Sunday, August 26, 2018

SISI TERLINDUNG


Bercakap tentang penjenayah dan pelaku maksiat, yang selalu kita dengar adalah kutukan, cacian, makian, kebencian dan lain-lain yang seerti dengannya. Tetapi jarang kita dengar yang sebaliknya.
Memang kita disuruh membenci maksiat dan kemungkaran. Namun tidak bermakna kita mesti mencaci dan menghina pelakunya.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik contoh, sebaik-baik murabbi, sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik penghukum.

Kebaikan Baginda s.a.w. terserlah pada kisah yang diriwayatkan kepada kita oleh sahabat yang terbilang Umar bin al-Khattab r.a. bahawa seorang lelaki bernama Abdullah, dikenali dengan gelaran Himar, suka membuat Nabi s.a.w.  tertawa. Dia pernah disebat kerana meminum arak.
Pada suatu hari, dia dibawa ke hadapan Nabi s.a.w. kerana didapati meminum arak. Nabi s.a.w. perintahkan agar dia disebat.
Seorang lelaki berkata: “Ya Allah, laknatilah dia! Sudah beberapa kali dia ditangkap kerana minum arak!”
Mendengar kata-kata lelaki itu, Nabi s.a.w. bersabda: “Jangan kamu melaknatnya. Kerana demi Allah, apa yang aku ketahui bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan RasulNya.” Riwayat al-Bukhari.

Menurut riwayat Abu Hurairah r.a., Seorang lelaki dibawa ke hadapan Nabi s.a.w. kerana didapati meminum arak. Nabi s.a.w. memerintahkan agar dia dipukul.
Abu Hurairah berkata, lalu kami memukulnya. Ada yang memukul dengan tangan, ada yang memukul dengan kasut, ada yang memukul dengan kain.
Apabila lelaki itu beredar, beberapa orang berkata: ”Semoga Allah menghinakan engkau!”
Mendengar kata-kata itu, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu berkata demikian. Jangan kamu tolong syaitan menguasainya!” Riwayat al-Bukhari.
Di dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah juga, seorang lelaki berkata kepada peminum arak itu: “Alangkah teruknya dia ini! Allah telah menghinanya!”
Maka Rasulullah s.a.w. menegur lelaki itu dengan sabdanya: “Jangan kamu menjadi penolong syaitan menguasai saudara kamu!”

Subhanallah! Alangkah indahnya tutur bicara baginda s.a.w.

Antara yang dapat kita pelajari adalah:
1.     Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan pesalah itu dikutuk dan dilaknat.
2.     Kutukan ke atas pesalah tidak dapat memperbaiki dirinya. Sebaliknya, akan memberi peluang kepada syaitan untuk lebih mendekati dan mempengaruhinya.
3.     Rasulullah s.a.w. mengingatkan hubungan persaudaraan yang terjalin, tidak terungkai dengan maksiat yang dilakukan. Dia adalah saudara kamu.
4.     Pelaku maksiat juga ada sisi kebaikannya. Nabi s.a.w. mengiktiraf peminum arak itu walaupun telah beberapa kali dihukum di dalam hatinya tersemat rasa cinta kepada Allah dan Rasul.

Mudah-mudahan kita termasuk di dalam kalangan mereka yang mendengar dan mengikuti apa yang baik.

Aamiin.

No comments: