Saturday, October 19, 2019

Rahsia cinta II (teladan dari kisah Nabi Musa alaihis-salam)


Apabila ibu Nabi Musa alaihis-salam terpaksa menghanyutkan putera kesayangannya yang masih bayi di Sungai Nil demi menyelamatkannya dari keganasan Firaun yang kejam, maka dengan izin Allah SWT bayi itu tersadai di pengkalan istana Firaun lalu dipungut dan dibawa ke istana. Terlihatkan bayi yang comel dan tidak berdosa itu, perasaan kasih terus mengalir ke dalam hati Asiah, Permaisuri Firaun. 

Dari mana datangnya perasaan itu padahal bayi itu bukan dari darah dagingnya dan tidak diketahui asal usulnya? Inilah yang dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud:
“… dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.”

Kalau hendak dikaitkan dengan suasana masa kini, ramai bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang hidup-hidup oleh mereka yang menjadi sebab kepada lahirnya bayi-bayi itu tanpa belas kasihan dan peri kemanusiaan. Dengan rahmatNya ada di antara bayi-bayi itu sempat diselamatkan dan dipelihara oleh ibu bapa angkat dengan penuh kasih dan sayang.

Jadi rahmat Allah ada di mana-mana. Sentiasalah bermohon dan mengharap dariNya.

Seterusnya, apabila Nabi Musa meningkat remaja, beliau terpaksa lari dari Mesir kerana satu kesilapan yang tidak disengajakannya. Ditakdirkan beliau tiba di suatu daerah bernama Madyan. Di situ beliau bertemu dengan sebuah keluarga yang soleh yang terdiri dari seorang ayah yang telah tua dan dua orang puterinya yang masih muda.

Pada pertemuan pertama dengan sesi taaruf yang singkat, si ayah terus menawarkan Musa agar berkahwin dengan salah seorang puterinya. Dan tanpa bertangguh, Musa menyatakan persetujuan untuk berkahwin dan menerima syarat yang dikemukakan oleh si ayah.

“Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkaubekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yangdemikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku In sya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".
Musa menjawab: "Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu".

Kisah ini menjawab dengan jelas dan tuntas persoalan yang sering bermain di fikiran sebahagian masyarakat, khususnya anak muda tentang bagaimana memilih pasangan hidup:
Pilihan sendiri atau pilihan ibu bapa?
Bolehkah hidup bahagia kalau berkahwin tanpa berkenalan dan bercinta?

Cinta itu rezeki dari Allah. Dia akan semaikan perasaan itu di dalam hati hamba-hambaNya. Tanpa kehendak dan izinNya, cinta tak mungkin bercambah dan subur walau seketika.

Allahu A’lam

No comments: