Kempen BMF (Buy Muslim First) sedang
rancak berjalan di kalangan umat Islam di seluruh pelusuk Negara. Dan ia
mendapat sambutan yang baik di kalangan umat Islam. Kempen ini bertujuan untuk
menggalakkan umat Islam membeli barangan keluaran muslim yang terjamin bukan
sahaja halalan, tetapi juga toyyiban. Halalan toyyiban. Di samping untuk mengukuh
dan menaikkan ekonomi umat Islam.
Makan makanan yang halal adalah satu
tuntutan yang wajib dipatuhi berdasarkan perintah Allah yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah
dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak
langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata
bagi kamu.” (Al-Baqarah 2:168)
Kalau kita perhatikan, ayat ini
bukan ditujukan kepada orang yang beriman sahaja. Sebaliknya ia ditujukan
kepada semua manusia tanpa mengira sama ada orang beriman atau tidak beriman.
Ini menunjukkan bahawa memilih makanan yang halal dan toyyib itu tanggungjawab
semua manusia kerana hanya makanan yang halal dan toyyib sahaja yang
benar-benar memberi manfaat kepada diri manusia dalam semua aspek, khususnya
dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri; fizikal dan spritual.
Di dalam sepotong ayat yang lain,
Allah berfirman maksudnya: “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang
baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha
Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mu'minuun
23:51)
Walaupun pada zahirnya ayat ini
ditujukan kepada para rasul alaihimus-solatu was-salam, hakikatnya itulah yang
dituntut ke atas para pengikut mereka kerana rasul-rasul semua diutus untuk
memimpin umat dan menjadi teladan serta ikutan yang baik.
Mereka diperintahkan supaya makan
benda-benda yang baik dan mengerjakan amalan-amalan yang baik atau soleh .
Jadi, makanan yang baik membawa
kepada amalan yang baik. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.
Maka amatlah tidak wajar jika kita
hanya menekankan kepentingan memilih makanan yang halalan toyyiban tanpa menekankan
amalan-amalan baik yang dianjurkan oleh Islam seperti berkasih sayang sesama
manusia, hurmat menghurmati, jujur, berkata benar, menjauhi rasuah, salah guna
kuasa dan lain-lain.
Cuba kita renung ayat yang berikut:
“Mereka sangat suka mendengar
berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan
sebagainya)....” (Al-Maaidah 5:42)
Allah mencela Bani Israel kerana dua
ciri yang ada pada mereka: mendengar berita dusta dan makan benda yang haram.
Oleh itu, selari dengan kempen BMF
mari kita rancakkan juga kempen amal soleh, kempen jauhi penyebaran fitnah dan
berita-berita dusta yang sangat berleluasa di dalam masyarakat, kempen menjaga
lidah dari mencela dan memaki orang-orang yang dilihat tidak sehaluan dan tidak
sependapat dengan kita, serta kempen menghurmati orang tua dan mengasihi orang
muda.
Mudah-mudahan kita semua akan
terpelihara dari azab Allah sebagaimana yang ditimpakan ke atas Bani Israel
yang tidak takut berdusta dan tidak menjauhi makanan yang haram.
No comments:
Post a Comment