Saturday, October 26, 2019

TERAPI HATI YANG PALING MUJARAB




Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.

Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang yakin (kematian).

Tiada siapa dari kalangan kita dapat lari dari “orang kata”. Apa saja yang kita buat, pasti ada orang akan komen. Gambaran paling tepat tentang hal ini adalah kisah seorang ayah dengan anaknya bersama seekor keldai.
Ketika kedua beranak itu berjalan mengheret keldai, orang kata mereka bodoh. Ada kenderaan kenapa tak ditunggang?
Kedua-dua menunggang keldai, orang kata manusia zalim, tak bertimbang rasa dan mendera haiwan.
Ayah naik dan  anak berjalan, orang kata ayah pentingkan diri.
Anak naik dan ayah berjalan, orang kata anak tidak berbakti kepada ayah.

Demikian resam manusia. Orang kata bukan sebab kita salah atau kita buat perkara yang tidak betul. Kita buat baik dan ajak orang buat baik juga tetap akan berdepan dengan “orang kata” sebagaimana yang dihadapi oleh Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w.
Benarlah kata pepatah: “Keredhaan manusia adalah satu matlamat yang tidak mungkin dapat dicapai”.

Dalam menghadapi ujian “orang kata” ini Allah SWT mengajar kita supaya melakukan empat perkara: TASBIH, TAHMID, SUJUD, IBADAH (TUNDUK DAN MENYERAH DIRI KEPADANYA)

Bagaimanakah dengan melakukan perkara di atas itu dapat menghilangkan kesedihan hati dan meringankan tekanan perasaan yang mencengkam di dalam dada? Kata sebahagian ulamak, ia mengajar kita bahawa apabila kita diuji dengan sesuatu yang kita tidak sukai, lantas kita segera menyambutnya dengan ibadah tasbih, tahmid dan sujud; ia mengajar kita bahawa kita wajib tunduk dan patuh kepadaNya walau apapun yang menimpa kita sama ada yang baik atau sebaliknya. Dan kita yakin bahawa Allah Maha Adil. Dia tidak akan menimpakan sesuatu yang tidak baik ke atas hambaNya tanpa tujuan dan hikmah yang hanya Dia sahaja mengetahuinya. Maka dengan itu hati kita akan menjadi tenang, kesedihan akan hilang, tekanan persaan akan berkurang.

No comments: