Monday, June 11, 2018

Malam ke 27


Daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Carilah Lailatul-Qadar pada malam witir (ganjil) daripada 10 terakhir bulan Ramadhan.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Malam ke 27 adalah satu daripada malam-malam ganjil. Dan ia paling banyak dikaitkan dengan lailatul-qadar

Menurut beberapa orang mufassirin seperti al-Qurtubi, ar-Razi, Ibn Kathir dan lain-lain ramai dari kalangan sahabat dan ulamak salaf berpendapat bahawa lailatul qadar jatuh pada malam ke 27 Ramadhan. Di antara sahabat yang berpendapat demikian ialah Ali, Aisyah, Mu’awiah, Ubai bin Ka’ab dan Ibn Umar r.’anhum. Dan dari  kalangan ulamak pula, Imam Ahmad bin Hanbal dan satu riwayat daripada Abu Hanifah serta lain-lain.

Di antara alasan yang menjadi sandaran pendapat ini ialah:

Pertama - Ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang hendak mencari Lalatul-Qadar, maka carilah pada malam ke 27.”
Ubai bin Kaab r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Lailatul-Qadar adalah malam ke 27.” Riwayat Muslim

Kedua - Hadis Zirr bin Hubaisy. Dia berkata kepada Ubai bin Ka’ab r.a.: “Sesungguhnya saudaramu Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Sesiapa yang qiam selama satu tahun dia akan memperolehi Lailatul-Qadar.” Maka Ubai menjawab: “Semoga Allah mengampuni Abu Abdul Rahman (Ibn Mas’ud)! Sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada 10 malam terakhir Ramadhan. Dan tepatnya pada malam ke 27. Tetapi maksud Abu Abdul Rahman (berkata demikian) adalah supaya manusia tidak terlalu bergantung.” Kemudian, Zirr berkata: Ubai bersumpah bahawa ia adalah malam ke 27. Aku (Zirr) bertanya: “Bagaimana kamu mengetahui itu?” Ubai menjawab: “Dengan tanda atau alamat yang diceritakan kepada kami, iaitu matahari terbit tanpa pancaran sinar.” Riwayat Ahmad (Tafsir Ibn Kathir)

Ketiga – At-Tabrani meriwayatkan bahawa Umar r.a. bertanya kepada sahabat-sahabat tentang Lailatul-Qadar. Mereka sepakat mengatakan bahawa Lailatul-Qadar pada 10 malam terakhir. Maka Ibn Abbas r.a. berkata kepada Umar:
“Sesungguhnya saya mengetahui atau saya hampir pasti malam itu.”
Umar bertanya: “Malam yang mana?”
Ibn Abbas menjawab: “Malam ke 27.”
Umar bertanya lagi: “Dari mana kamu mengetahuinya?”
Ibn Abbas menjawab: “Allah ciptakan tujuh langit, tujuh bumi, tujuh hari di mana dalam satu bulan berlegar dalam lingkungan tujuh hari. Dia ciptakan manusia daripada tujuh unsur, manusia makan daripada tujuh bahan, sujud di atas tujuh anggota, tawaf tujuh keliling, melontar jamrah tujuh biji anak batu.”
Lalu Umar berkata: “Kamu memahami sesuatu yang kami tidak memahaminya.” (Tafsir Ibn Kathir)

Keempat – Diriwayatkan daripada Ibn Abbas juga bahawa beliau berkata: { لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ } terdiri daripada sembilan huruf. Dan perkataan itu disebut sebanyak tiga kali (di dalam surah al-Qadar). Maka jumlahnya adalah 27. (Tafsir ar-Razi)

Kelima – Abu Bakar al-Warraq berkata: “Sesungguhnya Allah Ta’ala membahagikan malam-malam bulan ini (Ramadhan) dengan kalimah-kalimah yang terdapat di dalam surah ini (surah al-Qadar. Maksudnya surah ini terdapat 30 kalimah / perkataan). Perkataan yang ke 27, Allah sebut  (هِىَ ), iaitu gantinama yang merujuk kepada malam al-Qadar. (Tafsir al-Qurtubi)

Keenam – Uthman bin Abi al-'Aas mempunyai seorang ghulam (hamba lelaki yang masih muda / remaja). Ghulam itu berkata kepada Uthman: "Wahai tuan, sesungguhnya air laut menjadi tawar airnya pada satu malam daripada satu bulan."
Uthman berkata kepada ghulam, “bila tiba malam itu, beritahu kepadaku.”
Pada suatu malam, ghulam memberitahunya bahawa malam itu air laut menjadi tawar. Uthman mendapati malam itu adalah malam ke 27 Ramadhan. (Tafsir ar-Razi)


Sekadar memetik beberapa pandangan. Hakikatnya ia tetap satu rahsia. Samalah kita berusaha menjejakinya. Semoga Allah mengurniakan kita ganjarannya dan mengampuni dosa-dosa kita yang tidak terhitung banyaknya.

No comments: