Friday, August 31, 2018

TADABBUR SURAH ALKAHFI – SOLEHKAN DIRIMU


Satu daripada amalan yang digalakkan pada hari jumaat adalah membaca surah alkahfi.
Terlalu banyak pengajaran yang dapat dikutip jika kita mentadabbur ayat demi ayat.
Semalam saya kongsikan pengajaran daripada ayat ke 29 berkaitan dengan erti kebebasan.

In syaa Allah hari ini saya ingin kongsikan pengajaran daripada ayat ke 82.

Allah berfirman maksudnya:

“Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".

Penjelasan Khidhir kepada Nabi Musa a.s. kenapa beliau menegakkan tembok yang hendak runtuh (ayat 77). Sebabnya ialah tembok itu dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.

Saya hanya akan kongsikan ulasan para mufassirun tentang ungkapan “dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh”.

Dalam hal ini, ar-Razi (wafat 606H) menyebut bahawa kesolehan ibu bapa menjadi sebab anak-anak mereka dijaga dengan baik dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Beliau juga menaqalkan kata-kata Jaafar bin Muhammad bahawa hubungan antara dua orang anak yatim yang disebut di dalam ayat itu dengan bapa mereka yang soleh itu adalah tujuh peringkat, atau disebut keturunan yang ke tujuh.

Ibn Kathir (wafat 774H) berkata, ungkapan itu menunjukkan bahawa orang yang soleh dipelihara keturunannya. Keberkatan ibadahnya meliputi mereka (keturunannya) di dunia dan di akhirat dengan syafaatnya untuk mereka. Di angkat darjat mereka setinggi-tingginya di syurga agar sejuk mata dan tenang hatinya. Sa’eid bin Jubair meriwayatkan bahawa Ibn Abbas r.a. berkata, “kedua-dua anak yatim itu dijaga kerana kesolehan ayah mereka. Tetapi tidak dinyatakan tentang kesolehan mereka.” Dan telah dinyatakan sebelum ini bahawa maksud ayah dalam ayat ini adalah ayah yang ke tujuh.

Al-Alusi (wafat 1270H) berkata, pada zahirnya maksud ayah adalah ayah yang dekat. Ada riwayat menyebut namanya Kasyih dan ibu mereka bernama Duhna. Ada pendapat mengatakan ayah yang ke 10 dan pendapat lain mengatakan ayah yang ke tujuh. Beliau menyimpulkan walau apapun, ayat ini menunjukkan bahawa kesolehan ayah membuatkan anak-anak mereka diberi perhatian dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Nabi Isa a.s. pernah berkata: “Barbahagialah zuriat keturunan orang yang beriman, kemudian berbahagialah mereka. Betapa sesungguhnya mereka dijaga selepas bapa mereka.”

Kesimpulannya, sebagai hamba kita wajib berusaha sedaya mampu untuk memperbaiki diri menjadi hamba yang baik di sisiNya. Apabila kita menjaga hubungan kita denganNya, maka Dia akan memelihara bukan sahaja diri kita, malah zuriat keturunan kita.


Perkataan “kanzun” di dalam ayat di atas, menurut satu pendapat bermaksud harta benda. Ada juga yang berpendapat ia bermaksud ilmu dan hikmah. Harta adalah keperluan hidup di dunia. Manakala ilmu dan hikmah adalah keperluan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Kalau kita katakan maksudnya adalah harta, maka kita yakin apabila Allah memelihara harta untuk kepentingan dunia zuriat lelaki soleh, pastinya ilmu dan hikmah lebih-lebih lagi dipelihara kerana ilmu lebih penting daripada harta dan kebahagiaan akhirat lebih utama daripada kesenangan hidup di dunia.

Thursday, August 30, 2018

SELAMAT HARI MERDEKA – MERAIKAN KEBEBASAN


Allah S.W.T. berfirman maksudnya:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, MAKA SESIAPA YANG MAHU BERIMAN, HENDAKLAH IA BERIMAN; DAN SESIAPA YANG MAHU KUFUR INGKAR, BIARLAH DIA MENGINGKARINYA". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.”

