Perkataan
suri rumah sering di salah anggap. Ia sering dikaitkan dengan wanita yang
jumud, lemah, kolot dan tidak berpelajaran. Hidupnya terkongkong dan terkurung
di dalam rumah. Rumah itulah sahaja dunianya. Dan dunianya adalah rumahnya.
Islam
sebagai agama yang membawa rahmah ke seluruh alam telah mengubah pandangan yang
negatif terhadap wanita, baik yang menjadi suri rumah atau yang berkerjaya.
Wanita
adalah sebahagian daripada makhluk ciptaan Allah yang dimuliakan. Allah
berfirman maksudnya:
“Dan
sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah
memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami
telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang
telah Kami ciptakan.” (Al-Israa' 17:70)
Allah memuliakan anak-anak Adam tidak kira sama ada
lelaki atau perempuan. Semuanya mempunyai kedudukan yang mulia Allah. Mereka
diciptakan dengan sebaik-baik penciptaan sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya
(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (At-Tiin 95:4) .
Ayat berikut
ini dengan lebih jelas menunjukkan lelaki dan perempuan mempunyai kedudukan
yang sama di sisi Allah SWT khususnya dari sudut taklif keagamaan:
“Sesiapa
yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka
sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan
sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih
dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-Nahl 16:97)
Persamaan
yang ditegaskan di dalam ayat di atas diperkuatkan lagi dengan penghayatan Nabi
s.a.w. sebagaimana terdapat di dalam kitab-kitab hadis serta kitab-kita sirah.
Sebagai contoh, kita lihat kisah seorang suri rumah bernama Asmaa’ binti Yazid
al-Ansariyyah.
Asmaa’ merupakan
antara wanita Ansar terawal memeluk Islam di tangan pendakwah hebat, Mus’ab bin
Umair. Beliau juga merupakan mukminah pertama yang berbai’ah dengan Rasulullah
s.a.w. Dan dikenali sebagai juru bicara wanita.
Pada suatu
hari Asmaa’ telah datang menemui Rasulullah s.a.w. ketika baginda duduk di
kelilingi para sahabat r.a. Asmaa’ berkata:
“Ya
Rasulullah, saya mewakili semua wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
Mereka melayan suami, mengandung dan melahirkan anak-anak. Kalian kaum lelaki
mempunyai kelebihan berbanding dengan kami. Kalian menghadiri
perhimpunan-perhimpunan, solat jamaah, menziarahi orang sakit, mengiringi
jenazah, menunaikan haji selepas haji, dan lebih afdhal daripada itu semua,
kalian berjihad fi sabilillah.
Dan ketika
kalian keluar pergi menunaikan haji atau umrah atau berjihad, kami menjaga
harta kalian, menenun pakaian untuk kalian, mendidik anak-anak kalian. Apakah
kami tidak berpeluang untuk berkongsi dengan kalian pahala dan kebaikan itu?”
Rasulullah
s.a.w. menoleh kepada para sahabat seraya bersabda:
“Adakah
kalian pernah mendengar ucapan seorang wanita tentang urusan agamanya lebih
baik daripada ucapan wanita ini?”
Mereka
menjawab:
“Ya
Rasulullah, kami tidak menyangka seorang wanita dikurniakan kepintaran seperti
ini!”
Rasulullah
s.a.w. berpaling kepada Asmaa’ dan bersabda:
“Fahamilah
wahai wanita, dan sampaikanlah kepada kaum wanita yang mewakilkan urusan mereka
kepadamu bahawa seorang isteri yang melayani suami dengan sebaik-baiknya,
sentiasa menyenangkan hatinya, dan mengikuti keputusannya, mendapat ganjaran
yang setimpal dengan semua amalan-amalan di atas.”
Maka Asmaa’
beredar dari majlis itu dengan bertahlil penuh gembira dan ceria
(Usudul-Ghabah,
Ibn Athir)
Apakah
selepas itu, Asmaa’ berpada dengan menetap di rumah menjadi isteri sepenuh
masa?
TIDAK
SEKALI-KALI!!
Beliau
antara sahabiat yang gigih menuntut ilmu serta banyak meriwayatkan hadis, di
samping menyertai beberapa peperangan bersama Rasulullah s.a.w.
Antara
peperangan yang beliau sertai bersama Rasulullah s.a.w. ialah Khandak, Khaibar
serta Hudaibiyyah.
Bukan
setakat itu. Jihadnya sampai ke Syam menyertai peperangan Yarmuk.
Selain
berkhidmat kepada tentera-tentera Islam seperti menyediakan makanan, merawat
yang luka dan sebagainya beliau juga memukul tentera yang cuba lari dari medan
perang.
Lebih
terserlah keberanian Asmaa’ bila mana beliau mencabut tiang khemah dan memukul
dengannya kepala tentera Rum. Sembilan orang tentera Rum terbunuh di tangannya.
Kesimpulannya,
wanita Islam mempunyai kedudukan dan peranan yang penting dalam membina
keluarga, masyarakat dan negara yang rahmah serta turut bertanggungjawab di
dalam menyebar dan mempertahankan agama yang mulia.
No comments:
Post a Comment