Tuesday, August 28, 2018

Kesabaran dan Kebijaksanaan Bersulam Iman


Ummu Sulaim atau nama sebenarnya Rumaisaa’ binti Milhan adalah seorang wanita keturunan bangsawan dari kabilah Ansar suku Khazraj.
Ia memiliki sifat keibuan dan berwajah manis menawan. Selain itu ia juga memiliki akal yang pintar dan cerdas, berhati-hati dalam bertindak, matang dan berakhlak mulia. Semasa jahiliah, dia berkahwin dengan ahli keluarganya yang bernama Malik bin Nadhar. 
Ketika  Rasululllah s.a.w. mengajak manusia kepada tauhid, tanpa keraguan Ummu Sulaim terus memeluk agama Islam dan tidak peduli akan gangguan dan rintangan yang dihadapinya dari masyarakat jahiliah.
Namun suaminya, Malik bin Nadhar amat marah apabila mengetahui isterinya telah masuk Islam. Dengan dada gemuruh kerana emosi, ia berkata kepada Ummu Sulaim: "Engkau kini telah terperangkap dalam kemurtadan!"
"Saya tidak murtad. Tetapi saya kini telah beriman," jawab Ummu Sulaim dengan mantap. Kesungguhan Ummu Sulaim memeluk agama Allah tidak hanya sampai di situ. Ia juga tanpa bosan berusaha melatih anaknya, Anas yang masih kecil untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.
Melihat kesungguhan isterinya serta pendiriannya yang tak mungkin bergoyang, Malik bin Nadhar menjadi bosan dan tidak mampu mengendalikan amarahnya. Kemudian  bertekad untuk meninggalkan rumah dan tidak akan kembali sampai isterinya mahu kembali kepada agama nenek moyang mereka. Ia pun pergi dengan wajah suram. Sayangnya, di tengah jalan ia bertemu dengan musuhnya, kemudian ia dibunuh..
Ketika  mendengar berita kematian suaminya dengan ketabahan yang mengagumkan Ummu Sulaim berkata, "Saya akan tetap menyusui Anas sehingga ia tidak mahu menyusu lagi, dan  sekali-kali saya tidak  ingin berkahwin lagi sehingga Anas menyuruhku."
Setelah Anas agak besar, Ummu Sulaim dengan malu-malu mendatangi Rasulullah s.a.w. dan meminta agar baginda bersedia menerima Anas sebagai pembantunya. Rasulullah s.a.w. pun menerima Anas dengan rasa gembira. Keputusan serta tindakan  Ummu Sualim itu dikagumi para sahabat r.a.
Seorang  bangsawan bernama Abu Thalhah telah jatuh cinta kepada Ummu Sualim. Dia  melangkahkan kakinya ke rumah Ummu Sulaim untuk melamarnya dan menawarkan mahar yang tinggi. Namun jawapan Ummu Sulaim adalah di luar dugaannya sama seskali. Dengan nada lembut, sopan dan penuh hormat Ummu Sulaim berkata,  "Tidak selayaknya saya berkahwin dengan seorang musyrik. Ketahuilah wahai Abu Thalhah bahawa sembahanmu selama ini hanyalah sebuah patung yang dipahat oleh keluarga fulan. Dan apabila engkau mahu mencampakkannya ke dalam api nescaya api akan membakar dan menghanguskan patung-patung itu!."
Perkataan Ummu Sulaim begitu tajam menusuk ke dadanya. Namun Abu Thalhah  tidak cepat berputus asa. kerana cintanya yang tulus dan mendalam terhadap Ummu Sulaim, di lain kesempatan ia datang lagi menemuinya dan cuba menawarkan mahar yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya.
Sekali lagi, Ummu Sulaim yang cerdik dan pintar ini tetap teguh dengan keimanannya. Sedikit pun ia tidak tergoda oleh kenikmatan dunia yag dijanjikan oleh Abu Thalhah. Baginya kenikmatan Islam lebih berharga daripada seluruh kenikmatan dunia. Dengan akhlak dan budi bahasa yang tinggi dia berkata kepada Abu Talhah: "Sesungguhnya tidak sewajarnya saya menolak orang seperti engkau, wahai Abu Thalhah. Hanya sayang engkau seorang kafir dan saya seorang muslimah. Maka tidak patut bagiku berkahwin denganmu. Tetapi sekiranya engkau memeluk Islam, maka Islammu itulah maskahwin bagiku!”
"Tetapi saya tidak mengerti siapa yang akan menjadi pembimbingku?" Tanya Abu Thalhah. "tentu saja pembimbingmu adalah Rasulullah s.a.w. sendiri," tegas Ummu Sulaim.
Maka Abu Thalhah pun bergegas pergi menemui Rasulullah s.a.w. yang ketika itu sedang duduk bersama para sahabatnya. Melihat kedatangan Abu Thalhah, Rasulullah s.a.w. berseru maksudnya, "Abu Thalhah telah datang kepada kalian, dan cahaya Islam tampak pada kedua bola matanya."
Ketulusan hati Ummu Sulaim benar-benar terasa mengharukan relung-relung hati Abu Thalhah. Ummu Sulaim hanya mahu berkahwin dengan keislamannya tanpa sedikitpun tergiur oleh kenikmatan yang dia janjikan. Wanita mana lagi yang lebih pantas menjadi isteri dan ibu anak-anaknya selain Ummu Sulaim? Maka  di hadapan Rasulullah s.a.w. Abu Thalhah mengucap syahadahnya , "Saya mengikuti ajaran Anda, wahai Rasulullah. Saya bersaksi, bahawa tidak ada ilah yang berhak disembah kecuali Allah dan saya bersaksi bahwa Muhammad adalah utusanNya."
Berkahwinlah Ummu Sulaim dengan Abu Thalhah. Maharnya adalah keislaman suaminya. Seorang  perawi hadis meriwayatkan daripada Anas r.a, "aku  belum pernah mendengar sama sekali seorang wanita yang maharnya lebih mulia daripada Ummu Sulaim, iaitu keislaman suaminya."
Dan  merekapun menjalani kehidupan rumah tangga yang damai dan sejahtera dalam naungan cahaya Islam.
Tidak berapa lama Allah mengurniakan seorang anak lelaki kepada pasangan berbahagia itu dan diberi nama Abu Umair.
Namun takdir Allah memang tidak mampu diduga. Allah s.w.t. kembali ingin menguji kesabaran pasangan ini. Tiba-tiba saja, cahaya mata kesayangan mereka jatuh sakit. Ketika Abu Talhah tiada di rumah, putranya Abu Umair menghembuskan nafas terakhir.
Ummu Sulaim sangat memahami betapa sayangnya Abu Talhah kepada Abu Umair. Sambil berulangkali mengucapkan "Innaa lillahi wa inna ilaihi raji’un", dia meletakkan puteranya di atas katil di dalam bilik tidurnya. Dia berpesan kepada sanak keluarganya, "Jangan sekali-kali kalian memberitahukan perihal puteranya kepada Abu Thalhah! Biarkan aku sendiri yang memberitahunya."
Sekembalinya Abu Thalhah, ia terus bertanya: "Bagaimana keadaan puteraku sekarang?"
"Dia lebih tenang daripada biasanya." Jawab Ummu Sulaim dengan tenang.
Hati Abu Thalhah berbunga-bunga mendengar puteranya dalam keadaan tenang sambil mengharapkan ia semakin pulih. Ummu Sulaim pun menjamu suaminya dengan hidangan yang istimewa dan berdandan serta berhias dengan wangi-wangian, membuatkan Abu Thalhah tertarik dan mengajaknya tidur bersama.
Setelah suaminya terlelap, Ummu Sulaim memuji Allah kerana berhasil menenteramkan suaminya perihal puteranya. Ia  menyedari Abu Thalhah telah mengalami keletihan seharian, lalu membiarkan ia tidur sepuasnya.
Menjelang subuh, baru Ummu Sulaim berkata kepada suaminya, "Wahai Abu Thalhah! Apa  pendapatmu jika ada orang meminjamkan barang kepada tetangganya lantas ia meminta kembali haknya. Patutkah jika si peminjam enggan mengembalikannya?"
"Tidak," jawab Abu Thalhah.
"Bagaimana jika si peminjam enggan mengembalikannya setelah menggunakannya?" Ummu Sulaim bertanya lagi.
"Wah, mereka benar-benar tidak waras," tingkah Abu Thalhah.
"Demikian pula puteramu. Allah meminjamkannya kepada kita dan Pemiliknya telah mengambilnya kembali. Relakanlah ia," kata Ummu Sulaim dengan tenang. Pada mulanya Abu Thalhah marah dan membentak, "Kenapa baru sekarang kamu beritahu, dan membiarkan aku hingga ternoda (berhadas kerana berhubungan suami isteri)?"
Dengan rasa tabah Ummu Sulaim mengingatkan suaminya hingga ia kembali mengucap "Innaa lillahi wa inna ilaihi rrji’un", dan memuji Allah dengan hati yang tenang.
Pagi-pagi buta sebelum cahaya matahari kelihatan penuh, Abu Thalhah menemui Rasulullah s.a.w.  dan menceritakan kejadian itu. Rasulullah s.a.w. pun bersabda maksudnya, "Semoga Allah s.w.t. memberikan barakah pada malam pengantin kalian berdua."
Berkat doa Rasulullah s.a.w. Ummu Sulaim telah mengandung dan melahirkan seorang putera yang diberi nama Abdullah bin Thalhah oleh Rasulullah s.a.w.  Dan Maha Suci Allah! Barakahnya  ternyata tidak hanya terhenti di situ. Abdullah  kemudian memiliki tujuh orang putera yang semuanya hafaz al-Qur’an.
Keutamaan Ummu Sulaim bukan sekadar itu.  Allah s.w.t. pernah menurunkan ayat untuk pasangan suami isteri itu kerana suatu peristiwa. Rasulullah s.a.w. sendiri menggembirakannya dengan janji syurga dalam sabdanya yang bermaksud:
"Aku memasuki syurga dan aku mendengar seseorang sedang berjalan. Lantas aku bertanya "Siapakah ini?" Penghuni syurga itu menjawab "Ini adalah Rumaisaa’ binti Milhan, ibu Anas bin Malik."


Selamat untukmu Ibunda Anas, lambang mukminah yang sabar lagi pintar!

ditulis pada:
Oktober 2009

No comments: