Ketika usia menghampiri 40 tahun, Rasulullah s.a.w. menggemari khalwah dan ‘uzlah atau menyendiri dan mengasingkan diri dari herok pekok masyarakat jahiliah yang bercelaru dengan segala macam kemungkaran dan kemaksiatan.
Baginda memilih gua Hira’ yang terletak di atas bukit an-Nur yang terletak kira-kira dua batu dari kota Mekah sebagai lokasi khalwah baginda.
Setelah usia genap 40 tahun, tanda-tanda kenabian mula muncul dan bertapak dalam kehidupan baginda. Baginda sering didatangi mimpi yang benar. Setiap kali mengalami mimpi, maka ia benar-benar terjadi laksana terpancarnya cahaya matahari di waktu pagi. Hal ini dialami baginda selama enam bulan.
Pada tahun ke 3 ‘uzlah baginda datanglah detik bersejarah yang paling agung, baginda dikunjungi malaikat Jibril yang mulia membawa cahaya yang bakal menerangi alam semesta sehingga ke hari qiamat.
Bilakah berlakunya detik paling bersejarah ini?
Penulis sejarah tidak sekata dalam menentukan tarikh sebenar peristiwa besar ini terjadi. Ada yang berpendapat ia berlaku pada bulan Rabiul-Awwal. Yang lain berpendapat pada bulan Rajab. Dan sekumpulan lain berkata pada bulan Ramadhan.
Golongan yang berkata peristiwa besar itu berlaku pada bulan Ramadhan, mempunyai pandangan yang berbeza pula dari segi tarikhnya sama ada 7, 17 atau 18.
Menurut Syaikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, tarikh tersebut jatuh pada hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 10 Ogos tahun 610M. umur baginda ketika itu adalah 40 tahun 6 bulan 12 hari mengikut hitungan qamariah dan 39 tahun 3 bulan 22 hari mengikut hitungan syamsiah.
Alasan beliau dalam menentukan tarikh ini adalah Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Muhaddithin daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa sunat pada hari Isnin. Baginda menjawab maksudnya: “Isnin adalah hari aku dilahirkan, dan Isnin juga hari aku diutuskan”. Riwayat Muslim, Ahmad, al-Baihaqiy dan al-Hakim.
Hari Isnin dalam bulan Ramadhan pada tahun tersebut adalah 7, 14, 21 dan 28 haribulan. Berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih, Lailatul-Qadar adalah jatuh pada malam-malam ganjil 10 terakhir Ramadhan. Jadi Syaikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri, di dalam bukunya AL-RAHEEQ AL-MAKHTUM (2002) menyimpulkan bahawa peristiwa bersejarah itu jatuh pada hari Isnin 21 Ramadhan. Allahu A’lam.
No comments:
Post a Comment