Istilah “USRAH” tidak asing lagi di kalangan masyarakat Islam sekarang, khususnya mereka yang terlibat dengan pertubuhan dakwah dan badan-badan yang ada kaitan dengan usaha-usaha penyebaran Islam.
Pada abad lalu, sistem usrah dipopularkan oleh Jamaah Ikhwan Muslimin yang mula bertapak di Mesir. Pengasasnya, Imam Hasan al-Banna menulis tentang sistem usrah yang dihasratkan beliau seperti berikut:
“Islam sangat mengambil berat tentang pembinaan usrah di kalangan penganutnya dan menganjurkan mereka agar mencapai kemuncak yang paling tinggi dan paling unggul, memperkuatkan ikatan sesama mereka, memartabatkan tali persaudaraan mereka daripada tahap percakapan yang berupa teori ke tahap amalan secara praktikal. Maka usahakanlah dengan sungguh-sungguh wahai saudaraku untuk menjadikan dirimu sebagai sekeping batu bata yang kukuh dan teguh bagi binaan yang mulia ini, iaitu binaan Islam.
Rukun kepada ikatan (usrah) ini tiga perkara. Ingat dan peliharalah ia. Berilah sepenuh-penuh tumpuan untuk merealisasikannya semoga ia tidak menjadi suatu bebanan yang tidak ada ruh di dalamnya.
Tiga rukun itu adalah: taaruf, tafahum, takaful…..”
(Risalah al-Usar, 1943M)
Adakah sistem usrah ini suatu rekaan baru yang lahir daripada buah fikiran beliau atau telah wujud sebelum itu lagi?
Apabila kita bercakap tentang sistem usrah, terdapat satu istilah yang berkait rapat dengannya. Malah boleh dikatakan tidak akan berjalan usrah tanpanya, iaitu istilah naqib. Perkataan naqib disebut di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat ke 12 yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambilperjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNyadan menjauhi laranganNya) dan Kami telah utuskan dari kalanganmereka dua belasnaqib (untukmemimpin golongan masing-masing);…”
Menurut at-Tobari, naqib bermakna kafeel, penjamin, pemegangamanah, saksi.
Ar-Razi pula berkata, naqib bermakna lubang yangluas. Dinamakan pemimpin itu naqibkerana dia memerhatikan setiap gerak geri kaumnya.
Kataal-Asomm, naqib adalahorang yang disandarkan kepadanyaurusankaumnya danmengurus maslahah atau apa yang terbaik buat mereka.
Apabila kita meneliti ayat di atas serta ulasan para mufassirin serta ahli bahasa tentang makna naqib, memberikan gambaran kepada kita wujudnya sistem yang sama dengan apa yang kita panggil usrah sekarang.
Perkataan naqib juga pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w., iaitu selepas termaterainya Bai’ah al-‘Aqabah yang kedua di antara Rasulullah s.a.w. dengan 75 orang (73 lelaki, 2 perempuan) wakil daripada Yathrib, baginda meminta supaya mereka memilih 12 orang naqib dari kalangan mereka yang bertanggungjawab untuk mempastikan setiap orang daripada mereka mematuhi dan melaksanakan apa yang telah dipersetujui di dalam perjanjian tersebut. Beliau bersabda:
أخرجوا إليَّ منكم اثني عشرنقيباًيكونون على قومهم بما فيهم
Bagindatidak sekadar berpesan agar setiap orang yang berjanji masing-masing berpegang kepada janji. Sebaliknya, baginda perintahkan agar dilantik naqib yang bertanggungjawab memantau dan mempastikan setiap orang menunaikan janjinya.
Dan di Madinah, Abu Hurairah r.a. terkenal sebagai naqib bagi ahli suffah.
Selain istilah naqib, terdapat istilah ‘arif yang membawa maksud yang sama. Menurut Mustafa Bugha, ‘arif ialah orang yang mengetahui tentang urusan kaumnya dan hal ehwal mereka.
Bahkan di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu bab yang beliau namakan: باب العرفاء للناس
Ibn Hajar yang mensyarahkan kitab tersebut berkata: ‘Urafaa adalah jamak (plural) kepada ‘arif, iaitu orang yang mentadbir urusan sekumpulan manusia dan menjaga hal ehwal mereka. Mereka dinamakan ‘arif / ‘urafaa kerana mereka mengetahui segala urusan dan keperluan kaumnya supaya mereka dapat sampaikan kepada pihak yang lebih atas. Jadi kedudukan ‘arif adalah di bawah amir.
Ibn Battol berkata: “Disyariatkan perlantikan ‘urafaa kerana Imam (ketua negara) tidak mungkin dapat melaksanakan semua urusan seorang diri. Maka dia perlu melantik orang-orang yang boleh membantunya melaksanakan apa yang wajib dilaksanakan.”
Selepas Ghazwah Hunain, qabilah Hawazin memeluk Islam dan datang bertemu Rasulullah s.a.w. meminta agar tawanan mereka dibebaskan. Nabi s.a.w. menyuruh tentera muslimin supaya memaklumkan kepada ‘arif-‘arif agar meminta pandangan semua tentera di bawah mereka sama ada mereka bersetuju atau tidak untuk membebaskan tawanan Hawazin yang ada pada mereka. Setelah berbincang, ‘arif-‘arif memberitahu Nabi s.a.w. bahawa semua tentera di bawah mereka telah bersetuju untuk membebaskan tawanan Hawazin.
Sistem naqib atau ‘arif tidak terhenti pada zaman Nabi s.a.w.
At-Tobari menyebut bahawa di zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., beliau membahagikan askar-askar kepada unit-unit kecil. Setiap 10 orang ada seorang ‘arif.
Maka, fakta menunjukkan sistem usrah adalah satu sunnah dalam mengatur urusan pemerintahan dan organisasi. Pada masa sekarang usrah merupakan nurseri tarbiah yang palingutama serta medan yang paling asas dalam membinabarisan pendakwah yang committed dan muntij.
Kredit kepada AlFadhil Ustaz Burhanuddin bin Lukman, Naib Presiden Ikram yang mencetuskan idea dan berkongsi fakta.
*UMD*
06022020/12061441
#MalaysiaNegaraRahmah
#fastabiqulkhairat