Wednesday, February 12, 2020

Coronavirus (COVID-19)


Saya menerima satu video rakaman ceramah seorang ustaz tentang coronavirus. Dinyatakan bahawa penyakit itu telahpun disebut oleh seorang ulamak di dalam buku yang berjodol “Al-Ususu wa Al-Muntalaqat” yang ditulis puluhan tahun yang lalu (beliau turut menayangkan bahagian yang ada tertulis “huma alkuruna). Naskhah yang dirujuk oleh penceramah itu adalah yang dicetak pada tahun 2015 yang merupakan cetakan ke tiga.

Siapakah penulis buku tersebut?
Beliau adalah Abu Bakar bin Ali al-Masyhur al-‘Adani, lahir di Yaman pada tahun 1366 hijriah. Beliau merupakan keturunan Nabi s.a.w. generasi ke 37.
Sangat terkenal dengan keluasan ilmu dalam pelbagai bidang, pemikir dan pendakwah yang aktif, telah menghasilkan lebih daripada 70 buah buku sastera dan ilmiah.

Berbalik kepada buku yang dikatakan oleh penceramah di dalam video yang saya lihat, dan saya percaya dilihat oleh riban penonton, bahawa ia telah ditulis ribuan tahun yang lalu; maka saya membuat carian untuk mendapatkan pengesahan. Malangnya saya tidak berjumpa naskhah cetakan ke tiga yang dirujuk oleh penceramah. Tetapi dengan izin Allah saya jumpa cetakan pertama yang dicetak pada tahun 2010.

Saya mencari bahagian yang dipetik dan ditayangkan oleh penceramah itu dan saya temui pada halaman 321. Terjemahannya:

“Tajuk: Munculnya penyakit-penyakit yang belum ada pada generasi terdahulu

Dan di antara tanda-tanda kecil yang disebut di dalam hadis-hadis Nabi yang tidak berbicara mengikut nafsu ialah merebaknya penyakit yang berupa wabak-wabak yang tidak pernah ada pada umat-umat dan bangsa-bangsa terdahulu. Sesungguhnya telah muncul gejala ini dan telah merebak dengan meluas, khususnya pada masa-masa terakhir ini. Maka telah muncul wabak-wabak yang berbahaya seperti aids, influenza burung dan khinzir dan lain-lain penyakit kronik yang mana para saintis masih terus mengkaji cara-cara merawatnya, menyelidiki sebab-sebab tersebarnya di kalangan bangsa-bangsa sehingga ke hari ini.”

Jika diperhatikan petikan di atas, kita dapati:
1.     Penulis tidak meramalkan penyakit yang akan muncul (seperti didakwa oleh penceramah). Sebaliknya beliau menyebut beberapa contoh penyakit yang baru muncul seperti aida dan influenza sebagai membenarkan apa yang telah dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis-hadis baginda.
2.     Dalam cetakan pertama 2010 itu, tidak disebut tentang corona. Kalau pun ada disebut dalam cetakan ke tiga tahun 2015, ia tidak boleh dikatakan sebagai ramalan kerana penyakit itu telahpun muncul sebelum itu lagi. Contohnya SARS coronavirus yang telah merebak pada tahun 2002 dan 2003.

Jadi, apa yang ingin saya tekankan ialah kita tidak menafikan kelebihan serta karamah yang dikurniakan Allah kepada sebahagian hambaNya yang terpilih disebabkan keimanan, keilmuan serta keikhlasannya. Namun, tidak perlulah berlebih-lebihan dalam mendakwa kelebihannya sehingga ke tahap mereka-reka perkara yang beliau tidak kata. Islam mengajar kita agar berpegang kepada fakta. Jangan menambah sesuka hati untuk menyedapkan bicara dan memanis kata agar orang yang mendengar terpesona dan percaya. Allahu A’lam.

*UMD*

12022020/18061441

No comments: