Daripada Aisyah
r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Carilah Lailatul-Qadar pada
malam witir (ganjil) daripada 10 terakhir bulan Ramadhan.” Riwayat al-Bukhari
dan Muslim
Malam ke 27
adalah satu daripada malam-malam ganjil. Dan ia paling banyak dikaitkan dengan lailatul-qadar
Menurut beberapa
orang mufassirin seperti al-Qurtubi, ar-Razi, Ibn Kathir dan lain-lain ramai
dari kalangan sahabat dan ulamak salaf berpendapat bahawa lailatul qadar jatuh
pada malam ke 27 Ramadhan. Di antara sahabat yang berpendapat demikian
ialah Ali, Aisyah, Mu’awiah, Ubai bin Ka’ab dan Ibn Umar r.’anhum. Dan dari kalangan ulamak pula, Imam Ahmad bin Hanbal dan
satu riwayat daripada Abu Hanifah serta lain-lain.
Di antara alasan yang menjadi sandaran pendapat ini ialah:
Pertama - Ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang hendak mencari Lalatul-Qadar, maka
carilah pada malam ke 27.”
Ubai bin Kaab r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda (maksudnya): “Lailatul-Qadar adalah malam ke 27.” Riwayat Muslim
Kedua - Hadis
Zirr bin Hubaisy. Dia berkata kepada Ubai bin Ka’ab r.a.: “Sesungguhnya
saudaramu Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Sesiapa yang qiam selama satu
tahun dia akan memperolehi Lailatul-Qadar.” Maka Ubai menjawab: “Semoga Allah
mengampuni Abu Abdul Rahman (Ibn Mas’ud)! Sesungguhnya dia telah mengetahui
bahawa Lailatul-Qadar adalah pada 10 malam terakhir Ramadhan. Dan tepatnya pada
malam ke 27. Tetapi maksud Abu Abdul Rahman (berkata demikian) adalah supaya
manusia tidak terlalu bergantung.” Kemudian, Zirr berkata: Ubai bersumpah
bahawa ia adalah malam ke 27. Aku (Zirr) bertanya: “Bagaimana kamu mengetahui
itu?” Ubai menjawab: “Dengan tanda atau alamat yang diceritakan kepada kami,
iaitu matahari terbit tanpa pancaran sinar.” Riwayat Ahmad (Tafsir Ibn Kathir)
Ketiga – At-Tabrani meriwayatkan bahawa Umar r.a. bertanya
kepada sahabat-sahabat tentang Lailatul-Qadar. Mereka sepakat mengatakan bahawa
Lailatul-Qadar pada 10 malam terakhir. Maka Ibn Abbas r.a. berkata kepada Umar:
“Sesungguhnya saya mengetahui atau saya hampir pasti malam
itu.”
Umar bertanya: “Malam yang mana?”
Ibn Abbas menjawab: “Malam ke 27.”
Umar bertanya lagi: “Dari mana kamu mengetahuinya?”
Ibn Abbas menjawab: “Allah ciptakan tujuh langit, tujuh
bumi, tujuh hari di mana dalam satu bulan berlegar dalam lingkungan tujuh hari.
Dia ciptakan manusia daripada tujuh unsur, manusia makan daripada tujuh bahan,
sujud di atas tujuh anggota, tawaf tujuh keliling, melontar jamrah tujuh biji
anak batu.”
Lalu Umar berkata: “Kamu memahami sesuatu yang kami tidak
memahaminya.” (Tafsir Ibn Kathir)
Keempat – Diriwayatkan daripada Ibn Abbas juga bahawa beliau
berkata: { لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ } terdiri daripada
sembilan huruf. Dan perkataan itu disebut sebanyak tiga kali (di dalam surah
al-Qadar). Maka jumlahnya adalah 27. (Tafsir ar-Razi)
Kelima – Abu Bakar al-Warraq berkata: “Sesungguhnya Allah Ta’ala
membahagikan malam-malam bulan ini (Ramadhan) dengan kalimah-kalimah yang
terdapat di dalam surah ini (surah al-Qadar. Maksudnya surah ini terdapat 30
kalimah / perkataan). Perkataan yang ke 27, Allah sebut (هِىَ ), iaitu
gantinama yang merujuk kepada malam al-Qadar. (Tafsir al-Qurtubi)
Keenam – Uthman bin Abi al-'Aas mempunyai seorang ghulam
(hamba lelaki yang masih muda / remaja). Ghulam itu berkata kepada Uthman:
"Wahai tuan, sesungguhnya air laut menjadi tawar airnya pada satu malam
daripada satu bulan."
Uthman berkata kepada ghulam, “bila tiba malam itu, beritahu
kepadaku.”
Pada suatu malam, ghulam memberitahunya bahawa malam itu air
laut menjadi tawar. Uthman mendapati malam itu adalah malam ke 27 Ramadhan. (Tafsir
ar-Razi)
Sekadar memetik beberapa pandangan. Hakikatnya ia tetap satu
rahsia. Samalah kita berusaha menjejakinya. Semoga Allah mengurniakan kita
ganjarannya dan mengampuni dosa-dosa kita yang tidak terhitung banyaknya.