KETAHUILAH: Sesungguhnya kebanyakan manusia binasa dan tersungkur
kerana takut kepada celaan manusia dan suka kepada pujian mereka. Lalu, semua pergerakan
mereka dilakukan selari dengan selera manusia kerana mengharapkan pujian dan
takutkan celaan. Hal ini termasuk di dalam perkara yang membinasakan seseorang.
Justeru, ia wajib dirawat dan diubati.
CARA MERAWATNYA?
Lihat kepada sifat yang dipuji itu; seandainya sifat itu
memang ada pada dirimu, maka perhatikan keadaannya: adakah ia sifat yang wajar
engkau rasa gembira dengannya seperti ilmu dan warak, atau sifat yang tidak
wajar engkau rasa gembira dengannya seperti pangkat dan harta.
Jika yang pertama: engkau harus waspada akan kesudahannya. Sesungguhnya
kebimbangan tentang kesudahannya menghalang engkau dari rasa gembira dengan
pujian. Tetapi sekiranya engkau rasa gembira dengan pujian kerana mengharapkan
kesudahan yang baik, engkau perlu ingat bahawa sepatutnya engkau gembira dengan
kurnaan Allah yang menganugerahkan engkau ilmu dan taqwa, bukan gembira dengan
pujian yang engkau terima dari manusia.
Adapun yang kedua: iaitu pujian dengan sebab pangkat dan
harta, maka kegembiraan engkau dengannya samalah dengan kegembiraanmu melihat
dan terpesona pada kehijauan tanaman serta tumbuhan di bumi. Dalam masa yang
singkat ia akan bertukar menjadi kuning dan layu. Hanya orang yang berakal
pendek sahaja yang rasa gembira dengan keadaan itu.
Dan sekiranya sifat yang mereka puji itu tidak ada padamu, maka
engkau rasa gembira dengan pujian itulah gila yang sebenar-benarnya.
(Petikan daripada Kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin)
No comments:
Post a Comment