Siapa kita bergantung kepada siapa yang menilai.
Penilaian seorang kawan pastinya berbeza dari penilaian musuh.
Penilaian sahabat yang rapat pastinya berbeza dari penilaian rakan yang jauh.
Siapa pun kita di mata mereka, janganlah kita terpedaya dengan penialaian itu.
Kerana satu-satunya yang tahu tentang diri kita hanya Dia yang mencipta kita dari tiada.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,”
Maril kita lihat diri kita dari sudut penialaianNya!
Abdullah bin Amru r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Siapa yang “berdiri” dengan 10 ayat, dia tidak ditulis dalam kalangan ghafilin (orang yang lalai)
Siapa yang “berdiri” dengan 100 ayat, dia ditulis dalam kalangan qanitin (orang yang taat)
Siapa yang “berdiri” dengan 1000 ayat, dia ditulis dalam kalangan muqantirin (orang yang terlalu banyak pahalanya. Muqantir pada asalnya bermaksud mempunyai harta berpikul-pikul)” Riwayat Abu Daud. Diperakui sahih oleh Al-Albani.
“Berdiri” adalah terjemahan secara literal atau harfiah daripada perkataan “qama”.
Ulamak berbeza pendapat tentang maksud “qama”.
Pendapat pertama, ia bermaksud menunaikan solat malam yang selalu kita sebut qiam. Maknanya sesiapa yang menunaikan solat malam dengan membaca 10 atau 100 atau 1000 ayat di dalam solatnya, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang disebutkan di dalam hadis itu.
Pendapat kedua, ia bermaksud bersungguh-sungguh dalam membaca dengan betul, memahami maksud dan melaksanakan segala pengajaran yang terkandung di dalam ayat yang dibacanya.
Pendapat ketiga, ia bermaksud membaca, mentadabur dan mendampingi al-Quran sepanjang masa tidak kira siang atau malam.
Kesimpulannya, kita di sisiNya adalah bergantung kepada bagaimana kita berinteraksi dengan kitabNya. Paling kurang, lazimilah membaca dan memahami al-Quran tidak kurang daripada 10 ayat sehari supaya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang lalai.
Allahu A’lam.
1 Oktober 2020
No comments:
Post a Comment