada itu terdapat ilmu yang dikategorikan sebagai ilmu fardhu kipayah. Ia merupakan ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan hidup di dunia. Contohnya ilmu perubatan. Ia sangat penting demi menjaga kesihatan dan kekuatan tubuh badan yang diperlukan untuk melaksanakan berbagai-bagai tanggungjawab sesuai dengan tuntutan sebagai khalifah di bumi. Begitu juga ilmu-ilmu perusahaan lain seperti pertanian, penternakan, perkilangan, penghakiman dan sebagainya.

Kesimpulannya, setiap muslim wajib mempelajari dan menguasai ilmu fardhu ain dengan selengkapnya, kemudian mempelajari sekurang-kurangnya satu bidang daripada bidang-bidang ilmu fardhu kifayah supaya dia dapat menjadi penyumbang yang bermakna kepada kesejahteraan hidup keluarga, masyarakat dan negera.



Petikan daripada kitab “Mukhtasar Minhaj al-Qasidin” karangan Ibn Qudamah.

No comments: