Thursday, January 30, 2020

DI KALA MALAIKAT KEBINGUNGAN…


Allah SWT berfirman maksud:
“Dan jika kamu menghitung ni’mat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nahl 16:18

Maha benarlah firman Allah SWT, bahawa kita memang tidak mampu untuk mengetahui, apa lagi menghitung segala ni’mat yang dikurniakanNya kepada kita. Sungguh tidak mampu. Lantaran itu kita sungguh-sungguh tidak mampu untuk menyatakan dan mempersembahkan rasa syukur yang selayaknya dengan segala ni’mat yang kita terima sepanjang hayat kita di dunia ini.
Maka sesuailah pada akhir ayat itu Allah menyebut “sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hambaNya tidak akan mampu menunaikan kewajipan bersyukur, lalu Dia ampunkan.
Dia Maha Mengetahui betapa cuai dan betapa sedikitnya hambaNya bersyukur, dengan sifatNya yang Maha Mengasihani, Dia tidak menghentikan atau memutuskan ni’matNya. Sebaliknya ni’matNya terus datang, terus turun mencurah-curah meskipun hambaNya cuai, meskipun hambaNya amat sedikit melaksanakan kewajipan bersyukur.

Dalam pada itu, Dia mengajar pula satu ungkapan kata syukur yang amat besar nilainya di sisiNya. Menurut sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, apabila seseorang menyebut ungkapan ini, dua malaikat pencatat amalan kebingungan. Mereka tidak dapat menghitung berapakah nilai pahala yang harus mereka tulis sehingga mereka berdua mengadu kepada Allah SWT. Maka Allah perintahkan supaya mereka catatkan apa yang diungkapan oleh hambaNya, kemudian Dia sendiri yang akan menganugerahkan pahalanya apabila hambaNya kembali menemuiNya nanti. 
Inilah dia ungkapan yang sangat hebat itu: 

 يَا رَبِّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, untukMu jualah segala pujian sebagaimana selayaknya dengan kebesaran dan kemuliaanMu serta keagungan kekuasaanMu.” 

*UMD*
30012020/05061441

Monday, January 27, 2020

SYURGA BUATMU, IBU


Imam Muslim rahimahullah telah mencatatkan di dalam kitab sahihnya sebuah kisah yang diceritakan oleh Sayyidatuna Aisyah radhiallahu’anha: 
“Aku dikunjungi seorang wanita miskin dengan membawa dua orang anak perempuannya yang masih kecil. Aku memberikannya tiga biji buah kurma. Wanita itu memberikan anak-anaknya satu biji setiap seorang. Dia mengangkat tangannya ke mulut untuk menyuap satu biji yang baki. Sebelum kurma itu sampai ke mulutnya, kedua-dua anaknya meminta kurma itu daripadanya. Lantas dia membelah kurma itu dan memberikannya kepada kedua-dua orang anaknya seorang sebelah.
Aku sangat kagum melihat perbuatannya. Maka aku menceritakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. 
Mendengar ceritaku itu, baginda lantas bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan syurga baginya dengan perbuatannya itu, atau Allah bebaskannya dari api neraka!”

Subhanallah! Demikian besarnya nilai kasih sayang serta pengorbanan seorang ibu. Apakah ibu hanya berkorban dengan sebiji kurma yang hendak dimakannya demi mengenyangkan anak-anaknya? Pastinya tidak.

Besarnya pengorbanan ibu hanya Allah sahaja yang tahu. Di dalam al-Quran, Allah mengungkapkan pengorbanan seorang ibu dengan: 
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;” (Luqman:14) dan firmanNya lagi: 
“ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Al-Ahqaf:15)

Jadi, kepada ibu-ibu semua, berbahagialah kerana anda terpilih menjadi ibu. Bersyukurlah di atas besarnya ni’mat meraih gelaran sebagai ibu. Hargailah pangkat itu. Sesungguhnya ia adalah laluan mudah untukmu mendapat syurga dengan izinNya.

Apa lagi yang kita dapat pelajari daripada kisah di atas?

Antara lain adalah komunikasi yang telus dan mesra di antara suami dan isteri. 
Isteri suka bercerita, meluahkan rasa hati kepada suami terutama apabila melihat dan mengalami sesuatu yang mencuit hati dan perasaannya. Dan suami pula mendengar dengan penuh perhatian seolah-olah berkongsi rasa dengan isteri kemudian memberikan respon yang terbaik. Tidak mungkin suami dapat memberikan respon yang terbaik jika suami tidak mendengar dengan sepenuh hati apa yang diluahkan oleh isteri.

Seteruskan sifat dermawan dan baik hati Sayyidatuna Aisyah radhiallahu’anha. Beliau tidak lokek dan tidak berkira untuk memberi kepada sesiapa yang memerlukan walaupun apa yang dimilikinya tidak melebihi keperluannya. Lihatlah, beliau hanya memberikan tiga biji buah kurma. Mungkin hanya itu yang ada di rumahnya. Beliau tidak teragak-agak untuk memberi walaupun sedikit. Yang penting beliau tidak menghampakan harapan insan yang lebih memerlukan. Memberi apa yang ada demi mengharap redha Yang Esa.

*UMD*
20012020

Thursday, January 23, 2020

SANGGUPKAH KITA MENJADI WAHANA TURUNNYA AZAB YANG MAHA KUASA!!!???


Sahabatku yang dikasihi sekelian,

Marilah sama-sama kita renung maksud firman Allah di bawah ini:

“Katakanlah: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Al-An'aam 6:65) 

Seringkali apabila kita membaca ayat suci al-Quran, terutama ayat-ayat yang berupa ancaman seperti ini kita tidak rasa ayat itu ditujukan kepada kita. Kita rasa ayat itu hanya ditujukan kepada golongan yang ingkar kepada rasul-rasul sebelum kita. Lantas kita biarkan ia berlalu tanpa membekas di hati dan minda.

Mari kita telusuri, kita hayati dan cuba rasai bahawa ia ditujukan kepada kita: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa atau bala bencana…”

Allah menegaskan bahawa Dia berkuasa. Berkuasa dengan erti kata yang sebenar-benarnya. Tiada sesiapapun yang boleh mengatasi kuasaNya, tiada sesuatupun yang boleh menghalang dan menyekat kuasaNya apabila Dia menghendaki datangnya azab seksa atau bala bencana kepada kita.

Tanda kekuasaanNya, Dia boleh mendatangkan bencana dari semua arah, atas dan bawah dan dalam semua bentuk. Bentuk fizikal yang boleh dilihat dan dirasa seperti penghantaran burung ababil, ribut taufan, hujan batu, gegaran bumi, tsunami, banjir besar, merebaknya wabak yang sukar dikawal dan berbagai-bagai lagi. Atau bentuk yang abstrak seperti kejatuhan nilai matawang, kenaikan harga barang yang melambung-lambung, kejatuhan nilai saham, atau dengan meneguhkan kuasa di tangan pemerintah yang zalim, angkuh tidak amanah dan sebagainya. Semua itu didatangkan untuk memberi kesedaran kepada manusia agar sentiasa berpegang teguh pada prinsip serta nilai yang diajarkan melalui PesuruhNya.

Selain itu, terdapat satu lagi bentuk yang mungkin kebanyakan kita tidak sedar di mana ia berlaku melalui kita. Kita yang menjadi wahananya. Perhatikan ayat ini: “atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain" 

Bukankah ini yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini? Berpecah dan berpuak-puak atas nama agama, mazhab, bangsa, parti politik, negeri, daerah dan sebagainya. Masing-masing mendakwa puak dialah yang paling baik, paling betul, paling kuat dan paling macam-macam lagi. Kalau kita teruskan perbalahan dan perpecahan ini, bererti kita memilih untuk menjadikan diri kita sebagai wahana turunnya bencana ke atas kita, wal’iyadzubillah.

Maka marilah kita hentikan perbalahan, kecam mengecam, mencari kesalahan dan kelemahan pihak yang tidak sehaluan dengan kita. Carilah titik persamaan demi keamanan dan kesejahteraan untuk semua. Allah sendiri mengajar Rasulullah s.a.w. agar mengajak ahli kitab supaya melihat kepada titik persamaan antara mereka sebagaimana firmanNya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,…” (A-li'Imraan 3:64)
Perbezaan pendapat, kelainan sudut pandang memang tidak dapat dielakkan. Namun pada masa yang sama pasti ada titik persamaan di kalangan kita. Paling tidak, kita sama-sama rakyat satu negara yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Allahu A’lam.


*UMD*
23012020/27051441

Monday, January 20, 2020

PERIHAL REZEKI


Sesungguhnya Allah mengatur rezeki kita dari sekecil-sekecil perkara hingga ke sebesar-besarnya. Kisah yang kami alami tiga hari lepas adalah satu daripada contohnya. Kisah yang sangat simple tapi tetap bermakna kerana tidak ada satupun kejadian di dunia ini berlaku dengan sia-sia.

Dalam perjalanan pulang dari KB ke SA, kami singgah di sebuah stesyen petrol yang kecil di hujung pekan Jerteh. Ketika suami sedang mengisi petrol saya masuk ke kedai serbanekanya yang kecil untuk membeli apa-apa makanan yang dapat dikunyah sepanjang perjalanan untuk mengelak dari rasa mengantuk.

Saya ambil sebungkus kacang dan sebungkus buah jeruk. Harga setiap satu RM3.00

Saya bawa kedua-duanya ke meja. Saya hulurkan duit RM6. Tuannya melihat kedua-dua bungkusan itu, kemudian berkata “bungkusan jeruk ni ada bocor sikit. Makcik ambil yang lain, ye!”
Saya berkata, “dah tak ada yang lain. Itu saja yang ada”.
“Tak mengapalah, makcik ambil kacang saja”, saya menambah.
Dia memasukkan kedua-dua bungkusan ke dalam beg plastik dan memulangkan duit RM3 sambil berkata, “jeruk ni saya bagi saja, tak payah bayar”.
Saya ucap terima kasih dan keluar dari kedai untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh.

Beberapa minit selepas meninggalkan pekan Jerteh, kami membuka bungkusan jeruk. Alhamdulillah rasanya masih elok dan sedap.

Tak berapa lama selepas itu kami buka pula bungkusan kacang. Allahu Akbar! Kacang sangat keras dan baunya ma syaa Allah, jauh berubah dari yang asal. Langsung tidak boleh dimakan.

Itulah rezeki. Yang dibayar tak boleh dimakan, yang percuma pula boleh dimakan. Rezeki kami pada yang diberi percuma.
Jadi, tolak campur tetap tak rugi, alhamdulillah.

*UMD*
20012020

Saturday, January 18, 2020

APA KHABAR SOLATMU?


Solat adalah anugerah Allah yang paling istimewa kepada hamba yang amat dikasihiNya. Ia adalah hadiah paling agung yang tidak ternilai harganya. Lantaran itu ia dikurniakan melalui satu undangan khas, tidak dihantar atau dikirim melalui sesiapapun hatta pembawa wahyu yang paling amanah.

Justeru, Rasulullah s.a.w. sangat menghargai dan mencintai solat. Baginya solat adalah penyejuk mata dan penawar hati. Baginda pernah mengungkapkan di dalam sepotong hadis yang diriwatkan oleh Ahmad dan an-Nasaei “Dan dijadikan ketenangan mataku pada solat”. 

Solat adalah masa dan ketika untuk baginda berehat dari segala kepenatan dan bebanan tugas yang berat. Dengarkan apa yang diluahkannya kepada muazzinnya, Bilal bin Rabah apabila masuk waktu solat: “Bawalah kami berehat dengannya wahai Bilal!!!(Maksudnya, baginda menitahkan Bilal agar segera melaungkan azan supaya dengan mendirikan solat baginda s.a.w. dapat berehat)” Riwayat Ahmad dan Abu Daud

Bagaimana agaknya solat kita? Adakah kita benar-benar berasa tenang dan damai di dalam solat? Berasa betapa indahnya bermunajat dengan Rabb Yang Maha Pengasih Maha Penyayang? Berasa lega kerana dapat meluahkan segala derita yang mencengkam, menyampaikan segala hajat yang terpendam? Berasa puas kerana yakin doa yang dipohon pasti terqabul, hajat yang diminta pasti terlaksana kerana Dia yang menyuruh kita berdoa, Dia yang mengajar kita apa dan bagaimana hendak meminta?

