Saturday, October 05, 2019

TULAR BUKAN KAEDAH CEGAH MUNGKAR.


Mencegah mungkar merupakan satu kewajipan yang tidak dipertikaikan oleh sesiapapun. Perintah mengenainya jelas termaktib di dalam sepotong hadis sahih yang bermaksud: “Siapa yang melihat kemunkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Muslim daripada Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu) 

Mereka yang tidak melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran termasuk di dalam golongan orang-orang yang dilaknat oleh Allah ‘Azza wa Jalla.
Allah Ta’ah berfirman maksudnya: “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar, yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Al-Maaidah 5:78-79)

Berdasarkan nas-nas di atas jelas bahawa menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar merupakan kewajipan yang amat berat yang wajib dilaksanakan dengan sungguh-sungguh.
Pun begitu, ia tidak bermakna boleh dilakukan dengan sembarangan. Ia sama seperti kewajipan-kewajipan yang lain, ada syarat-syarat serta adab-adabnya yang mesti dipatuhi. Syeikh Salman al-‘Audah berkata: “Sesungguhnya menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar adalah satu ibadah. Wajib ada padanya apa yang wajib ada pada ibadah-ibadah yang lain, iaitu amalan dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah semata-mata dan mengikuti Rasulullah s.a.w.

Imam Sufyan ats-Tsauri berkata: “Tidak wajar menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar kecuali orang yang memiliki tiga sifat: lembut dan santun di dalam suruhan dan larangannya, adil ketika menyuruh dan melarang, mengetahui tentang apa yang disuruh dan dilarangnya”.

Sebahagian ulamak menyimpulkan syarat amar ma’ruf dan nahi mungkar kepada tiga:
i.               mempunyai ilmu tentang apa yang disuruh dan dilarang
ii.              lembut, santun dan adil ketika melaksanakan suruhan dan larangan
iii.             sabar selepas melaksanakannya.

Ketika ini, timbul satu kecenderungan yang menjadi ikut-ikutan di kalangan ramai orang, iaitu menularkan sesuatu yang dianggap sebagai perkara mungkar. Niatnya mungkin baik, iaitu memberi peringatan supaya menjauhi perkara tersebut. Namun ia dilakukan dengan cara yang salah, iaitu tanpa usul periksa sama ada betul atau salah maklumat yang ditularkan itu. Contohnya, gambar yang disertakan di bawah.

Tidak ada sedikitpun keterangan tentang makmal yang melakukan uji-kaji, bila ujian dibuat dan siapa yang bertanggungjawab mengenainya?

Maka niat yang asalnya baik, mencegah mungkar bertukar menjadi sebaliknya, iaitu melakukan satu kemungkaran yang lebih besar. Apa lagi sekiranya maklumat itu salah. Ia boleh mengundang padah, disaman oleh pihak yang berkenaan.

No comments: