Daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu bagaikan unta, dalam 100 ekur hampir-hampir tidak kamu temukan di dalam kalangannya rahilah” [HR Bukhari]
Muslim meriwayatkan dengan lafaz: “Kamu akan dapati manusia seperti unta yang 100. Seorang lelaki tidak menemui seekurpun rahilah.”
Menurut Ibn Qutaibah, rahilahbermaksud unta yang sangat bagus untuk ditunggangi, tangkas lagi terpilih serta mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang sangat terserlah.
Kata al-Azhari, makna hadis ialah: orang yang zuhud di dunia, yang sempurna zuhudnya dan benar-benar cintakan akhirat sangat sedikit seperti sedikitnya rahilahdalam kalangan unta.
Kata yang lain pula, manusia yang amat disenangi penampilannya, sempurna sifatnya, cantik keperibadiannya, kuat dan berkemampuan memikul beban dan kesulitan dalam perjalanan amat sedikit bilangannya.
Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang istimewa. Mereka dianugerahi pelbagai kelebihan yang ketara yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk yang lain. Hal ini dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Israa’: 70)
Di sebalik kelebihan yang diberikan, ada tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu manusia, iaitu sebagai khalifah di muka bumi. Ketika mana Allah ‘Azza wa Jalla menyatakan KehendakNya untuk menciptakan makhluk yang dikenali sebagai insan ini, Allah terus menyebut pangkat serta tanggungjawabnya.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang KHALIFAH di bumi…” (Al-Baqarah:30)
Meskipun pada asasnya semua manusia adalah sama dari segi kedudukan dan keistimewaan sebagai insan, namun setiap orang daripada mereka dijadikan dengan bakat serta kebolehan yang berbeza seperti yang dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An’am:165)
Menurut al-Qurtubi, “Dia meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat” bermaksud Allah melebihkan seseorang ke atas yang lain dari segi rupa, harta, tenaga, kuasa, pangkat dan ilmu. Tujuannya ialah untuk menguji mereka, apakah yang kaya itu bersyukur dan yang papa itu sabar, yang kuat itu berbakti, yang berkuasa itu berjasa, yang berilmu itu memimpin, yang jahil itu membaiki diri dan sebagainya.
Perbezaan bakat, kebolehan, rupa dan sebagainya adalah penting supaya mereka saling bekerjasama dan bantu membantu dalam melaksanakan tugas kekhalifahan sebagaimana yang diamanahkan kepada mereka. Allah berfirman maksudnya:
“Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” (Az-Zukhruf:32)
Adakah bakat dan keupayaan setiap orang itu telah ditentukan secara semula jadi dan tidak boleh diubah dan diusahakan?
Paras rupa, warna kulit, bangsa keturunan dan seumpamanya yang dikenali sebagai sifat khalqiyyah tidak boleh diubah atau diusahakan. Lantaran itu Allah tidak menilai atau mengukur seseorang berdasarkan rupa dan warna kulitnya sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong Hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad kamu, dan tidak juga kepada rupa kamu. Tetapi Dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu.” Riwayat Muslim.
Adapun sifat khuluqiyyah, iaitu yang berkaitan dengan kerohanian seperti alim (barilmu), sabar, pemurah, jujur dan sebagainya boleh diusahakan dan ditingkatkan. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, sifat-sifat yang dituntut atau disuruh oleh Allah agar kita memilikinya atau menghayatinya boleh diusahakan untuk memperolehinya. Jika tidak, Allah tidak akan memerintahkannya kerana satu daripada prinsip Syariah ialah ‘la taklifa bilmuhal’, tiada perintah melaksanakan perkara yang mustahil. Sebagai contoh, Allah perintahkan kita supaya bersabar. Itu menunjukkan sabar boleh diusahakan oleh setiap orang daripada kita. Jika sabar itu telah tersedia di dalam diri semua manusia atau sebahagian daripadanya, maka tidak ada makna perintah supaya sabar.
Sejarah membuktikan bahawa tarbiah islamiyyah dapat mengangkat keupayaan manusia ke tahap yang paling unggul. Rasulullah s.a.w. telah berjaya mentarbiah dan melahirkan ratusan, malahan ribuan rahilahyang muncul silih berganti memikul panji-panji Islam, menyebarluaskan ajarannya ke segenap penjuru dunia.
Setelah cahaya Islam berada dalam keadaan suram selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah, muncul seorang mujaddid, Imam Hasan al-Banna mengatur langkah mengikuti manhaj tarbiah nabawiah. Hasilnya, lahir ribuan mujahid di serata pelusuk dunia yang siap siaga sepanjang masa untuk berkorban harta dan jiwa demi kedaulatan Islam yang mulia.
Kualiti insan yang mendapat tarbiah islamiah berlandaskan manhaj nabawi yang sahih diperakui kecemerlangan dan keunggulannya di dalam al-Quran. Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Wahai Nabi, perangsangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu) dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Al-Anfal: 65-66)
Kehebatan dan kekuatan mereka yang diterbiah oleh Rasulullah s.a.w. disimpulkan di dalam ayat di atas di dalam satu kalimah, iaitu SABAR. 20 orang yang sabar mampu mengalahkan 200 orang yang tidak beriman. Kemudian diturunkan kepada 100 orang menewaskan 200 kerana terdapat di kalangan mereka yang masih lemah, masih belum mantap tarbiah yang dilalui.
Kesimpulannya, manusia yang benar-benar berkualiti, yang mampu memikul amanah yang berat sangat sukar dicari sebagaimana sukar mencari seekur rahilahdari kalangan unta yang banyak. Namun kualiti itu boleh dibina dan dipertingkatkan dengan mengikuti tarbiah islamiah manhaj nabawi yang sahih.