Atau sebaliknya, kita rasa solat seperti penjara yang mengekang pergerakan kita, yang mengikat anggota kita daripada bergerak bebas kecuali mengikut langkah-langkah yang telah ditentukan? Adakah kita selalu rasa penat berdiri tegak, menghabiskan bacaan-bacaan laksana mentera yang tidak difahami dan dihayati?  

Sesungguhnya Allah SWT sendiri mengatakan bahawa solat itu berat, sukar, membebankan jika tidak ada kekhusyukan di dalamnya, “…. dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;” (Al-Baqarah 2:45

Ya, kata kuncinya adalah KHUSYUK. Perhatikanlah firman Allah ini: 
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya;” (Al-Mu'minuun 23:1-2
Dengan terang dan jelas dinyatakan bahawa orang beriman yang berjaya adalah yang khusyuk di dalam solatnya. 
Maka berusahalah sedaya mampu untuk mendapatkan khusyuk. Antaranya ialah dengan memahami maksud setiap ayat yang dibaca serta menghayati hikmah setiap pergerakan yang diatur begitu rapi dan sempurna di dalam solat.

*UMD*

Saturday, January 04, 2020

KENAPA KITA WAJIB MENJAGA DAN MENGHARGAI SOLAT?


Mungkin ramai yang menjawab kerana solat adalah rukun Islam yang paling utama selepas syahadah. 
Solat adalah tiang agama. Jika solat diruntuhkan, runtuhlah agama.
Solat adalah sempadan antara iman dengan kufur. Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja bererti dia telah kufur secara terang-terangan.
Dan banyak lagi hujjah-hujjah yang berkaitan dengan hukum solat serta kewajipan menjaganya.

Saya tidak menafikannya. Semua itu memang benar.
Namun kali ini saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk melihatnya dari sudut yang berbeza. Solat sebagai satu anugerah, satu hadiah dari Allah Yang Maha Agung kepada kita, hambaNya yang hina, yang tidak punya apa-apa. Wujudnya kita di dunia sementara ini bergantung sepenuhnya pada iradah(kehendak) dan qudrah(kuasa)Nya semata-mata.

Solat adalah saat paling berharga, saat berlakunya pertemuan antara hamba yang kerdil dengan Tuannya, Rabbnya Yang Maha Tinggi, Maha Mulia, Maha Perkasa.
Pertemuan itu atas panggilanNya, pada waktu yang dipilihNya.
Bandingkan dengan urusan dunia yang biasa-biasa. Kalau seorang rakyat marhaen hendak berjumpa dengan raja, dia terpaksa melalui beberapa prosedur dan protocol tertentu. Mungkin berhari-hari atau berbulan-bulan terpaksa menunggu giliran dan masa yang sesuai.

Tetapi pertemuan dengan Allah, Dia yang panggil kita. Panggil secara langsung. Tiada perantara. Dia Hendak berbicara dengan kita. Dia mahu mendengar luahan kita. Dan Dia berjanji akan menunaikan hajat dan permintaan kita. Lebih daripada itu, Dia mengajar cara untuk berbicara denganNya. Apa yang patut kita kata, apa yang perlu kita minta.
Bayangkan Dia memanggil kita. Lantas kita datang dengan penuh rasa gembira, bahagia, dan berharga.
Maka berlakulah percakapan yang penuh bermakna antara kita sebagai hamba dengan Dia, Pemilik alam semesta. 

Nabi s.a.w. bersabda: “Allah Ta’ala berfirman maksudnya: Aku membahagikan solat (surah al-Fatihah) di antaraKu dan hambaKu separuh, separuh:-
Hamba berkata:ٱلۡحَمۡدُلِلَّهِرَبِّٱلۡعَـٰلَمِينَ
Allah menjawab: hambaKu memuji akan daku
Hamba berkata: ٱلرَّحۡمَـٰنِٱلرَّحِيمِ
Allah menjawab: hambaKu menyanjungiKu 
Hamba berkata:مَـٰلِكِيَوۡمِٱلدِّينِ
Allah menjawab: hambaKu memuja dan mengagungkanKu 
Hamba berkata:إِيَّاكَنَعۡبُدُوَإِيَّاكَنَسۡتَعِينُ
Allah menjawab: Ini adalah pembahagi di antara Aku dengan hambaKu, untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkannya dariKu. 
Hamba berkata:ٱهۡدِنَاٱلصِّرَٲطَٱلۡمُسۡتَقِيمَصِرَٲطَٱلَّذِينَأَنۡعَمۡتَعَلَيۡهِمۡغَيۡرِٱلۡمَغۡضُوبِعَلَيۡهِمۡوَلَاٱلضَّآلِّينَ
Allah menjawab: ini untuk hambaKu, untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkannya dariKu.
(Riwayat Imam Muslim dan lain-lain)

Subhanallah! Tak terbayang indahnya detik itu. 
Bandingkan kalau kita pergi mengadap orang besar di dunia ini, kadang-kadang di hadapan kita mereka berjanji akan menunaikan permintaan kita. Namun akhirnya janji tinggal janji. Jarang kita terus diberi apa yang kita hajati.
Sebaliknya, Allah berjanji. Dan janjiNya adalah janji yang pasti kerana Dia tidak memungkiri janji dan tidak ada apa dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalangNya dari menunaikan janjiNya kerana Dia Maha Kuasa, Maha Kaya yang memiliki segala-galanya.

Sebelum mengakhiri pertemuan, kita duduk bersimpuh mengadapNya dengan sepenuh jiwa dan raga, mengucapkan Tahiyyat penghurmatan dan sanjungan, mempersembahkan penghargaan yang tidak berbelah bagi kepadaNya:التحيات، المباركات، الصلوات، الطيبات لله
Diikuti pula dengan memberi salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.:
 السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته
Seterusnya mengucap salam kepada diri dan seluruh hamba-hamba Allah yang soleh: 
السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Diikuti dengan ucapan dua Kalimah Syahadah sebagai penegasan iltizam yang tidak akan luntur selama-lamanya.

Dan diakhiri dengan selawat ke atas Nabi tercinta s.a.w.

Apakah yang kita dapat daripada semua ini?
1.    Tahiyyat, sanjungan dan penghurmatan yang dirafaqkan kepada Allah, dibalas dengan limpahan rahmat dan barakatNya ke atas kita sebagaimana janjiNya: “sebutlah dan ingatlah kamu kepadaKu, nescaya  Aku sebut dan ingat kepadamu;” (Al-Baqarah 2:152
2.    Memberi salam kepada Rasulullah s.a.w., salam kita terus dijawab oleh baginda. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang memberi salam kepadaku, kecuali Allah kembalikan ruhku kepadaku sehingga aku dapat menjawab salamnya.” Riwayat Abu Daud
Bayangkan kita duduk di atas sejadah, di mana-mana tempat di seluruh penjuru alam ini, kita memberi salam kepada baginda, lantas salam kita itu dijawab oleh baginda di saat itu juga! Subhanallah!
3.    Salam ke atas diri sendiri dan sekelian hamba Allah yang soleh. Bayangkan berapa ramai hamba Allah yang soleh yang terdiri dari manusia, malaikat dan jin sejak permulaan kehidupan sehingga ke akhirnya. Setiap salam, setiap doa yang kita titipkan kepada mereka, Allah balas kebaikan dan kesejahteraan yang sama kepada kita. Bayangkan betapa banyaknya! Allahu Akbar!
4.    Dua Kalimah Syahadah, Kalimah Tauhid, Kalimah Ikhlas adalah kalimah keramat yang merupakan anak kunci dan pintu masuk ke dalam Islam dan ke dalam syurga. Ia diulang-ulang supaya iman tidak lemah dan layu, iman sentiasa segar, mekar dan bertenaga sepanjang masa.
5.    Selawat ke atas Nabi s.a.w. serta keluarga baginda. Apa yang kita bakal terima? Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu kali, Allah berselawat ke atasnya 10 kali.” Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a. Allahu Akbar! Bayangkanlah ketika kita berkata, “Allahumma Solli ‘ala Muhammad”, Allah kurniakan rahmatNya kepada kita 10 kali ganda. Ia turun mencurah-curah ke atas kita ketika itu juga kerana Allah maha pantas mengira. Subhanallah! 