Ayat di atas menerangkan erti kebebasan serta prinsip-prinsip asasnya:

1.      Kebebasan bererti semua orang berpeluang untuk mendengar tentang kebenaran dengan sejelas-jelasnya tanpa penyelewengan, pembohongan dan pemutaran fakta atau dengan kata lain, putar belit fakta.
2.      Untuk itu pendakwah mesti menyampaikan dan diberi jaminan untuk menyampaikan tanpa halangan dan sekatan.
3.      Setiap orang bebas untuk membuat pilihan selepas penjelasan disampaikan dengan benar, tepat dan amanah. Dan setiap orang bertanggungjawab di atas apa jua pilihan yang telah dibuat.
4.      Pilihan yang dibuat hendaklah dihurmati, tidak boleh diejek, dikeji dan dicaci atas pilihan itu.
5.      Kebenaran yang hakiki hanya datang dari Allah. Allah menghendaki sekelian hambaNya menerima kebenaran yang disampaikan dariNya. Namun Dia tidak memaksa. Lantaran itu mereka mesti faham apa yang mereka pilih serta implikasinya.

Marilah kita isi kemerdekaan ini dengan menyampaikan dakwah seluas-luasnya.


FEEL FREE TO DAKWAH!!!

Tuesday, August 28, 2018

Abu Lahab dan isterinya, pengamal media atau penyebar berita yang amat berbahaya!

Oleh: Dr Raghib as-Sarjani

Setengah mereka yang mentadabbur al-Quran mungkin akan berasa hairan kenapa turunnya satu surah sepenuhnya, walaupun pendek hanya untuk menolak tohmahan Abu Lahab dan isterinya? Dan lebih-lebih menghairankan, di dalam surah ini disebut secara terang-terangan nama individu yang dimaksudkan pada hal di sana terdapat orang-orang kafir lain yang ramai bilangannya yang memusuhi dan menyerang Baginda s.a.w. Namun, Allah s.w.t. tidak menyebut nama-nama mereka secara terang-terangan, hanya sekadar secara sindiran sahaja?
Dan bertambah hairan lagi jika kita perhatikan bahawa tumpuan yang lebih besar dihalakan kepada isteri Abu Lahab, di mana dua daripada lima ayat memperkatakan tentang isterinya sahaja secara khusus. Surah ini pula dinamakan “Al-Masad”, ia merupakan perkara yang berkaitan dengan isteri Abu Lahab.
Dan kalau anda ingin menambah kehairanan anda, anda patut tahu bahawa di dalam sejarah, Abu Lahab dan isterinya tidak pernah menyiksa kaum muslimin dengan tongkat, pedang, tali cemeti dan sebagainya. Pendeknya tidak ada kaum muslimin yang pernah luka, cedera, terbunuh dan seumpamanya di tangan Abu Lahab dan isterinya.
Justeru, kenapa mereka berdua dikutuk dan dilaknat begitu rupa?
Biar saya singkap kehairanan anda. Sebenarnya Abu Lahab dan isterinya merupakan pengamal media atau penyebar berita yang amat berbahaya, yang mendokong idea serta gagasan yang menyesatkan! Dengan itu, serangan jahat mereka berdua tidak terkena ke atas seorang muslim atau seorang muslimah. Sebaliknya serangan jahat mereka berdua merebak dan tersebar ke merata tempat, didengari oleh mereka yang berada di sisi Abu Lahab dan isterinya serta mereka yang tidak bertemu dengan keduanya.
Ya! Berapa ramai manusia yang terhalang daripada jalan Allah dengan sebab kata-kata mereka berdua? Berapa banyak penderitaan yang dialami para du’at akibat kebohongan dan kekeliruan yang mereka hebah-hebahkan!
Kerana semua itu, mereka berhak mendapat kutukan dan laknat sebegitu rupa, yang ditimpakan ke atas mereka, di dunia dan akhirat.
Mari kita imbas pendirian mereka berdua, penghinaan yang mereka lakukan terhadap Rasulullah s.a.w. sejak hari pertama bermulanya dakwah.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.’anhuma, dia berkata: manakala turun ayat (dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat – asy-Syu’araa’:124), Nabi s.a.w. mendaki bukit Safa lalu menyeru: “Wahai Bani Fihr, wahai Bani ‘Adi, akar umbi kaum Quraisy, sehinggalah mereka semua berkumpul. Maka orang yang tidak dapat keluar akan menghantar utusan untuk melihat apa yang berlaku. Lalu Abu Lahab turut datang bersama kaum Quraisy. Setelah mereka berkumpul, Baginda berkata: “Apa pendapat kamu sekiranya aku memberitahu kamu bahawa tentera berkuda berada di lembah sana hendak menyerang kamu, adakah kamu percaya?” Mereka menjawab: “Ya, setahu kami, engkau tidak pernah  berkata kecuali yang benar!” Lalu Baginda berkata: “Maka sesungguhnya aku memberi amaran kepada kamu bahawa di hadapanku terdapat azab yang sangat pedih (bagi orang yang ingkar)” Lantas Abu Lahab terus menyampuk: “Celaka engkau sepanjang hari, adakah untuk ini engkau himpunkan kami?” Maka turunlah ayat 1 dan 2 surah al-Masad.
Perhatikan bahawa Ibn Abbas r.’nhuma berkata di dalam riwayat di atas “Maka Abu Lahab datang serta kaum Quraisy”.
Sesungguhnya kedatangan Abu Lahab beserta kaum Quraisy telah menarik perhatian Ibn Abbas, sehingga dia menyebut namanya secara khusus, pada hal ketua-ketua kaum selainnya juga turut hadir. Namun individu yang paling berpengaruh ialah Abu Lahab. Kenapa? Kerana dia yang bercakap. Dia yang mengisytiharkan dengan suaranya yang lantang, memberi amaran kepada manusia, menghalang mereka dari mengikuti jalan Allah.
Manusia sebenarnya memiliki fitrah yang suci. Andainya mereka mendengar al-Quran dan as-Sunnah, pastinya kebanyakan mereka akan menerima hidayah. Tetapi para penyiar, pengamal media yang jahat itu datang dan memalsukan hakikat yang sebenar. Mereka menakut-nakutkan manusia, menjauhkan mereka dari jalan agama. Maka jadilah pengamal media orang yang paling berbahaya kepada dakwah, lebih bahaya daripada tukang sebat yang memegang tali cemeti dengan tangan mereka atau pemerintah yang menyumbat orang-orang beriman ke dalam penjara-penjara mereka.
Inilah sebabnya kenapa Allah kecam Abu Lahab dengan kecaman yang tidak dilakukan serupa dengannya terhadap syaitan-syaitan Quraisy yang lain, yang mana usaha keras mereka dihalakan dengan cara menyiksa kaum muslimin secara fizikal.
Dan isteri Abu Lahab! Pemberita wanita yang paling berbahaya juga!
 Dia telah mendengar tentang dakwah dan risalah. Lalu dia membenci Islam serta penganutnya. Dia dengki kepada Rasulullah s.a.w. serta sahabat-sahabat Baginda. Tidak cukup dengan memerintahkan anak lelakinya supaya berpisah dengan puteri Rasulullah s.a.w. yang telah dipinangnya semasa jahiliah, dia bangkit dan bergiat aktif di medan penyiaran sebagai wartawan yang jahat. Dia mereka-reka nama yang buruk untuk Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan bahan ejekan. Dia menamakan Rasulullah s.a.w. “Muzammam” yang bermaksud orang yang tercela iaitu lawan kepada nama “Muhammad” yang bermaksud orang yang terpuji.
Dia juga telah menggubah syair berupa kutukan yang ditujukkan kepada Rasulullah s.a.w. dia mendendangkan syairnya yang keji itu:
Muzammam kami enggan ikut
Agamanya kami benci
Suruhannya kami ingkari.
Dia bergerak aktif ke sana ke mari menyiarkan propagandanya menentang Islam. Dia tidak segan silu menghadirkan diri di majlis-majlis yang khusus untuk kaum lelaki. Fitrah kewanitaannya yang sopan dan pemalu telah ditolak tepi. Objektif utamanya adalah menghalang manusia dari berpaling ke arah Islam serta pengikutnya.
Perlakuan-perlakuan tersebut tidak berlaku secara sepintas lalu dalam kehidupan mereka berdua. Sebaliknya mereka berdua merancang dan mencipta reka media yang merosakkan.
Ummu Jamil, isteri Abu Lahab sentiasa mengikuti perkembangan, dia bergerak di tengah-tengah masyarakat untuk menyebarkan perkembangan terkini dari sudut pandangannya yang menyesatkan. Apabila dia mengetahui wahyu tidak turun kepada Rasulullah s.a.w. beberapa ketika, dia pergi menghasut Nabi s.a.w. dengan berkata: “Wahai Muhammad, aku rasa syaitanmu telah benci kepadamu!” Maka turunlah surah adh-Dhuha.
Namun para pencacainya menyebarkan berita tentang kelewatan wahyu mengikut versi Ummu Jamil yang palsu lagi menyesatkan. Dia memberitahu manusia bahawa yang selalu datang kepada Muhammad itu syaitan dan sekarang syaitan itu sudah tidak datang lagi! Pada hal yang sebenarnya malaikat yang datang kepada Nabi s.a.w. dan terus datang tanpa henti. Lihat bagaimana cara dia memutar  belitkan cerita, memetik sebahagian kecil daripada apa yang berlaku sebenarnya, iaitu terputus wahyu beberapa ketika sahaja. Dia memalsukan berita dengan menambah sesuka hatinya serta menyembunyikan apa yang benar. 
Dan suaminya, Abu Lahab giat dan gigih berjalan di atas landasan kebatilan menyaingi isterinya menyebarkan berita-berita palsu. Rabi’ah bin ‘Abbad ad-Deeliy – mulanya seorang jahiliah, kemudian memeluk Islam – dia berkata: “Saya lihat Rasulullah s.a.w. dengan mata kepala saya di pasar Dzi al-Majaz, menyeru manusia: “Wahai manusia, kaatakanlah “la ilaha illa Allah”, kamu akan berjaya.” Baginda memasuki setiap lorong-lorongnya, dan manusia mengerumuninya. Maka aku tidak nampak seorangpun berkata sesuatu, sedang Baginda tidak berhenti berkata: “Wahai manusia, katakanlah “la ilaha illa Allah”. Dalam pada itu, di belakangnya terdapat seorang lelaki juling, berwajah putih, mempunyai dua tocang, lelaki itu berkata: “Sesungguhnya dia ini orang gila dan pendusta!”. Maka aku bertanya kepada orang ramai: “Siapakah lelaki itu?” Mereka menjawab: “Muhammad bin Abdullah. Dia mendakwa menjadi Nabi.” Aku bertanya lagi: “Siapakah lelaki yang mendustakannya itu?” Mereka menjawab: “Bapa saudaranya, Abu Lahab!”
Sesungguhnya dia memainkan peranan yang sama dengan isterinya, menyebarkan berita palsu dan jahat. Dia mendakwa Rasulullah s.a.w. pendusta, pada hal dia mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. seorang yang benar lagi amanah. Dia mendakwa Rasulullah s.a.w. seorang yang sasau, pada hal dia mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. hanya datang untuk menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Esa sedang mereka semua menyembah berhala-berhala selain Allah.
Sesungguhnya kisah dua orang pemberita ini penuh dengan peristiwa yang menyedihkan. Kegiatan yang menyebabkan mereka dipandang hina bukan saja oleh manusia tetapi dipandang hina oleh Allah ‘Azza wa Jalla, sehingga Allah melakarkan penghinaan begitu rupa di dalam kitabNya yang mulia. Maka seluruh orang yang beriman akan terus membacanya berulang-ulang sehingga ke hari kemudian.
Dua mesej daripada kisah Abu Lahab dan isterinya
Sesungguhnya daripada kisah ini mendorong saya untuk mengajukan dua mesej penting:
Pertama mesej kepada pemberita lelaki dan perempuan, yang memalsukan kenyataan, yang mengelirukan orang ramai, yang benci kepada Islam, yang membawa manusia jauh dari jalan orang yang beriman, saya sampaikan kepada mereka mesej ini:
Sesungguhnya Abu Lahab mati selepas dia mengetahui bahawa orang-orang yang beriman telah mencapai kemenangan di dalam peperangan Badar, lalu dia dihempap perasaan sedih, keciwa dan duka. Kemudian Allah tambahkan deritanya dengan penyakit kudis busuk yang dikenali sebagai “al-‘adasah”, penyakit yang sangat ditakuti oleh bangsa Arab. Akhirnya dia mati dengan penyakit itu. Dan tidak seorangpun dari kalangan keluarga terdekatnya yang sanggup menghampiri mayatnya untuk dikebumikan. Mayat  terlantar sendirian beberapa hari di rumahnya sehingga berulat. Apabila orang ramai  mencela anak-anaknya kerana membiarkan ayah mereka begitu, merekapun datang, mereka menjirus air ke atas mayat yang busuk itu dari jarak jauh, kemudian mereka angkut mayat itu dengan pakaian yang sudah ada di badannya, mereka bejalan dengan laju membawa mayat itu ke puncak bukit yang paling tinggi di Makkah, lalu mereka campakkannya ke bawah. Lepas itu mereka campakkan anak-anak batu ke atasnya sehingga mayat itu tertimbus di bawah anak-anak batu itu.
Itulah kesudahan yang menyedihkan orang yang berjalan di atas landasan yang kejam. Langit dan bumi tidak menangisi pemergian mereka, dan mereka juga tidak dinanti oleh sesiapa. Inilah penghinaan yang menanti mereka. Allah Ta’ala yang berkata begitu. “...dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya...” (Al-Hajj:18)
Maka sedarlah wahai wartawan yang suka mengelirukan. Di hadapan kamu masih terbuka peluang untuk menyelamatkan diri. Rebutlah peluang itu sebelum datang hari di mana kamu tidak berpeluang lagi untuk kembali ke dunia ini. Ketahuilah  bahawa orang ramai yang menjadi pengikut kamu sekarang tidak akan menangisi kamu selama-lamanya. Bahkan mereka akan berlepas diri dari kamu dan akan melaknat kamu generasi demi generasi. Suatu hari nanti mereka akan sedar bahawa kamu sebenarnya tidak pernah sekalipun berjuang atau berniat untuk mempertahankan kepentingan mereka atau kepentingan tanahair mereka. Apa yang kamu inginkan hanyalah semata-mata mengaut  harta dan kekayaan, mengejar populariti dan kemasyhuran. Lantas, apa yang kamu dapat? Sesungguhnya Allah telah berfirman mengenai Abu Lahab, pemberita yang jahat itu: “Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.” (Al-Masad:2). Apakah popularitinya? Dia popular sebagai penjahat, pembuat kerosakan, orang yang diaibkan sejak zamannya sehingga ke hari pembalasan.
Adakah kamu berkenan dengan kesudahan seperti Abu Lahab itu?
