“Dan serukanlah (wahai Ibrahim) umat manusia untuk
mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan
berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang
datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Al-Hajj:27)
Setelah Nabi Ibrahim a.s. selesai membina Kaabah
bersama puteranya, Nabi Ismail a.s. Allah perintahkan baginda agar menyeru umat
manusia datang mengunjungi rumah tersebut.
Ibn Kathir melaporkan bahawa apabila Nabi Ibrahim
diperintahkan agar menyeru manusia, beliau berkata: “Ya Rabb, bagaimana aku
hendak sampaikan kepada manusia sedangkan suaraku tidak sampai kepada mereka?”
Allah menjawab: “Serukanlah. Kami yang akan sampaikan
seruanmu itu.”
Lalu Ibrahim berdiri di atas tempatnya yang dikenali
sebagai Maqam Ibrahim, (ada pendapat mengatakan baginda berdiri di atas Hijir,
di atas bukit Safa, di atas bukit Abu Qubais) dan berseru: “Wahai sekelian
manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah menetapkan sebuah rumah, maka
kunjungilah rumah ini.”
Dikatakan bahawa bukit bukau menunduk supaya tidak
menjadi penghalang kepada suaranya sampai ke serata pelusuk dunia. Justeru,
suaranya merentasi seluruh buana, didengari oleh bayi di dalam Rahim dan di
dalam sulbi. Ia disahut oleh semua yang mendengar termasuk batu dan kayu serta
orang-orang yang Allah telah tulis mereka akan datang menunaikan haji sehingga
ke hari qiamat. Semuanya menyahut dengan lafaz “Labbaikallahumma Labbaik.”
Beberapa pengajaran dapat dipetik daripada apa yang
diriwayatkan oleh Ibn Kathir daripada Ibn Abbas dan lain-lain ini:
1. Haji adalah ibadah yang diwarisi turun temurun sejak zaman Abu
al-Anbiaa’ Nabi Ibrahim a.s. Ia merentasi bangsa, masa, dan benua.
2. Allah perintahkan Nabi Ibrahim a.s. supaya menyeru seluruh manusia
mengungjungi RamahNya. Pada perkiraan Nabi adalah sukar atau hampir mustahil
suaranya didengari oleh mereka yang diseru. Baginda bertanya: “Ya Rabb,
bagaimana aku hendak sampaikan kepada manusia sedangkan suaraku tidak sampai
kepada mereka?” Ini menunjukkan tidak salah bertanya untuk mendapatkan
penjelasan, bukan untuk membantah. Sesungguhnya perintah Allah itu wajib
ditaati, namun tidak bermakna kita tidak boleh bertanya. Kalau perintah Allah
boleh ditanya untuk penjelasan, apa lagi perintah ketua yang merupakan manusia
biasa? Tentulah boleh ditanya dan diminta penjelasan, bukan dengar dan taat
membuta tuli.
3. Allah perintahkan sesuatu yang zahirnya kelihatan seperti mustahil,
bukan untuk mendera atau menyusahkan hambaNya. Dia hanya mahu kita patuh kepada
perintahNya. Jika kita patuh, Dia beri kita pahala. Dia tidak menyoal kita
tentang natijah pelaksanaan itu. Natijah adalah urusanNya. Lantaran itu, Allah
menyuruh Nabi Ibrahim menyeru, sampai atau tidak seruan itu adalah urusan Dia
semata-mata. Begitulah dalam berdakwah, tugas kita hanya menyampai, berusaha
mengetuk hati manusia agar beriman. Yang memasukkan iman ke dalam hati mereka
adalah Allah. Bukan kita.
4. Ibn Kathir berkata, berdasarkan ayat ini sebahagian ulamak berpendapat
menunaikan haji dengan berjalan kaki lebih afdhal bagi mereka yang mampu kerana
Allah menyebut datang berjalan kaki terlebih dahulu daripada datang dengan
menunggang kenderaan. Namun, kebanyakan ulamak berpendapat menaiki kenderaan
lebih afdhal kerana mengikut perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda datang
dengan menaiki kenderaan meskipun Baginda seorang yang memiliki kekuatan yang
sempurna.
No comments:
Post a Comment