Dan sebelum mengakhiri solat, titipkan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat. Doa yang Dia janji tidak akan menolaknya. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Abi Umamah r.a., Rasulullah s.a.w. ditanya, “Ya Rasulullah, doa yang manakah paling didengari?” Baginda s.a.w. menjawab, “di akhir malam dan di penghujung solat-solat yang fardhu.” Allahu Akbar!

Maka, dengan segala tawaran yang hebat-hebat itu adakah kita merasakan bahawa solat itu satu tanggungjawab yang berat, satu bebanan yang meletihkan atau satu hadiah yang besar, satu anugerah yang agung khusus untuk kita, hamba-hamba yang Dia amat sayangi dan kasihi yang sewajibnya kita menjaga dan menghargainya? 

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

*UMD*

04012020/08051441

Wednesday, January 01, 2020

SIAPA MUSUH DAKWAH?


Dakwah adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang buruk dan keji. Dan mereka itulah (yang melakukan dakwah) orang-orang yang berjaya.”

Ayat di atas menjelaskan bahawa tujuan dakwah adalah menyeru dan mengajak kepada kebaikan dan mencegah perbuatan keji dan mungkar. Dan usaha ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab individu, malah ia juga turut menjadi tanggungjawab kerajaan. Hal ini dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Demikianlah, Islam sebagai agama yang diturunkan untuk membawa rahmah kepada alam semesta tidak membiarkan perkara-perkara tidak baik berlaku dan berleluasa di dalam masyarakat kerana ia boleh menjejaskan kesejehteraan dan keharmonian hidup semua pihak. Lantaran itu, Islam menuntut agar umatnya tidak mengabaikan tanggungjawab amar makruf (menyuruh kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kejahatan)
Kini, adakah terdapat kejahatan khususnya di kalangan murid di sekolah-sekolah sehingga mendorong KPM membenarkan YADIM melalui RSY menjalankan aktiviti dakwah di sekolah-sekolah?

Menurut statistic salah laku disiplin pelajar di sekolah pada tahun 2017 adalah seperti berikut:
1.    Ponteng sekolah – 67,053
2.    Kurang sopan – 14,509
3.    Tidak pentingkan masa – 13,415
4.    Kekemasan diri – 10,946
5.    Rokok – 8,514
6.    Berunsur jenayah – 6,917
7.    Kenakalan – 5,825
8.    Buli – 2,795
9.    Berunsur kelucahan – 2,266
10.  Laku musnah – 1,868


Adakah angka-angka yang tertera di dalam statistic di atas menggembirakan kita atau sebaliknya? Kalau ia tidak menggembirakan kita, maka tak dapat tidak usaha dakwah perlu dipergiatkan.

Mereka yang menentang atau cuba menghalang dakwah sama ada dari kalangan muslim atau non muslim mungkin kerana satu daripada dua sebab:

Pertama, tidak faham atau salah faham tentang maksud dan tujuan dakwah. Mungkin pada fahaman mereka dakwah adalah semata-mata usaha mengislamkan mereka yang belum Islam. Lantaran itu mereka sangat takut bila dengar perkataan dakwah. Ini menepati pepatah Arab: “seseorang itu musuh kepada apa yang dia tidak tahu”.

Kedua, (diharap tidak ada mereka yang termasuk di dalam kategori ini) mereka yang suka anak-anak kita terlibat di dalam gejala social yang semakin parah. Mereka tidak bimbang akan masa depan negara dan nasib generasi akan datang. Mereka tidak berfikir dan tidak mengambil berat untuk mendidik dan membentuk generasi pelapis yang akan menjadi pemimpin hari esok, yang mampu memacu umat dan negara ke arah kemajuan dan kesejahteraan kepada dunia dan seluruh penghuninya.   


Justeru, semua pihak yang cintakan kebaikan dan bencikan kemungkaran mesti bekerjasama, bahu membahu melaksanakan misi dakwah dengan cara yang hikmah dan mau’idzah hasanah (nasihat yang baik) agar gagasan rahmatan lil’alamin dapat dicapai dan dinikmati bersama.