Alhamdulillah
dengan izin dan rahmatNya telah berlangsung forum yang bertajuk Ibuku Syurgaku
menggandingkan saya dengan anakanda Abd AlRahman AlHakim di Masjid Bukit Indah
Ampang.
Antara poin
yang saya sebut di dalam forum tersebut adalah:
1. Menjadi ibu
adalah idaman setiap wanita. Namun tidak semua berpeluang untuk memenuhi impian
yang indah itu kerana Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui yang
menentukan siapakah wanita yang dipilihNya untuk menjadi ibu. Dia berfirman
maksudnya: “Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang
dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya
dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. (Atau Dia
mengurniakan mereka kedua-duanya anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan
sesiapa yang dikehendakiNya: Mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha
Kuasa.” (Asy-Syura: 49-50)
2. Sekiranya Allah
memilih kita untuk menjadi ibu, tidak bermakna anak itu diberikan kepada kita
untuk kita miliki. Sebaliknya Allah sekadar meminjam rahim kita untuk
mengandung dan melahirkan seorang insan yang merupakan hamba dan khalifahNya di
bumi ini. Jadi anak kita, bukan milik kita. Anak kita adalah hamba kepada
Penciptanya. Lantaran itu kita wajib menjaga dan mendidik anak itu agar menjadi
hamba yang taat kepada Penciptanya, mencetak anak itu dengan acuan yang
dikehendaki oleh Tuannya.
3. Sebagai menghargai
pengorbanan kita, Allah perintahkan anak-anak agar berbakti kepada ibu yang
melahirkan (juga bapa). Allah menjadikan bakti kepada ibu sebagai amalan yang
sangat besar ganjarannya dan derhaka kepada ibu sebagai amalan yang sangat
besar dosanya. Maka sebagai ibu, jangan buka ruang kepada anak kita menjadi anak derhaka, jangan
kita minta atau suruh anak melakukan sesuatu yang kita rasa berat baginya untuk
dilaksanakan. Sebagai contoh, saya cuba elak menggunakan ayat suruh supaya
kalau dia tidak dapat buat, dia tidak jadi anak derhaka. Kalau saya mahu mereka
balik, saya tidak kata: “hujung minggu ni, balik!” Sebaliknya saya akan kata: “hujung
minggu ni, boleh balik?”. Jadi, balik atau tidak dia yang tentukan. Kalau tidak
balik, dia tidak derhaka walaupun sebenarnya kita sangat menginginkan dia
balik.
4. Ibu kena sedar
bahawa kita memerlukan anak lebih daripada anak memerlukan kita. Anak perlukan
jagaan, belaian, didikan kita untuk hidup sejahtera di dunia. Kalau tidak ada
kita mungkin orang lain boleh lakukan. Tetapi kita memerlukan doa mereka ketika
bersendirian di dalam kubur yang gelap gelita, sempit dan menghimpit, sunyi
sepi tiada berteman. Dalam keadaan sedemikian, pastinya doa anak yang soleh
sangat-sangat diharapkan kerana itulah yang disebut sebagai penyambung amal
kita selain ilmu dan harta yang diwaqafkan.
Justeru, tahniah kepada semua wanita yang terpilih menjadi ibu. Maka didiklah
anak anda menjadi anak soleh yang doanya bakal menemani kesepian anda di alam
barzakh.
No comments:
Post a Comment