Demi Allah! Sesungguhnya aku simpati kepada kamu. Tidakkah kamu berfikir?
Patut juga saya sebut di sini suatu perkara penting, iaitu artikel ini tidak bermaksud saya menyifatkan pemberita di negara kita ini kafir, dan mereka adalah sama taraf dengan Abu Lahab dan isterinya. Saya Cuma ingin mendedahkan “perbuatan-perbuatan” yang kerananya Abu Lahab dan isterinya dilaknat secara khusus di dalam al-Quran, sedang penentang-penentang lain tidak. Ini membuktikan betapa buruknya perbuatan mereka berdua. Saya juga ingin mengingatkan, sesiapa yang mengikuti jejak langkah mereka berdua, maka jangan terkejut kalau ditimpa nasib yang serupa dengan mereka! Sesiapa yang meraih rezeki dengan cara mendustakan kebenaran dan menghalang manusia dari kebenaran, maka tidak mustahil dia akan melucutkan iman secara keseluruhan daripada kehidupannya, dengan itu dia akan tergolong dalam kalangan mereka yang disebut di dalam firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi karat (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.” (Al-Mutaffifin:14)
Mesej kedua saya tujukan kepada orang-orang yang beriman. Kepada mereka saya ingin katakan: jangan kamu diberhentikan oleh cemuhan-cemuhan yang kamu dengar daripada orang-orang yang seperti Abu Lahab dan isterinya. Di manakah mereka berdua sekarang? Dan di manakah Rasulullah s.a.w.  serta sahabat Baginda?
Adapun mereka berdua, maka sesungguhnya Allah telah menghina mereka dan memasukkan mereka ke dalam neraka, mereka tidak keluar daripadanya selama-lamanya. Adapun Rasulullah s.a.w., maka sesungguhnya Allah telah mengangkat nama Baginda, meninggikan kedudukan Baginda dan memenangkan Baginda serta sahabat-sahabat Baginda. Sehingga ke hari ini kita menyebut mereka dengan kebaikan dan pujian. Seluruh dunia terus mentadabbur kesan-kesan mereka yang cukup hebat serta jasa-jasa mereka yang agung.
Justeru, adakah berita-berita palsu dan dusta itu memberi kesan ke atas pergerakan dan aktiviti Baginda s.a.w.?
Demi Allah! Sama sekali tidak! Sesungguhnya Baginda menghadapi isu itu dengan mudah dan menakjubkan.  Dan Allah Ta’ala yang menjawab segala tohmahan dengan cara yang tidak pernah terfikir oleh sesiapapun. Rasulullah s.a.w. mendengar cacian mereka. Mereka panggil Baginda Muzammam. Lalu apa kata Baginda? Sesungguhnya Baginda hanya berkata kepada sahabatnya: “Tidakkah kalian hairan bagaimana Allah memalingkan daripadaku celaan Quraisy dan cacian mereka? Mereka mencelaku Muzammam, mereka mengutukku Muzammam. Padahal aku adalah Muhammad.” Akhirnya Nabi s.a.w. dapat menyempurnakan perjalanannya dan menggalakkan para sahabat agar menyempurnakan perjalanan mereka. Sesungguhnya pendakwah yang sebenar itu tidak ada waktu untuk melayan perkara-perkara bodoh dan palsu itu.
Dan kita perlu sebut bahawa reaksi sebegini adalah ketika zaman Makkah di mana kuasa yang ada di tangan Baginda tidak lebih daripada itu. Adapun di zaman madinah, maka perinciannya memerlukan kupasan yang lain pula.
Maka bergembiralah, tenangkanlah hati kamu wahai orang-orang yang beriman.
Sesungguhnya demi Allah, Dia akan menyejukkan dada kamu dengan kemuliaan agama ini. Dia akan mengusap luka di hati kamu dengan memperlihatkan kekalahan dan kehinaan mereka yang jahat itu. Dan akan datang hari, yang aku kira sangat dekat in sya Allah, mereka yang  suka memutar belitkan fakta akan tewas dan hina di mata manusia. Hari ini suara mereka kedengaran memenuhi dunia, tulisan mereka terpahat di mana-mana. Esok  mereka akan lari menyembunyikan wajah-wajah mereka dalam kehinaan. Itulah kesudahan yang pasti bagi mereka yang menghabiskan usia menjauhkan manusia dari jalan Tuhan Pemilik alam semesta.
“...mereka bertanya secara mengejek: Bilakah berlakunya? Katakanlah: Mudah-mudahan akan berlaku tidak lama lagi!” (Al-Isra’:51)

Kita memohon kepada Allah agar memuliakan Islam dan umatnya.


Diterjemah pada: February 2013